Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Hari-Hari Pemisah dalam Kehidupan Manusia (Bahagian 1/3)

[Mafahim Islamiyyah] Hari-Hari Pemisah dalam Kehidupan Manusia (Bahagian 1/3)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

Dalam kehidupan setiap pemimpin dan setiap umat, ada hari-hari pemisah, yakni pemisah antara hak dan batil, serta kekalahan dan kemenangan. Hari-hari yang mempengaruhi kehidupan generasi yang telah berlalu kerana hari-hari itu telah menuntut mereka meniti jalan kebangkitan dan kekuatan. Juga telah mempengaruhi generasi-generasi yang datang setelahnya kerana hari-hari itu menjadi obor bagi mereka untuk meniti jalan ketinggian dan kemenangan.

Hari-hari yang selalu dipelajari sinarnya dan kaum muslim rindu untuk memperbaharuinya. Sesungguhnya hari-hari itu adalah hari-hari hijrahnya Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah al-Munawwarah. Hari-hari yang tiada bandingannya dalam kehidupan para pemimpin umat di penjuru dunia kerana pengaruhnya tidak terbatas pada satu umat atau generasi. Akan tetapi terus merayap ke seluruh manusia hingga Allah SWT mewariskan bumi dan isinya kapada kaum muslim.

Rasulullah SAW telah mendapat pertolongan semasa Baiat Aqabah II, iaitu baiat perang dari kaum muslim suku Aus dan Khazraj, penduduk Yathrib, iaitu orang-orang yang ikut serta berbaiat kepada Nabi. Mereka berbaiat untuk memerangi suku yang berkulit merah dan hitam. Juga untuk mendengar dan taat, baik dalam keadaan sukar dan senang, suka dan benci, dan agar mereka mengatakan yang hak dengan tidak takut cercaan orang yang mencerca. Berita-berita baiat itu sampai kepada orang Quraisy sehingga mereka menjadi gila dan gangguan mereka kepada kaum muslim di Mekah bertambah berat.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya, “Sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi kalian di Madinah, banyak saudara dan negeri-negeri yang kalian akan merasa aman, maka susullah saudara-saudara kalian dari Ansar.” Mereka lalu berangkat hijrah ke Madinah. Setiap orang berangkat dengan cara dan sarananya masing-masing.

Orang Quraisy merasakan adanya bahaya itu. Kemudian para pemimpin Quraisy sepakat untuk membunuh Rasulullah SAW sebagai pemimpin dakwah. Mereka melakukannya sebelum Rasulullah SAW lepas dari kekuasaan mereka dan sebelum beliau mempunyai kekuatan dan kekuasaan dari orang Muhajirin dan Ansar di Madinah. Juga sebelum Nabi SAW kembali dengan kekuatannya untuk memerangi mereka dan menghancurkan pemimpin-pemimpin mereka.

Selanjutnya, Jibril as. turun memberi berita kepada Rasulullah. Jibril as. memerintahkan agar Rasulullah SAW tidak bermalam di tempat tidurnya dan segera hijrah ke Madinah. Nabi SAW lalu meninggalkan Ali bin Abi Thalib di tempat tidurnya dan menyuruhnya agar menyampaikan barang titipan yang ada pada beliau kepada para pemiliknya. Beliau SAW segera menuju Gua Tsur, lalu memasukinya bersama Abu Bakar ash-Shiddiq yang telah menunggunya untuk menemaninya dalam hijrah.

Nabi SAW menyuruh Abdullah bin Abu Bakar untuk mendengarkan apa saja yang dikatakan orang-orang musyrik tentang keduanya (Nabi dan Abu Bakar). Kemudian Abdullah bin Abu Bakar datang kepada keduanya pada petang hari dengan membawa berita. Beliau menyuruh Amir bin Fuhairah untuk mengikuti jejak-jejak keduanya dengan kambing-kambing dan menyuruh Asma binti Abu Bakar untuk mengirim makanan kepada beliau berdua.

Setelah tiga malam berlalu dan manusia sudah tidak mencarinya lagi, datanglah kepada keduanya penunjuk jalan yang mahir, iaitu Abdullah bin Uraiqoth dengan membawa unta-unta yang layak untuk dinaiki. Beserta Amir bin Fuhairah dengan kambing-kambingnya, mereka lalu berjalan menuju Madinah melalui jalan yang jarang dilalui. Mereka disusul oleh Suraqah bin Malik yang sangat tamak dengan upah dari orang Quraisy.

Nabi SAW segera menulis surat untuk Suraqah dengan janji mendapat perhiasan Kisra Ratu Parsi. Kemudian mereka berjalan melewati tenda Ummi Ma’bad dan menghilangkan haus dahaganya dengan perahan susu kambing Ummi Ma’bad. Mereka lalu berjalan lagi hingga bertemu Aus bin Hajar al-Aslami yang memberi mereka satu unta untuk membawa Rasulullah SAW ke Madinah.

Seterusnya, mereka tiba di Quba, iaitu sebuah tempat yang terletak berhampiran Madinah. Mereka menetap bersama Amru bin ‘Auf di rumah Sa’ad bin Khaitsamah, salah seorang wakil daripada golongan yang turut serta dalam Bai‘at Aqabah II. Rumah itu sering digelar sebagai ‘Rumah Para Bujang’. Rasulullah SAW bermukim di rumah tersebut selama empat hari sebelum Baginda berangkat menuju ke jantung kota Madinah al-Munawwarah.

Ketika Baginda melewati perkampungan demi perkampungan kaum Muslimin, mereka keluar menyambutnya seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, menetaplah di tempat kami. Golongan kami ramai, kelengkapan kami mencukupi, dan kekuatan kami boleh diharapkan.’ Lalu Baginda menjawab mereka dari atas untanya: “Bukalah jalannya (unta). Sesungguhnya ia telah mendapat perintah.” Kemudian unta itu berjalan terus membawa beliau hingga unta itu berhenti dan merebahkan diri di kawasan perumahan Bani Najar, tepatnya di tempat menumbuk dan menimbun biji-bijian milik dua anak yatim. Rasulullah SAW lalu membelinya dari keduanya.

Di tempat itu, beliau bersama kaum muslim mula membangun masjid dan rumah-rumah beliau. Abu Ayub, Khalid bin Zaid al-Ansari mengangkat kantung pelana Nabi dan meletakkan di rumahnya. Rasulullah SAW tinggal di rumahnya sebagai tamu sehingga mereka selesai membangun masjid dan rumah-rumah.

Sesungguhnya hari-hari yang singkat ini adalah hari deklarasi ditegakkannya Negara Islam dan hari-hari pertama dari usia negara yang masih muda dan khas. Juga hari-hari ketika peristiwa-peristiwa terus berjalan menyertai negara dan perubahan yang mendasar. Semuanya mengikat kaum muslim dengan kekuatan dan mengasah akal mereka untuk memahami dan mengambil berbagai pelajaran darinya. Juga untuk menggali hukum-hukum yang dibutuhkan demi mengubah realiti mereka yang buruk, iaitu mereka yang hidup pada akhir abad ke-20 Masihi.

Hari-hari itu yang membangkitkan cita-cita dengan kemenangan pada mereka agar bangkit dari kemundurannya. Walaupun musuh-musuh menyerang mereka dan berbagai bahaya menyelimuti mereka. Sesungguhnya hari-hari itu adalah hari-hari yang sukar, genting, dan kritikal kerana adanya gangguan terhadap kaum muslim dan Rasululah SAW di Mekah yang mencapai puncaknya.

Demikianlah, mereka meninggalkan tanah kelahiran dan keluarganya, serta melepas rumah-rumah dan harta bendanya kerana pergi membawa agamanya. Sebahagian mereka ada yang hijrah ke tanah Habsyah dan ada pula yang ke Madinah. Adapun orang-orang yang lemah, mereka tetap bermukim di Mekah dalam keadaan ketakutan dan menyembunyikan keislaman mereka.

Ketika itu dendam kaum musyrikin telah mencapai kemuncaknya sehingga mereka sepakat untuk membunuh Rasulullah SAW walaupun beliau berada dalam perlindungan, pengawasan, dan penjagaan keluarganya.

Adapun kaum musyrikin dari suku Aus dan Khazraj dengan dukungan dari orang Yahudi Madinah, mereka mula menyusun manik-manik untuk dijadikan mahkota bagi Abdullah bin Salul sebagai raja mereka di Madinah. Madinah adalah Madinah Nushrah (pertolongan) dan titik sentral (nuqthatul irtikaz) bagi tegaknya Negara Islam.

Saat itu terjadi suasana permusuhan dan saling berhadapan antara Islam dan kekufuran. Juga antara kaum muslim yang tidak diperintah untuk menggunakan senjata dan kaum musyrikin yang memiliki kekuatan fizikal dan mampu memukul dakwah yang berada dalam ayunannya. Akibatnya, keputusasaan nyaris meresap ke dalam jiwa sebahagian kaum muslim. Mereka lalu berangkat dengan tergesa-gesa untuk bertanya kepada Rasulullah SAW tentang janji kemenangan.

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

Exit mobile version