Site icon MuslimahHTM News

Menjadikan Anak Sebagai Imam Bagi Orang-Orang Bertakwa

Menjadikan Anak Sebagai Imam Bagi Orang-Orang Bertakwa

Oleh: Ustazah Yanti Tanjung

Mendidik anak supaya menjadi seorang pemimpin merupakan satu orientasi pendidikan yang wajib diberikan perhatian serius dan diutamakan. Ini penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negara yang tidak mengalami krisis, di mana generasi pemimpin sentiasa tersedia pada setiap zaman.

Melihat realiti kepimpinan dalam sistem sekular-demokrasi hari ini, para ibu yang cekal perlu merancang semula orientasi kelahiran anak-anak dari rahim mereka. Anak-anak yang lahir bukan sahaja sekadar menjadi penghafaz al-Quran, cemerlang dalam bidang sains dan teknologi serta mampu bekerja di pelbagai agensi kerajaan, yang mana hanya mengukuhkan sistem sedia ada.

Sebaliknya, anak-anak tersebut haruslah menjadi insan yang akan menjadi imam di hadapan orang-orang yang bertakwa. Bukankah kita sering berdoa, “Ya Rabb kami, berikanlah kepada kami pasangan-pasangan dan anak keturunan kami sebagai cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin (imam) bagi orang-orang yang bertakwa.”

Agar anak dapat menjadi seorang pemimpin, kemandirian dan kemampuan diperluan agar anak boleh menguruskan urusannya sendiri. Anak yang manja, sehingga mencapai usia baligh pun masih bergantung kepada ibu bapa untuk diuruskan, kelak tidak akan menjadi pemimpin dan tidak mampu menguruskan urusan orang lain, malah akan menjadi individu yang sentiasa diuruskan oleh orang lain.

Beberapa perkara yang perlu disediakan adalah:

1. Tanggungjawab

Tanggungjawab merupakan sifat yang paling melekat dalam diri seorang pemimpin, dan tanggungjawab yang paling agung adalah tanggungjawab kepada Allah SWT. Ajarlah anak untuk sentiasa bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya, walau sekecil mana sekalipun. Contohnya, tanggungjawab menjaga keutuhan mainan, menjaga keselamatan adik apabila ditinggalkan sebentar, menjaga kebersihan, dan sebagainya.

Lebih penting lagi, ajarlah anak memikul tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh Allah SWT, seperti memastikan terlaksananya hukum-hukum Allah dalam kehidupan seharian.

2. Terbiasa Berfikir Mencari Penyelesaian

Pertimbangan yang bijaksana dan tepat dalam membuat keputusan merupakan salah satu ciri pemimpin yang disayangi. Oleh itu, bimbinglah anak agar sentiasa terlatih untuk memikirkan sesuatu permasalahan dan mencari penyelesaian yang selari dengan landasan akidah yang telah ditanamkan dalam dirinya.

Kita boleh meminta anak membuat keputusan dalam situasi pertelingkahan antara adik-beradik, dan minta mereka mengemukakan penyelesaian terlebih dahulu sebelum ibu memberikan cadangan. Jika berlaku tangisan dalam kalangan mereka, biarkan mereka menangis sambil dijelaskan bahawa masalah tidak akan selesai hanya dengan tangisan. Sebaliknya, ajarkan mereka untuk berbicara dan berfikir mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu.

3. Komunikatif

Seorang pemimpin kebiasaannya akan mengkomunikasikan rancangan, matlamat dan sasaran sebelum melaksanakan sesuatu tindakan. Maka, biasakan anak untuk berkongsi rancangan hariannya dan menjelaskan langkah-langkah yang ingin diambil bagi merealisasikan matlamat tersebut.

Sebagai contoh, jika esok merupakan hari program berenang, anak sudah berbincang sejak hari sebelumnya tentang apa yang perlu disediakan dan bagaimana untuk sampai ke tempat tujuan. Jika ada perkara yang dirasakan perlu diperbaiki, jangan terus memberi keputusan. Sebaliknya, berikan cadangan atau saranan dan minta anak menilai serta mempertimbangkannya sendiri agar dia sendiri yang membuat keputusan.

4. Mampu Memberi Pengaruh kepada Orang Lain

Pernahkah anda melihat anak yang sentiasa diikuti oleh rakan-rakannya, sangat dikagumi, dan sering diminta pendapat dalam pelbagai perkara? Contohnya, permainan apa yang hendak dimain, waktu yang sesuai untuk belajar atau menghafal al-Quran, dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa anak tersebut mempunyai pengaruh yang kuat, dan potensi ini boleh menjadikan dirinya sebagai subjek atau pelaku perubahan — tentunya ke arah yang lebih baik.

Biasanya, anak seperti ini kaya dengan idea, bersifat kreatif, dan disenangi oleh rakan-rakannya. Kebiasaan bertutur dengan fasih, menggunakan kata-kata yang jelas dan tegas, serta memiliki pemikiran yang bernas menjadi daya tarikan tersendiri yang menjadikan dirinya dirindui dan disukai oleh rakan-rakan. Semua ini amat berkait rapat dengan pola asuhan dan didikan yang diterapkan oleh ibu bapa.

Ada ibu bapa yang bersifat autoritarian dan mahukan segalanya dipatuhi serta dilaksanakan segera. Cara ini hanya akan melahirkan pola kepimpinan autoritarian juga, atau mungkin menyebabkan anak tidak mampu memimpin kerana terbiasa tunduk dan patuh di bawah arahan orang lain.

Terdapat juga ibu bapa yang terlalu permisif iaitu membenarkan segala kehendak anak tanpa batasan sehingga sukar dikawal dan akhirnya boleh merosakkan suasana. Ada juga ibu bapa yang terlalu protective hingga anak tidak diberi kepercayaan dan akhirnya hilang keyakinan diri.

Jadi, apakah pendekatan yang sepatutnya diambil?

Sudah tentu, pola asuhan yang menepati acuan Islam serta pendidikan berterusan berlandaskan akidah Islamiyyah. Pada asasnya, anak-anak akan meniru gaya kepimpinan ibu bapa mereka. Maka, kepimpinan ibu dan bapa perlu sentiasa diasah agar menjadi lebih baik dan lebih mantap, seterusnya dapat diwariskan kepada anak-anak mereka.

Jadi, pemimpin peradaban itu kelak akan lahir daripada anak-anak kita yang akan memimpin di era Khilafah, menggantikan kepimpinan hari ini yang berada dalam kerangka kapitalisme dan demokrasi.


#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#GenerasiPemimpin

Exit mobile version