Site icon MuslimahHTM News

HILMI: Pengiktirafan Barat terhadap Negara Palestin Hanyalah Gimik Geopolitik Tanpa Mengubah Realiti di Lapangan

HILMI: Pengiktirafan Barat terhadap Negara Palestin Hanyalah Gimik Geopolitik Tanpa Mengubah Realiti di Lapangan

 

Oleh: M. Siregar

 

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dunia antarabangsa digemparkan dengan keputusan beberapa buah negara Barat — termasuk Britain, Kanada, Australia dan lain-lain — yang mengisytiharkan pengiktirafan terhadap negara Palestin. Tindakan ini dilihat sebagai satu pencapaian diplomatik besar, dan ramai pihak menyambutnya dengan penuh euforia, malah menganggapnya sebagai tanda bahawa Palestin telah “menang”.

 

Namun begitu, Himpunan Intelektual Muslim Indonesia (HILMI) menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut tidak lebih daripada gimik geopolitik yang tidak akan mengubah realiti sebenar di lapangan.

 

“Jika diteliti secara mendalam, pengiktirafan ini tidak lebih daripada satu gimik geopolitik: satu manuver simbolik penuh drama yang tidak mengubah realiti di lapangan,” demikian kenyataan dalam Intellectual Opinion Nombor 19, Selasa (23/09/2025).

 

Dalam pandangan tersebut, HILMI menegaskan bahawa pengiktirafan Barat sebenarnya memperlihatkan kelicikan strategi politik antarabangsa yang bertujuan membentuk “Palestin versi Israel” iaitu sebuah entiti tanpa kedaulatan ketenteraan, tanpa Gaza, tanpa senjata dan kekal di bawah bayang-bayang hegemoni Zionis.

 

Oleh kerana itu, melalui pandangan yang diterbitkan, HILMI cuba mengupas lapisan demi lapisan makna di sebalik pengiktirafan tersebut, sekaligus menegaskan bahawa kemerdekaan sebenar Palestin hanya akan terwujud melalui perpaduan umat Islam, bukan melalui sandiwara diplomasi.

 

Pengiktirafan Barat: Antara Retorik dan Realiti

 

Berdasarkan sejarah, Britain merupakan antara pelaku utama kelahiran Israel melalui Deklarasi Balfour (1917). Kini, satu abad kemudian, negara itu kembali memainkan peranan simbolik dengan mengiktiraf Palestin.

 

Namun motif di sebaliknya jauh daripada keikhlasan. Menurut pandangan HILMI, terdapat empat tujuan strategik tersembunyi di sebalik retorik pengiktirafan negara Palestin oleh Barat:

 

Pertama, mencuci tangan daripada kejahatan Israel. Barat berusaha menutup jejak keterlibatan mereka dalam mendukung tindakan genosid dan aparteid yang dilakukan oleh Israel selama berpuluh-puluh tahun.

 

Kedua, demi meredam tekanan dalaman daripada generasi muda di Barat, khususnya Generasi Z yang semakin lantang menyokong Palestin dan menentang Israel. Pengiktirafan simbolik berfungsi sebagai injap keselamatan untuk mengelakkan pemerintah daripada kehilangan legitimasi.

 

Ketiga, sekadar upacara dalih bagi menutup kejahatan berterusan Israel. Barat boleh berdalih bahawa mereka telah mengiktiraf Palestin, dan selebihnya bukan lagi tanggungjawab mereka.

 

Keempat, memudahkan agenda Israel. Menurut HILMI, Barat ingin memaksakan kelahiran sebuah negara Palestin yang sesuai dengan reka bentuk Netanyahu dan sekutunya iaitu Palestin yang lemah, terpecah dan mudah dikawal.

 

Dengan demikian, pengiktirafan Barat sebenarnya merupakan satu bentuk kejahatan lain, bukan penyelesaian konflik, tetapi cara untuk menutup ruang agar Israel dapat meneruskan pencerobohannya dengan lebih bebas.

 

PBB: Panggung Sandiwara Global

 

Fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut HILMI, tidak lebih daripada sekadar panggung retorik dalam isu Palestin. Sokongan majoriti Majlis Umum PBB bersifat simbolik dan tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

 

“Sejak dahulu, PBB telah menjadi medan retorik dalam isu Palestin. Resolusi demi resolusi berkaitan gencatan senjata atau hak rakyat Palestin hampir selalu digagalkan oleh veto Amerika Syarikat. Sokongan majoriti di Majlis Umum hanyalah simbolik, tanpa kuasa pelaksanaan,” jelas HILMI.

 

Selain itu, kenyataan para pemimpin Barat di pentas PBB hanyalah sebatas “pintu keluar kecemasan” untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab moral. Sementara itu, di lapangan, Israel terus memperluas penempatan haram di Tebing Barat, meratakan Gaza dan berusaha melenyapkan Hamas.

 

Beberapa hari lalu, menurut HILMI, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dalam pertemuannya dengan Donald Trump, secara terang-terangan menyatakan bahawa Palestin mesti wujud “tanpa Hamas” dan melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas. Pernyataan tersebut membuktikan bahawa pengiktirafan Barat hanyalah bentuk sokongan terhadap projek kolonial Israel.

 

Euforia Sesaat: Gencatan Senjata Januari 2025

 

Ketika gencatan senjata diumumkan pada Januari 2025, ramai pihak menyambutnya dengan penuh euforia. Naratif “Palestin telah menang” bergema di pelbagai saluran media.

 

Namun begitu, menurut HILMI, gencatan tersebut hanyalah taktik Israel untuk bernafas sejenak, memperbaiki logistik dan mengisi semula persenjataan.

 

“Sejarah membuktikan bahawa Israel tidak pernah berhenti menyerang kerana kalah, tetapi kerana keperluan taktikal. Setelah tempoh jeda itu berlalu, Israel akan kembali dengan kejahatan yang lebih dahsyat, menghentam Gaza dan mempercepat proses penaklukan Tebing Barat,” ujar HILMI.

 

Oleh itu, euforia kemenangan simbolik ini sangat berbahaya kerana ibarat menidurkan kesedaran umat Islam sedunia, membuat mereka berasa perjuangan telah selesai, sedangkan musuh sebenarnya sedang menyiapkan serangan yang lebih keras.

 

Harga yang Mahal Bagi Palestin

 

Akibat gimik pengiktirafan kemerdekaan daripada negara-negara Barat, Palestin menanggung beban yang amat berat, termasuk semakin parahnya perpecahan politik dalaman antara Fatah dan Hamas, manakala rakyat awam terus menjadi mangsa.

 

Peta wilayah Palestin juga semakin terpecah-pecah. Gaza dihancurkan, Tebing Barat dikepung oleh penempatan haram Yahudi dan Baitul Maqdis ditelan oleh Israel.

 

Di sisi lain, menurut HILMI, dunia Arab semakin pasif. Alih-alih menentang, banyak negara Arab malah menormalisasi hubungan dengan Israel demi kepentingan ekonomi jangka pendek.

 

“Semua ini menyebabkan Palestin semakin sukar untuk bertahan, apatah lagi mencapai kemerdekaan,” tegas HILMI.

 

Satu-satunya Jalan: Persatuan Umat Islam

 

Seterusnya, HILMI menjelaskan bahawa Israel hanya tunduk kepada bahasa kekuatan. Dalam perang tahun 1948, 1973, dan juga dalam perlawanan Hizbullah pada tahun 2006, Israel berundur kerana berhadapan dengan tentangan bersenjata yang nyata. Retorik diplomasi semata-mata tidak pernah menggoyahkan kedudukan Israel.

 

Kerana itu, masa depan Palestin hanya akan terbuka sekiranya umat Islam mampu melaksanakan tiga langkah berikut:

 

“Pertama, kepentingan negara dialihkan kepada kepentingan umat. Selagi para pemimpin negara Islam hanya mementingkan kestabilan mata wang dan pelaburan asing, Palestin tidak akan menjadi keutamaan. Mereka perlu sedar bahawa membela Palestin merupakan amanah umat, bukan sekadar isu dasar luar negara,” terang HILMI

 

Kedua, memberikan tekanan menyeluruh terhadap Israel. Ini termasuk tekanan dalam aspek ekonomi (memutuskan rantaian bekalan tenaga kepada Barat dan Israel), politik (mengasingkan Israel di forum antarabangsa), serta ketenteraan (menyediakan kuasa penentang yang nyata).

 

Ketiga, Dunia Islam mesti bersatu. Dengan kekuatan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia, perpaduan ini akan menjadi faktor penentu yang tidak mampu ditandingi oleh Israel mahupun sekutu Baratnya.

 

“Seorang ulama pernah berkata, Israel hanya mampu berdiri kerana dunia Islam sedang tidur. Saat dunia Islam terjaga, Israel akan runtuh dengan sendirinya,” tambah HILMI.

 

HILMI meyakini bahawa pengiktirafan Barat terhadap Palestin hanyalah basa-basi politik, bukan kemenangan hakiki. PBB hanyalah pentas sandiwara, dan gencatan senjata hanyalah taktik musuh.

 

Realiti di lapangan menunjukkan bahawa Israel terus melaksanakan projek kolonialnya dengan sokongan padu daripada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Barat.

 

“Palestin hanya akan benar-benar merdeka apabila umat Islam kembali menyedari bahawa kepentingan nasional yang sempit (nasionalisme) mesti dileburkan ke dalam kepentingan besar umat (ukhuwah). Tanpa kesedaran ini, Israel akan terus menancapkan kuku penjajahannya sehingga Palestin tinggal sekadar nama,” tutup HILMI.

 

Sumber: Tintasiyasi

 

#Freepalestine #palestinMerdeka #KesatuanUmat #TegakKhilafah #BreakTheSiege #ArmiesToGaza

Exit mobile version