Site icon MuslimahHTM News

Hasad dan Hasud Pada Anak

Hasad dan Hasud Pada Anak

 

Oleh: Ustaz Iwan Januar

 

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

“Hati-hatilah kalian terhadap hasad kerana ia memakan kebaikan laksana api memakan kayu.” (HR. Abu Daud)

 

Hasad merupakan salah satu penyakit hati yang wajar diberi perhatian oleh para ibu bapa dan guru. Ini kerana ia bukan sahaja menimpa golongan dewasa, malah boleh merebak kepada kanak-kanak dan remaja. Hal ini disebabkan oleh fitrah manusia yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan perasaan cemburu dan semangat persaingan. Perasaan ini merupakan manifestasi daripada naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’) yang wujud dalam diri manusia, termasuklah dalam kalangan kanak-kanak.

 

Para ulama menjelaskan bahawa hasad ialah keinginan dalam hati seseorang agar nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada saudaranya itu lenyap. Sebahagian ulama lain pula mentakrifkan hasad sebagai ketidaksenangan hati seseorang terhadap nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Nikmat tersebut boleh terdiri daripada pelbagai bentuk seperti harta, pencapaian, rupa paras dan penampilan, bilangan rakan, dan sebagainya.

 

Permulaan sifat hasad lazimnya bermula daripada rasa cemburu seorang anak terhadap saudaranya atau rakannya. Ia mungkin berpunca daripada perkara remeh seperti makanan ringan, mainan, bilangan kawan dan sebagainya. Cuba sekali-sekala perhatikan kata-kata anak-anak;

 

“Abang bertuah ya, minta kasut futsal terus dibelikan, sedangkan saya belum ada kasut untuk bermain bola.”

Atau, “Nisa ramai kawan sebab dia orang kaya, saya cuma ada sedikit kawan,” dan sebagainya.

 

Perasaan cemburu ini boleh bertukar menjadi hasad atau dengki dalam diri anak sekiranya ibu bapa tidak segera menanganinya serta tidak memberikan dorongan dan motivasi yang positif kepada anak. Hasad dalam diri anak boleh menjadi semakin serius sekiranya ibu bapa sebaliknya menyokong perasaan ‘cemburu’ tersebut dan bersikap tidak adil antara anak-anak.

 

Ramai ibu bapa yang tidak memahami perkembangan mental anak, mengabaikan penanaman adab dalam pergaulan, atau tersilap dalam cara menangani situasi, sehingga menyebabkan sikap hasad itu berkembang dan terbawa sehingga anak meningkat dewasa. Terdapat segelintir ibu bapa yang beranggapan bahawa perkara tersebut adalah sesuatu yang lumrah berlaku dalam kalangan anak-anak, lalu membiarkannya berterusan tanpa kawalan. Tanpa disedari, ibu bapa sebenarnya sedang menanam benih penyakit hati yang tahapnya boleh terus meningkat dari semasa ke semasa.

 

Mengapa hasad dalam diri anak perlu segera dibendung?

 

Pertama, kerana hasad merupakan penyakit hati yang membawa implikasi dosa kepada setiap Muslim. Sebagaimana dinyatakan dalam hadis di atas, hasad boleh menghapuskan kebaikan. Dalam kitab ‘Aunul Ma’bud dijelaskan bahawa hasad menyebabkan seseorang membenci nikmat Allah yang dikurniakan kepada saudaranya atau rakannya.

 

Kedua, hasad boleh mendorong anak untuk melakukan perbuatan lain yang tidak terpuji. Dalam kitab Faidul Qadir dinyatakan bahawa hasad merosakkan kebaikan kerana ia boleh mendorong pelakunya untuk mengumpat orang yang dibenci, mencaci maki, dan kadangkala bertindak merosakkan harta atau menganiaya orang tersebut serta melakukan pelbagai bentuk kezaliman yang lain.

 

Hasad, Hasutan dan Buli

 

Sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Faidul Qadir, hasad boleh mendorong seseorang untuk melakukan pelbagai perbuatan antisosial. Antara punca kes buli yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak adalah penyakit hasad. Sebagai contoh, perasaan cemburu segelintir murid terhadap rakan yang mempunyai ramai kawan atau cemerlang dalam pelajaran sehingga disayangi oleh guru, boleh berkembang menjadi hasad yang membawa kepada perlakuan membuli. Antara bentuknya adalah mangsa dipinggirkan dengan cara hasutan terhadap rakan-rakan lain, seperti menyebarkan aibnya atau mencacinya, dan lebih malang menambah unsur pembohongan.

 

Dalam beberapa kes, disebabkan halusnya bentuk penghasutan dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru juga boleh terpedaya sehingga menyangka bahawa mangsa buli tersebut sememangnya seorang anak yang bermasalah. Sebagai contoh, apabila sekumpulan murid berpakat mengatakan bahawa si fulan bersikap sombong, memilih kawan, enggan berkongsi ilmu, dan sebagainya. Tekanan terhadap mangsa buli boleh meningkat jika ibu bapa atau guru tidak memberikan penjelasan dan tidak segera menjernihkan keadaan.

 

Dalam lembaran sejarah, kita dapat melihat betapa halusnya hasutan dan fitnah yang dilemparkan oleh ketua golongan munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul, terhadap Ummul Mukminin Aisyah RA. Sehingga ada dalam kalangan para sahabat yang mempercayai hasutan tersebut, manakala sebahagian yang lain berada dalam keadaan bingung. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya menangani fitnah tersebut sekiranya tidak dibantu dengan wahyu daripada Allah SWT yang menjelaskan fakta sebenar.

 

Bukankah kesan daripada hasad dan hasutan ini amat berat? Sehingga orang yang menjadi mangsa akhirnya disudutkan sebagai pelaku keburukan. Bahkan, Ummul Mukminin sendiri pernah menjadi mangsa kepada hasad dan hasutan golongan yang berniat jahat.

 

Penanganan Segera

 

Oleh itu, hasad bukanlah masalah remeh yang boleh dipandang ringan oleh ibu bapa, guru mahupun para pendidik di sekolah atau institusi pendidikan seperti madrasah dan pondok. Hasad bersifat halus dan boleh berkembang menjadi bentuk penghasutan yang menzalimi orang lain. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa dan guru bagi mengelakkan perkara ini daripada terus merebak, antaranya:

 

  1. Mengajarkan rasa syukur kepada anak. Hasad timbul akibat rasa cemburu, maka penting untuk menanamkan rasa syukur dalam diri anak atas nikmat yang telah Allah kurniakan kepada mereka, serta mengajar mereka agar tidak membanding-bandingkan diri dengan orang lain.

 

  1. Ajarkan anak untuk memelihara persahabatan yang berlandaskan nilai-nilai Islam, tidak saling membenci, tidak saling iri hati, sebaliknya saling bantu-membantu. Fahamkan kepada mereka bahawa syaitan sentiasa berusaha memecah-belahkan orang-orang beriman agar saling bermusuhan, maka jangan menjadi pembantu syaitan dengan memusuhi saudara atau sahabat sendiri.

 

  1. Didik anak untuk berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Sekiranya mereka merasa cemburu terhadap rakan yang menunjukkan akhlak mulia atau berprestasi tinggi, dorong mereka untuk meneladani kebaikan tersebut dan bersaing secara sihat dalam mencapai kecemerlangan.

 

Selain itu, ibu bapa dan guru hendaklah melakukan tabayyun apabila anak atau murid melaporkan tingkah laku buruk rakannya. Ini kerana terdapat sebahagian anak yang sanggup berbohong atau membesar-besarkan isu dalam pergaulan sehingga akhirnya merugikan pihak lain.

 

Semoga Allah SWT melindungi anak-anak kita dan seluruh kaum Muslimin daripada penyakit hasad, agar tidak berlaku zalim terhadap orang lain melalui hasutan-hasutan yang dipenuhi dengan kebencian.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan Kami! Ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.’” [TMQ Al-Hasy-r (59): 10]

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#akhlak #akhlakanak #keperibadian

#hasad #hasud #penyakithati #buli

Exit mobile version