Site icon MuslimahHTM News

[Asam Garam Rumah Tangga] Cemburu!

[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 28

Masalah 29 : Cemburu!

 

Bagaimana jika pasangan kita bersikap cemburu? Adakah ia sikap yang menyenangkan atau sebaliknya?

 

Refleksi:

 

Al-ghirah (rasa cemburu) adalah fitrah semula jadi manusia, lebih-lebih lagi pada diri kaum hawa. Perasaan ini sering kita temui dalam hubungan suami isteri. Tahukah anda? Ummul Mukminin ‘Aisyah RA sendiri pernah merasa cemburu terhadap isteri-isteri Nabi SAW yang lain. Beliau terkenal sangat cemburu kepada Zainab binti Jahsy RA, bahkan juga kepada Siti Khadijah RA.

 

Diriwayatkan daripada Anas ibn Malik RA bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah, “Rasulullah, tidakkah anda berkenan menikahi wanita Ansar?” Baginda menjawab, “Mereka adalah wanita pencemburu.”

 

Malah, Rasulullah SAW tidak menikahi Ummu Salamah kecuali setelah berdoa kepada Allah agar Dia melenyapkan rasa cemburu pada diri Ummu Salamah.

 

Rasa cemburu sebenarnya terbit daripada rasa cinta yang mendalam kepada pasangan. Semakin kuat kasih sayang seorang isteri atau suami kepada pasangannya, maka semakin besar pula kemungkinan rasa cemburu itu hadir dalam dirinya. Oleh itu, seorang muslim hendaklah menjaga fitrah ini agar tidak dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Rasa ghirah ini hendaklah ditundukkan dengan iman agar dapat diarahkan kepada kebaikan sehingga menjadi sumber kebahagiaan.

 

Pada masa yang sama, kita juga perlu sentiasa melatih diri untuk berbaik sangka kepada orang-orang yang ada di sekeliling kita, termasuklah pasangan kita.

 

Berdasarkan ketentuan syariat, cemburu dapat dibahagi menjadi dua jenis, iaitu cemburu yang terpuji dan tercela. Cemburu yang baik sekalipun, apabila berlebihan, akan berubah menjadi tercela. Hal ini kerana kecemburuan yang tercela mampu menyalakan api prasangka yang tak berasas, sehingga menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi kacau bilau dan hilang ketenteramannya.

 

Nabi SAW bersabda, “Ada jenis cemburu yang dicintai Allah SWT, ada pula yang dibenci-Nya. Yang disukai, iaitu cemburu tatkala ada sangkaan atau tuduhan. Sedangkan yang dibenci, iaitu adalah yang tidak dilandasi keraguan.” (Sunan al Baihaqi, 7: 308)

 

Biasanya, cemburu yang tercela ini didorong oleh hawa nafsu. Oleh itu, amatlah penting bagi suami yang soleh dan isteri yang solehah, untuk memelihara ketakwaan diri agar dapat mengawal rasa cemburu terhadap pasangan.

 

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka ditimpa rasa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (TMQ Al-A’raf: 201)

 

Oleh itu, apabila rasa cemburu hadir, beristighfarlah dan renunglah diri terlebih dahulu, apakah perasaan yang muncul itu wajar atau sebaliknya. Ini kerana rasa cemburu bukanlah sesuatu hal yang buruk sehingga mesti dihapuskan sama sekali. Sebaliknya, ia adalah fitrah yang perlu diletakkan pada tempatnya (selaras dengan syariat). Justeru, rasa cemburu hendaklah diurus dengan bijaksana agar tidak terseret dalam perkara-perkara tercela.

 

Antara bentuk cemburu yang terpuji pula ialah cemburu  yang timbul ketika larangan Allah SWT dilanggar, atau cemburu terhadap masa yang tidak dimanfaatkan untuk kebaikan. Maka perlu ada kecemburuan yang memacu perubahan kepada yang lebih baik.

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim

Exit mobile version