Site icon MuslimahHTM News

Strategi Menguatkan Pengaruh Ibu Terhadap Anak

Strategi Menguatkan Pengaruh Ibu Terhadap Anak

Oleh: Ustazah Yanti Tanjung

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Al-Hadis)

Demikianlah sabda Rasulullah SAW bahawa fitrah anak sejak lahir adalah Islam yang lurus, maka ibu bapalah yang menyelewengkan fitrah anak tersebut dari Islam. Ini bermakna kewajipan ibu bapa adalah menjaga fitrah anak untuk kekal dalam keislamannya.


Islam terdiri daripada akidah dan syariah, maka ibu bapa hendaklah sentiasa memurnikan akidah anak dan menjaga ketaatan anak kepada Khaliqnya. Sudah tentu ini memerlukan pola pengasuhan dan pola pendidikan yang terancang, boleh diukur, direalisasikan dan mencapai target membentuk keperibadian Islam anak.

Pada saat anak-anak hadir di dunia ini, maka persekitaran yang dia perolehi sudah tentu bukan sahaja di rumah, tetapi juga persekitaran kejiranan dan sekolah. Maka persekitaran boleh memberi pengaruh positif mahupun negatif. Malah, di rumah sendiri pun, anak-anak boleh terpengaruh melalui televisyen, internet dan keluarga lain yang tinggal serumah. Juga jiran tetangga yang pastinya mempunyai pelbagai suasana yang anak-anak boleh bergaul dengan anak-anak mereka. Sekolah juga begitu, khususnya sekolah sekular yang mana hala tuju pendidikannya bukan untuk melahirkan generasi yang soleh solehah, sudah tentu anak-anak berhadapan dengan pelbagai pengaruh buruk yang sedia menyelewengkan fitrah mereka. Di sekolah yang berteraskan Islam, jangan fikir tidak ada pengaruh negatif walaupun tidak sekompleks sekolah sekular, namun ia tetap perlu diperhatikan.

Jadi, apakah strategi ibu dalam menghadapi cabaran seperti ini? Khusus untuk ibu kerana ibu yang betul-betul tahu akan pertumbuhan dan perkembangan anak dan yang paling peka terhadap ancaman. Memandangkan bapa sering keluar rumah, baik untuk menjalankan kewajipan memberi nafkah atau menjalankan kewajipan berdakwah, walaupun bapa mempunyai tanggungjawab yang sama.
Pertama, ibu mesti ada strategi iaitu ibu tidak boleh kalah dengan pengaruh sesiapa, tidak boleh kalah dengan pengaruh TV, kalah dengan pengaruh keluarga besar, kalah dengan pengaruh anak jiran, kalah dengan pengaruh kawan sekolah anak, kalah dengan pengaruh permainan online, kalah dengan pengaruh internet dsb.

Seterusnya, ibu mesti membuat aktiviti harian bersama anak-anak supaya bahagian aktiviti anak ada bersama ibu. Jika ibu mempunyai minat lain seperti mencuci, memasak dan sebagainya, anak boleh terlibat atau anak boleh diberi jadual aktiviti berasingan yang boleh dilakukan sendiri yang boleh merangsang kecerdasannya.

Siapkan anak berdepan dengan cabaran di luar, misalnya, dengan rakan-rakan yang membawa pengaruh buruk. Hal ini boleh dilakukan dengan mendidik anak dengan kebiasaan baik di rumah, perkataan yang baik, suka beribadat, dan suka melakukan kebaikan.

Libatkan anak-anak dalam aktiviti dakwah ibunya supaya anak-anak mencontohi ibu mereka menjadi dai cilik yang sentiasa mengkritik dan menasihati orang lain jika keluar dari koridor kebiasaan. Contohnya, jika kawannya berkata kasar, anak-anak boleh menasihati rakannya jika kata-kata itu tidak disukai oleh Allah dan kita akan dijauhi kawan apabila berkata kasar. Jadi anak-anak tidak meniru mereka tetapi mempengaruhi rakan mereka ke arah kebaikan.

Curahkan segala perhatian dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak, sama ada ketika mengajak dia menjalankan ketaatan dengan baik atau dalam kesusahan mengajak anak untuk menjalankan pembelajaran.


Bina komunikasi yang berkesan, penuh kebahagiaan, keseronokan dan kedamaian dalaman anak, sama ada apabila dia mencapai prestasi atau saat menghadapi masalah dengan teman contohnya.

Akhir sekali, apa yang tidak boleh dilupakan ialah berdoa agar diberi kemudahan dalam mendidik anak, kemudahan ketajaman lisan ibu dalam memberi pelajaran dan menasihati anak, juga berdoa agar dijauhkan segala pengaruh buruk menimpa anak-anak kita.


Wallaahu a’lam bishshowab

Sumber:
Dunia Parenting

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version