[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 27
Masalah 26 : Kebersihan Rumah
Ada di antara pasangan suami atau isteri, yang tidak mempedulikan aspek kebersihan rumah. Boleh jadi kerana dia menganggapnya sebagai peranan tradisi sepihak (isteri/ibu), bukan tanggungjawab bersama. Selain itu, cara dibesarkan juga mempengaruhi sikap seseorang terhadap aspek kebersihan dan tanggungjawab mengurus rumah. Tuntutan menjaga kebersihan sejak kecil akan membentuk sikap seseorang apabila mereka dewasa, termasuklah ketika melangkah ke alam rumah tangga.
Jika kedua-dua pasangan mempunyai pemahaman dan keprihatinan yang sama terhadap kebersihan rumah, itu akan menambahkan kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga. Sebaliknya, jika salah seorang menitikberatkan aspek kebersihan, manakala sepihak lagi meremehkannya atau tidak mengambil peduli, hal ini akan menyebabkan pihak lainnya merasa tertekan. Lebih buruk lagi, ia berpotensi menjejaskan kesihatan mental dan fizikal seisi rumah.
Refleksi:
Allah SWT berfirman, “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal;” (TMQ An-Nahl [16]:80)
Salah satu nikmat berharga kurniaan Allah SWT adalah tempat tinggal atau rumah. Rumah merupakan keperluan asas setiap manusia, dan wadah bagi keluarga untuk bertumbuh. Rumah menjadi pusat kehidupan rumah tangga dan tempat bernaung keluarga. Di dalamnya, keluarga muslim melakukan pelbagai aktiviti bernilai ibadah wajib dan sunnah seperti menunaikan solat, berzikir, membaca al-quran, bersenda gurau, berkasih sayang sesama anggota keluarga serta saling mendidik agar tumbuh dengan nilai-nilai Islam. Di situlah ruang terawal dan tempat paling lama seorang muslim ditempa menjadi hamba Allah. Dari ruang inilah juga terbentuknya keperibadian dan karakter individu. Oleh itu, perhatian besar wajar diberikan kepada pengurusan rumah. Namun, bukan perhatian terhadap aspek materialnya, tetapi pada aspek persekitarannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Kebersihan itu sebahagian daripada keimanan.” (HR Muslim)
Kebersihan yang dimaksudkan adalah merangkumi semua aspek, termasuklah kebersihan rumah. Malah, Islam juga menganjurkan umatnya agar menjaga kebersihan di luar rumahnya, yakni halaman rumah. Rasulullah SAW bersabda:
“Bersihkan halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman rumah mereka.” (HR. Thabrani)
Oleh itu, bukan hanya menjaga kebersihan peribadi, kebersihan rumah keluarga muslim juga perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih agar setiap ahli keluarga merasa tenteram dan bahagia di dalamnya. Rumah yang bersih dan tenang akan membuatkan penghuninya merasa selesa dan sering merindui suasana rumah tersebut. Jadi, selain sikap ahli rumah, kebersihan juga memainkan peranan dalam membina hubungan kekeluargaan serta membentuk akhlak individu.
Ada satu persoalan yang sering dipertikaikan, iaitu tugas menjaga kebersihan rumah sejatinya tugas siapa? Tidak dinafikan, ibu atau isteri merupakan pengurus rumah tangga (ummun wa rabbatul bayt). Namun, itu tidak bermakna ibu satu-satunya yang perlu mengemas rumah dan memastikan kebersihannya. Kebersihan rumah adalah tanggungjawab bersama seisi keluarga. Setiap muslim yang memahami pengaruh kebersihan terhadap iman dan ibadah, sudah pasti tidak merasa terbeban untuk bersama-sama menjaga kebersihan diri dan tempatnya.
Sekiranya aspek kebersihan rumah diabaikan, ia akan menimbulkan perasaan negatif dan mengganggu kestabilan emosi warga rumah. Jadi, saling bekerjasamalah dalam mengurus rumah agar sentiasa bersih dan menyenangkan. Didiklah setiap ahli keluarga tentang tanggungjawab kebersihan. Semoga dengan usaha bersama ini, rumah kita benar-benar menjadi tempat menyemai cinta yang berpanjangan dan merealisasikan baiti jannati (rumahku syurgaku).
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim

