Membina Mentaliti Pejuang Pada Anak Sejak Kecil
Penulis: Najmah Saiidah
“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian adalah anak-anak dari seorang lelaki dan perempuan yang sama. Tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau membuat malu bapa saudaramu, atau mencalit arang di dahi keluargamu.
Jika kalian telah melihat perang, singsingkan lengan bajumu dan berangkatlah, majulah paling ke depan nescaya kalian akan mendapat pahala di akhirat. Negeri keabadian. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah. Inilah kebenaran sebenar. Untuk itu berperanglah dan demi itu juga berjuanglah sampai mati.
Wahai anakku, carilah maut nescaya dianugerahi hidup.”
Sebuah motivasi yang luar biasa dari seorang ibu ketika melepaskan anak-anaknya berjihad. Perempuan luar biasa ini adalah al-Khansa yang dikenali sebagai Ummu Syuhada (Ibu Para Syuhada). Dengan pendidikan, pembinaan dan motivasi dari seorang ibu yang tangguh, yang ditemani suami yang tangguh juga, keempat-empat anak lelakinya muncul sebagai pejuang Islam terpercaya. Mereka pergi ke medan perang dengan berani dan syahid di medan al-Qadisiyah. Ketika al-Khansa mendengar kesyahidan semua anaknya, dia sedikit pun tidak berasa sedih atau gundah gulana. Bahkan beliau berkata, “Alhamdulillah, Allah telah memuliakan diriku dengan syahidnya anak-anakku.”
Hakikat yang tidak dapat dinafikan, apabila Islam diterapkan secara kâffah, banyak para pejuang dan pembela Islam lahir daripada para ibu dan keluarga yang beriman. Ini kerana, keluarga Muslim pada masa Rasulullah dan sahabat adalah keluarga pejuang. Kita seharusnya banyak belajar dan meneladani mereka dengan baik.
Keluarga Pejuang Islam
Apabila sistem Islam ditegakkan, kita akan melihat bahawa keluarga Muslim pada masa itu adalah keluarga pejuang Islam terpercaya. Dalam diri mereka tertanam mentaliti pejuang yang luar biasa. Keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan sosok teladan bagi umat Islam. Mereka adalah keluarga yang sentiasa gigih berjuang menegakkan kebenaran di muka bumi. Mereka mampu menjadi imam bagi orang-orang bertakwa. Mereka bertanggungjawab menjaga, membela dan menyebarkan risalah ini serta melibatkan keluarga dalam memperjuangkan Islam.
Dalam kisah keluarga al-Khansa di atas, terlihat jelas mentaliti pejuang dalam keluarga ini. Tanggungjawab terhadap umat membuat dirinya menggalakkan keempat-empat anak lelakinya untuk berjuang membela Islam. Demikian juga dengan keluarga Muslim yang lain ketika itu. Di antaranya keluarga Yasir bin Amir bin Malik RA, sentiasa terpahat dalam ingatan kita. Yasir bersama isterinya, Sumayyah binti Khubath RA, dan anak mereka, Amar bin Yasir RA, termasuk tujuh orang pertama yang masuk Islam. Mereka adalah keluarga sakinah sekaligus pejuang dan penegak Islam yang tangguh. Bersedia mempertaruhkan nyawa untuk membela Islam. Mereka menjadikan kemuliaan akhirat sebagai tujuan, dan poros hidup mereka.
Jelas sekali betapa pentingnya peranan keluarga dalam memupuk mentaliti pejuang dan semangat perjuangan dalam diri anak-anak. Oleh kerana itu, para pejuang dan pembela Islam hendaklah mempersiapkan keluarga mereka agar sentiasa berada dalam barisan dakwah, menjadi penerus tonggak perjuangan dan sentiasa bersedia mempertahankan Islam.
Bagaimana Mempersiapkan Anak Bermentaliti Pejuang?
Ibu bapa mana pun pastinya sangat menginginkan anak-anak mereka memiliki tekad yang kuat, bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa apabila mereka berusaha mencapai cita-cita atau menghadapi sebarang keadaan buruk yang menimpa mereka.
Anak-anak kita hari ini berada dalam keadaan yang tidak baik. Pelbagai pemikiran dan budaya di sekeliling mereka, mempengaruhi pola pikir dan pola sikap mereka. Sistem kehidupan sekular kapitalisme yang mencengkam negeri ini memang banyak menyumbang kepada keadaan anak-anak hari ini. Anak-anak malas beribadah. Sukar diajak solat. Tidak biasa menutup aurat. Tidak mahu belajar. Mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa dan orang sekeliling. Mereka malas. Mereka suka menangguh sesuatu perkara yang perlu dilakukan segera. Mood yang tidak baik. Mahukan sesuatu dengan kadar segera. Semua ini sentiasa mewarnai kehidupan anak-anak hari ini. Keadaan ini seharusnya menjadi amaran kepada ibu bapa.
Sekiranya, kita dan ibu-ibu yang lain memiliki orientasi dan prinsip hidup yang sama seperti ibu-ibu seperti al-Khansa, Sumayyah dan ibu lain-lain yang hidup pada zaman sistem Islam tertegak, maka kelak akan melahirkan sosok generasi muda Islam yang mempunyai mentaliti pejuang yang tangguh. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan untuk memastikan keluarga kita melahirkan anak-anak yang bermentaliti pejuang?
Pertama: Menanamkan keimanan yang kukuh. Sejak kecil, anak-anak perlu diperkenalkan dengan akidah Islam. Ibu bapa hendaklah dengan sabar memperkenalkan rukun iman dan Islam kepada anak. Ini adalah asas yang mesti ditanamkan dengan benar dalam diri anak-anak, yang akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan asas agama dalam diri anak. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu dan bapanyalah yang menjadikan dirinya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR al-Bukhari).
Menanamkan keimanan ini akan menjadikan anak kita mengenal Allah sebagai Al-Khâliq al-Mudabbir dan Rasulullah Muhammad SAW sebagai penyampai risalah Islam. Seterusnya, akan menambahkan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi segalanya. Cinta ini akan mendorong anak-anak kita untuk melakukan amalan yang dicintai dan dicontohi oleh Rasulullah SAW. Agar anak-anak semakin mencintai Nabi Muhammad SAW, ibu bapa hendaklah rajin membaca Sirah Nabawiyah yang menerangkan tentang cara-cara Rasulullah SAW memperjuangkan dan menegakkan Islam di muka bumi. Dengan demikian, anak-anak akan memahami syariah, serta cara memperjuangkan dan membela Islam.
Kedua: Memperkenalkan syariah Islam, termasuk adab dan akhlak yang mulia sejak kecil. Rasulullah SAW bersabda, “Perintahkanlah anak-anakmu agar mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun. Pukullah mereka (jika meninggalkan solat) ketika telah berumur sepuluh tahun.”
Hadis ini menjelaskan tentang kewajipan ibu bapa untuk mengajarkan salah satu syariah Islam, iaitu solat. Demikian juga hukum-hukum yang lain, seperti kewajipan berpakaian sempurna, larangan mencuri, dan sebagainya. Ibu bapa juga mesti menjelaskan hukum yang lima (ahkâm al-khamsah), adab dan akhlak. Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke majlis-majlis ilmu untuk meluaskan pemahaman mereka tentang syariah Islam, berdiskusi bersama, dan sebagainya.
Seiring berjalannya waktu, iman mereka semakin kuat, dan juga semakin kuat dorongan mereka untuk belajar Islam. Sudah tentu pemahaman tentang syariah Islam semakin luas. Mereka juga berasa semakin bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Tambahan pula, mereka akan memahami betapa istimewanya syariah Islam. Ini semua menjadi kekuatan pendorong dalam diri mereka untuk mengamalkan Islam dalam mengharungi kehidupan. Mereka akan merindukan penerapan syariah Islam di muka bumi. Akhirnya, mereka akan sentiasa terdorong untuk menyebarkan dan berjuang untuk Islam.
Ketiga: Bercerita tentang kehidupan para sahabat Nabi SAW. Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak tentang kehidupan para sahabat Nabi SAW. Para sahabat adalah orang-orang berkeperibadian unggul dan mulia kerana dorongan akidah Islam. Rasulullah SAW telah meletakkan asas akidah yang kukuh kepada para sahabat.
Kepada anak pra-baligh, ibu bapa boleh berulang kali menceritakan kisah para sahabat. Dengan demikian, anak-anak akan bercita-cita menjadi seperti Umar bin al-Khattab, Khalid bin Walid, Asma binti Abu Bakar, dan sebagainya. Ibu bapa boleh berkongsi cerita kepada anak-anak tentang keteguhan Bilal bin Rabbah, keberanian Hamzah bin Abdul Muthalib, kepintaran Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar, dan banyak lagi keutamaan orang-orang yang paling dekat dengan Nabi SAW.
Keempat: Memberi pemahaman kepada anak, agar menjadikan dakwah sebagai poros kehidupan mereka. Sesungguhnya perjuangan dakwah adalah sunnatullah yang mesti ditempuh oleh umat Islam. Apatah lagi dalam situasi ketiadaan Khilafah saat ini. Menegakkan hukum Islam merupakan kewajipan. Oleh itu, mewujudkan Khilafah di muka bumi ini merupakan kewajipan bagi kita semua. Namun, perjuangan dakwah ke arah tegaknya Khilafah bukanlah jalan mudah untuk dilalui oleh keluarga Muslim.
Oleh itu, betapa pentingnya peranan keluarga untuk meneruskan perjuangan. Oleh itu, para pejuang Islam hendaklah mempersiapkan keluarga mereka agar sentiasa berada dalam barisan dakwah, penerus tongkat perjuangan, saling memberi semangat antara satu sama lain. Hanya dengan dakwah sahaja mental dan semangat pejuang akan sentiasa terpelihara sehingga tetap istiqamah dan konsisten dalam medan perjuangan.
Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa untuk terus menanamkan pentingnya dakwah kepada anak-anak sejak kecil agar semangat perjuangan selalu ada dalam diri mereka. Dengan itu, mereka akan menjadi para pembela Islam terpercaya. Dengan demikian, sebarang rintangan, cabaran dan halangan apa pun dalam jalan dakwah akan dipandang sebagai risiko atau akibat perjuangan.
Kelima: Memberikan contoh yang baik kepada anak. Walaubagaimana pun, anak-anak memerlukan qudwah dan teladan yang baik, bahkan sehingga mereka dewasa. Sudah semestinya, ibu bapa hendaklah sentiasa memberikan contoh yang baik kepada anak-anak mereka tentang cara menjadi pembela Islam terpercaya. Ini bagi memastikan agar benih-benih kebaikan ditanam dan menghunjam ke dalam jiwa dan sanubari mereka. Seterusnya, hal itu akan dibawa dalam setiap sikap dan tingkah laku mereka, bahawa syariat Islam mesti dilaksanakan dan ditegakkan.
Ibu bapa hendaklah menunjukkan teladan dengan menjadikan Islam sebagai standard dalam setiap perbuatan, serta sebagai rujukan dalam berfikir atau perbincangan. Jadikan mereka bangga menjadi seorang Muslim dengan peraturannya yang sempurna. Mereka akan bersemangat mengamalkan dan menyebarkan syariah-Nya meskipun ia tidak mudah. Inilah yang akan menguatkan jiwa untuk menjadi pembela Islam terpercaya apabila syariah Islam dan umatnya direndahkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka akan menyampaikan kebenaran Islam di mana sahaja mereka berada.
Keenam: Sentiasa taqarrub kepada Allah SWT. Membela Islam memang bukan tanpa halangan dan cabaran. Namun, semuanya akan dapat diatasi. Apabila kita semakin dekat kepada Allah, Dia juga semakin dekat kepada kita. Pada saat itulah, Allah akan memberi pertolongan dan kemudahan kepada kita.
Banyak perkara yang boleh kita dilakukan bersama anak-anak untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti banyak melakukan solat sunat, banyakkan berzikir, banyakkan berdoa, banyak puasa sunat, banyakkan membaca al-Quran, dan banyakkan muhasabah. Dengan taqarrub kepada Allah, bermakna kita telah mengundang bantuan, pertolongan dan pemeliharaan-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “Pada setiap malam, Tuhan kami Yang Maha Suci dan Maha Tinggi turun (ke langit dunia) apabila tinggal sepertiga malam yang akhir. Dia berfirman, ‘Siapa sahaja yang berdoa kepada Diri-Ku, Aku akan memperkenankan doanya. Siapa sahaja yang meminta kepada Diri-Ku, Aku akan mengabulkan permintaannya. Siapa meminta ampunan kepada Diri-Ku, Aku pun akan mengampuninya.’” (HR al-Bukhari Muslim).
Ketujuh: Berusaha menanam ‘ruh perjuangan’ setiap hari di rumah. Memang bukan perkara yang mudah untuk mengekalkan mentaliti pejuang atau ruh perjuangan di tengah-tengah situasi sistem yang rosak hari ini. Oleh kerana itu, kita mestilah sentiasa memberi pemahaman kepada anak-anak bahawa antara kebenaran dan kebatilan sentiasa berperang dan kebenaran itu mesti mengatasi kebatilan. Oleh itu, terus mempelajari Islam kâffah menjadi kunci kepada kita dan anak-anak. Dengan ini, kebenaran Islam akan kekal murni dalam fikiran kita.
Selain itu, perbincangan yang kerap tentang pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat menjadi momen yang berharga kepada anak dan ibu bapa untuk mengasah pemahaman Islam, semakin yakin bahawa sistem Islamlah yang benar dan satu-satunya yang mampu memberi solusi permasalahan manusia. Inilah yang akan menguatkan semangat juang keluarga kita untuk melawan segala kebatilan.
Waalahu’alam Bissawab
Sumber: Al-Waie
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

