[Mafahim Islamiyyah] Kedudukan Adat dalam Undang-Undang Islam (Bahagian 1/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT telah mengutus Muhammad SAW kepada semua manusia untuk mengatur interaksi-interaksi mereka sampai Hari Kiamat. Dengan demikian, tidak dibolehkan, bahkan haram apabila dikatakan, “Sesungguhnya ada satu perkara (perkara bererti perbuatan atau sesuatu) dari sejumlah perkara yang tidak memiliki hukum dalam Islam.” Ini kerana Allah SWT berfirman, “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kalian agama kalian dan telah Ku cukupkan kepada kalian nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam menjadi agama kalian.” (TMQ Al-Maidah: 3).
Juga firman-Nya SWT, “Dan Kami telah turunkan kepadamu al-kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (TMQ An-Nahl: 89).
Seorang muslim diharamkan mensifatkan suatu perbuatan atau benda dengan halal atau haram, tanpa menyandarkannya pada dalil syarak. Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” (TMQ An-Nahl: 116).
Apabila kaum muslim tidak menemukan hukum benda atau perbuatan pada dalil-dalil syarak, maka yang demikian itu tidak disebabkan kekurangan atau kelalaian dalil-dalil syarak. Akan tetapi hanya disebabkan kelemahan dan kekurangan mereka dalam usaha menghasilkan hukum (istinbat).
Berdasarkan penelitian ulama usul pada nas-nas yang datang melalui wahyu, mereka telah menemukan bahawasanya dalil-dalil syarak global (umum), yakni sumber undang-undang dalam Islam, di antaranya ada yang bersifat yakin dan qath’i sehingga mereka tidak berselisih akan keberadaannya sebagai sumber hukum-hukum Islam, iaitu Al-Quran al-Karim dan sunnah Nabi.
Di antaranya ada yang diperselisihkan ulama dalam hujahnya sebagai sumber hukum-hukum, seperti qiyas, ijmam, mashaalihul Mursalah, istihsan, syariat orang sebelum kita, urf (adat/tradisi), dan lain-lain.
Secara syarak, kaum muslim diperintahkan untuk mengambil apa saja yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW dari sisi Allah Taala. Allah SWT berfirman, “Dan apa saja yang diberikan Rasul kepada kalian, maka terimalah ia. Dan apa saja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
Allah SWT benar-benar telah melarang kita dengan larangan yang tegas dari mengambil selain Islam. Allah SWT berfirman, “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (TMQ Ali Imran: 85).
Dengan demikian, mengambil satu hukum dari selain Islam adalah haram dengan nas ayat di atas. Suatu hukum boleh menjadi hukum syarak kalau diambil dari sumber syarak yang dalilnya telah menunjukkan bahawasanya sumber itu dari Allah secara pasti. Apabila sumber itu hanya bersifat dugaan, maka akan terjadi kemungkinan bahawa sumber itu datang dari selain Allah Taala.
Allah SWT benar-benar telah melarang kita mengikuti dugaan dalam masalah usuludin kerana merupakan Bahagian dari akidah muslim. Allah SWT berfirman, “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.” (TMQ Al-Baqarah: 285).
Selagi iman merupakan pembenaran yang pasti dan sesuai dengan realiti yang datang dari dalil, maka perlu diyakini bahawa yang menjadi rujukan iman untuk mengambil hukum-hukumnya adalah wahyu dari sisi Allah. Allah SWT berfirman, “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (TMQ Al-Isra’: 36).
Juga firman-Nya, “Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.” (TMQ Yunus: 36).
Sumber perundangan adalah asas bagi hukum-hukum. Oleh sebab itu, asas ini perlu kuat dan terbatas, agar di atasnya boleh dibangun berupa bangunan yang selamat dan akurat. Jika tidak, bangunan itu akan roboh sewaktu-waktu.
Jiwa orang Islam juga perlu merasa tenang dan damai dengan sumber tersebut. Dia mengambil hukum-hukum syarak yang berkenaan dengan aktivitinya untuk mengukuhkan bahawa dia benar-benar taat kepada Allah dalam perkara yang dia lakukan. Tujuannya adalah untuk meraih puncak (ghayah) yang dia akan hidup kerananya, iaitu mendapat redha Allah Taala.
Melalui penerangan di atas, kami akan membahas sekitar topik urf (adat/tradisi) apabila menjadi sumber dari semua sumber undang-undang Islam atau yang tidak menjadi sumber.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Urf #HukumSyarak #Adat

