Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Seorang Muslim Melihat Hilal Adalah Sebab Puasa dan Berbuka

[Mafahim Islamiyyah] Seorang Muslim Melihat Hilal Adalah Sebab Puasa dan Berbuka

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Setelah runtuhnya negara Khilafah, musuh kafir mencabik-cabik negeri-negeri kaum muslim hingga menjadi entiti-entiti kecil dan lemah. Mereka menyerahkan urusannya kepada para penguasa yang mahu menerapkan perintah-perintahnya dan menerapkan hukum-hukum kufur kepada kaum muslim. Mereka melarang kaum muslim bersatu dan menetapkan sempadan-sempadan buatan di antara kaum muslim.

 

Akibatnya, orang Syria atau orang Iran menjadi orang asing di Mesir. Demikian pula orang Mesir atau orang Afghanistan menjadi orang asing di Turki. Majoriti kaum muslim berafiliasi kepada patriotisme dan nasionalismenya. Mereka berperang untuk menjaga sempadan-sempadan palsu di antara mereka. Akhirnya keadaan buruk ini merebak kepada hukum-hukum ibadat seperti rukyatulhilal iaitu melihat hilal Ramadhan atau Syawal.

 

Adakalanya kaum muslim di Iraq sudah berpuasa, sedangkan di Iran belum berpuasa. Adakalanya pula kaum muslim di Tunisia sudah berpuasa, tetapi di Algeria belum berpuasa. Sesungguhnya penduduk Dir’a di Syria berpuasa, tetapi penduduk Romtsa di Jordan tidak berpuasa. Padahal, hanya ada sempadan-sempadan khayalan di antara keduanya. Semua ini disebabkan musuh-musuh Islam dari orang-orang kafir dan para ejen-ejennya sangat bercita-cita untuk mencerai-beraikan kaum muslim. Mereka juga sangat bercita-cita agar sumber rujukan kaum muslim dalam kehidupan mereka adalah undang-undang dan keputusan-keputusan buatan (man made law), bukan dalil-dalil dan hukum-hukum syarak.

 

Sesungguhnya Ramadhan, Aidilfitri, dan Aidiladha adalah ibadah yang mengatur interaksi kaum muslim dengan Tuhannya. Juga merupakan salah satu indikasi kesatuan umat Islam kerana kaum muslim melaksanakan puasa bersama-sama pada hari yang sama. Mereka juga merayakan Hari Raya pada hari yang sama dengan mengikuti hukum-hukum Allah yang menyatukan mereka. Mereka tidak mengikuti keputusan-keputusan politik para penguasa atau fatwa-fatwa ulama yang menjadi kaki tangan penguasa munafik yang mencerai-beraikan kaum muslim dan tidak menyatukan mereka.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kalian kerana melihat hilal. Lalu apabila mendung menghalangi kalian, maka sempurnakanlah hitungan Syaaban sampai tiga puluh hari.” (HR Bukhari-Muslim).

 

Dalam riwayat Muslim, “Lalu apabila mendung menghalangi kalian, maka berpuasalah kalian tiga puluh hari.” Yakni berpuasalah kalian ketika Ramadhan.

 

Dalam riwayat lain dari Imam Muslim, “Sebulan itu dua puluh sembilan (malam). Maka apabila kalian melihat hilal, berpuasalah, dan apabila telah melihat hilal, maka berbukalah. Lalu apabila mendung menghalangi kalian, maka perkirakanlah hilal itu.”

 

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebulan itu dua puluh sembilan malam, maka janganlah kalian berpuasa hingga melihat hilal. Lalu apabila mendung menghalangi kalian, maka sempurnakanlah hitungan (Syaaban) tiga puluh (malam).”

 

Hadis-hadis Nabi tersebut sangat jelas maksudnya bahawa sesungguhnya sebab syarie bagi puasa Ramadhan adalah melihat hilal Ramadhan. Begitu pula sebab syarie bagi Aidilfitri adalah melihat hilal Syawal. Tidak ada perbezaan antara orang Syam dan orang Yaman, juga antara orang Iran dan orang Marocco. Kaum muslim adalah umat yang satu.

 

Seruan Allah (Asy-Syarik) kepada kaum muslim pada zaman Rasulullah SAW di Madinah adalah seruan bagi semua muslim pada hari itu di setiap tempat. Ini kerana sesungguhnya lafaz-lafaz hadis di atas datang dengan bentuk umum. Kata “melihat bulan” adalah isim jenis yang di-mudhaf-kan dan menunjukkan makna umum. Begitu pula dhamir pada dua kata “Berpuasalah kalian dan berbukalah kalian”, keduanya menunjukkan kepada umumnya kaum muslim. Dengan demikian, seruan (khithab) Syarik itu menjadi umum mencakup semua orang Islam di mana saja berada.

 

Perbuatan mereka berkaitan dengan sebab umum, iaitu mutlaknya (umum) rukyat (melihat) dari siapa saja orang Islam. Apabila melihat hilal Ramadhan atau hilal Syawal telah tetap melalui syarak, maka terikatlah semua kaum muslim dengan rukyat ini dalam puasa dan Hari Raya mereka. Tidak ada perbezaan antara satu negeri dan negeri yang lain, juga antara orang Islam dan muslim yang lain. Sebabnya, orang yang melihat hilal di antara mereka adalah hujah atas orang yang tidak melihatnya. Tidaklah kesaksian orang muslim di suatu negeri itu lebih utama dari kesaksian orang Islam di negeri lain.

 

Hal ini sama sekali tidak bernilai bagi pembahagian-pembahagian dan sempadan-sempadan yang telah dibuat orang-orang kafir di negeri-negeri kaum muslim. Perintah dengan berpuasa atau berbuka dalam hadis-hadis Rasulullah SAW itu menunjukkan faedah wajib. Ini kerana sesungguhnya berpuasa kerana melihat hilal itu berhubungan dengan puasa Ramadhan yang merupakan puasa fardhu melalui firman Allah SWT, “Telah diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian.” (TMQ Al-Baqarah: 183).

 

Begitu pula firman-Nya, “Oleh kerana itu, siapa saja di antara kalian yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.” (TMQ Al-Baqarah: 185).

 

Perintah (amr) dengan berbuka kerana melihat hilal Syawal itu berhubungan dengan larangan berpuasa pada Hari Raya yang datang pada hadis-hadis sahih. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., dia  berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang berpuasa pada dua hari, yakni hari Aidiladha dan hari Aidilfitri.” Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Umar bin Khattab ra. yang berkata, “Ada dua hari yang Rasulullah SAW telah melarang berpuasa pada dua hari itu, yakni hari berbuka kalian darı puasa kalian dan hari yang lain kalian makan pada hari itu dari korban kalian.”

 

Dalam riwayat lain, “Nabi SAW telah melarang berpuasa pada hari Aidilfitri dan Hari Raya Korban.” Larangan ini menunjukkan keharaman kerana merupakan larangan dari melaksanakan fardhu atau mandub.

 

Adapun perbezaan mathlaa’ (tempat terbitnya bulan) yang telah dijadikan alasan oleh sebahagian ulama dan sebahagian yang lain, maka termasuk bab Tahqiiqu Manaathil Hukmi (penelitian terhadap fakta hukum). Para fukaha terdahulu telah membahasnya untuk fakta yang ada pada zamannya. Pada saat itu, kaum muslim tidak dapat menyampaikan terlihatnya bulan sabit (rukyatulhilal) kepada semua penduduk negara Khilafah yang daerahnya saling berjauhan. Sebabnya, sarana-sarana informasi yang ada pada waktu itu tidak mampu menjangkau semua daerah negara Khilafah.

 

Namun pada saat ini, sarana-sarana informasi yang ada telah mampu menyampaikan informasi rukyatulhilal ke tempat mana pun hanya dalam hitungan saat. Oleh sebab itu, kaum muslim wajib berpuasa atau berbuka hanya kerana mendengar berita rukyatulhilal. Walaupun mereka tidak dapat melihat hilal di negerinya, selagi orang yang melihat hilal adalah muslim, sama saja di Marocco, Makkah, atau di Bukhara. Sama saja melihatnya dengan mata telanjang, teropong, atau lensa pembesar, selagi rukyatulhilal dengan mata benar-benar telah terealisasi.

 

Mengehadkan perhitungan astronomi atau hisab falak, tidak yang lain, untuk mengetahui munculnya hilal tanpa melihatnya dengan mata manusia, itu tidak dianggap sebagai rukyatulhilal dan tidak memiliki nilai syarie. Ini kerana penyebab syarie untuk puasa atau berbuka adalah rukyatulhilal dengan mata. Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila kalian telah melihat hilal, maka berpuasalah, dan apabila kalian telah melihatnya, maka berbukalah. Lalu apabila mendung menutup kalian, maka perkIraqanlah, yakni sempurnakanlah hitungan tiga puluh hari.”

 

Lafaz itu umum mencakup semua muslim di mana saja berada. Sabda Nabi SAW tentang melihat hilal ini dapat terealisasi daripada sesiapa saja orang Islam yang melihatnya. Telah diriwayatkan dari jemaah sahabat Ansar, “Mereka berkata, ‘Hilal Syawal tertutup mendung, lalu kami berpuasa pada pagi harinya.’ Kemudian pada akhir hari ada kafilah datang. Mereka lalu bersaksi kepada Rasulullah SAW bahawa kemarin mereka telah melihat hilal. Beliau lalu menyuruh manusia berbuka pada hari itu juga dan agar mereka keluar untuk salat `Eid pada pagi harinya.” (HR Imam Lima, kecuali Tirmidzi).

 

Jadi, Rasulullah SAW telah menyuruh mereka untuk berbuka pada hari yang dikira sebagai Ramadhan, dengan adanya orang lain yang telah melihat hilal Syawal. Walaupun kafilah itu telah melihat hilal di luar Madinah al-Munawwarah, mereka telah melihatnya dalam perjalanan sebelum sampai ke Madinah.

 

Di sana ada syubhat yang dijadikan hujah oleh orang-orang yang mengatakan bolehnya berselisih dalam memulai puasa dan memulai berbuka disebabkan perselisihan matla’ pada tiap-tiap negeri. Syubhat itu adalah sesuatu yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Kuraib dari Ibnu Abbas ra. dan pada akhir riwayat, “Tidak cukupkah kita berpedoman dengan rukyat dan puasa Muawiyah?”

Ibnu Abbas ra. menjawab, “Tidak, demikianlah Rasulullah SAW telah memerintahkan kepada kami.”

 

Masalahnya, Muawiyah berada di Syam, sedangkan Ibnu Abbas di Madinah. Jawapan terhadap riwayat di atas adalah, sesungguhnya perkataan tersebut bukan merupakan hadis Rasululah SAW, tetapi hanya ijtihad Ibnu Abbas dalam sabda Nabi SAW, “Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihatnya.”

 

Dengan demikian, Ibnu Abbas ra. menganggap bahawa kaum muslim yang melihat hilal di Damsyik, tidak diwajibkan kepada kaum muslim di Madinah. Sebabnya, penduduk Madinah tidak melihat hilal pada hari di mana penduduk Damsyik telah melihatnya. Ini adalah ijtihad Ibnu Abbas. Ijtihad ini menyelisihi apa yang telah diperbuat Rasululah SAW pada hadis terdahulu yang diriwayatkan dari jemaah Ansar, iaitu pengambilan Rasulullah SAW dengan rukyat kafilah yang datang dari luar Madinah al-Munawwarah. Juga menyelisihi perintah beliau SAW kepada kaum muslim di Madinah al-Munawwarah untuk berbuka. Dengan demikian, ijtihad perlu ditinggalkan dan hadis perlu diambil.

 

Sesungguhnya rukyatulhilal hanyalah satu permasalahan kecil dari berbagai masalah penting yang tidak terhitung yang sedang dihadapi kaum muslim saat ini. Kaum muslim menghadapi semua ini dalam kehidupan mereka akibat lenyapnya negara Khilafah yang mengurusi urusan-urusan mereka dengan hukum-hukum Islam dan menyatukan mereka di bawah naungan bendera, Lailaha illallah Muhammad Rasulullah.

 

Oleh kerananya, wajib atas kaum muslim untuk memecahkan masalah-masalah mereka dengan pemecahan yang benar dan mengakar. Kaum muslim hendaklah berusaha dengan sungguh-sungguh dan ikhlas, bersama orang-orang yang ikhlas dan sedang beraktiviti untuk melangsungkan kehidupan Islam dengan mengembalikan negara Khilafah. Kemudian kaum muslim mestilah mengangkat khalifah bagi kaum muslim yang mengumpulkan kalimah mereka, menyatukan barisan mereka, dan menerapkan agama Allah atas mereka.

 

Kaum muslim mestilah mengemban risalah Islam ke penjuru dunia dan berjihad agar kalimah (agama) Allah benar-benar luhur. Dengan demikian, kaum muslim dapat hidup dengan kehidupan yang mulia di dunia dan meraih ridwanullah di akhirat.

 

“Katakanlah, ‘Bekerjalah kalian, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan kalian itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan.’” (TMQ At-Taubah: 105).

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #HukumSyarak #RukyatulHilal

 

Exit mobile version