[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 30
Masalah 31 : Isteri tidak mahu menyusukan anak
Secara umum, pada zaman kini semakin ramai ibu bapa yang menyedari pentingnya susu ibu untuk bayi. Malah, di hospital-hospital, pendidikan mengenai manfaat susu ibu dan amalan penyusuan bayi berusia 0–2 tahun banyak disampaikan dan ditekankan. Namun begitu, masih ada sebahagian ibu yang enggan menyusui anaknya. Alasan yang diberikan biasanya kerana ingin menjaga bentuk tubuh atau merasa penat dengan proses menyusukan anak.
Refleksi:
Allah SWT telah menetapkan tiga kudrat khusus bagi seorang wanita, iaitu mengandung, melahirkan, dan menyusukan. Penyusuan adalah perintah yang jelas dinyatakan dalam al-Quran.
Firman Allah SWT : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;” (TMQ Al-Baqarah [2]: 233)
Hukum asal perintah ini adalah wajib. Oleh itu, kewajipan ini jika dilaksanakan akan mendatangkan pahala, dan jika ditinggalkan tanpa sebab syarie boleh mendatangkan dosa. Atas sebab ini, seorang ibu perlu membetulkan mind-set bahawa menyusukan anak bukanlah beban, tetapi ibadah yang bernilai pahala. Setiap rasa letih, perubahan tubuh, dan kesulitan yang dialami adalah sebahagian daripada bentuk pengorbanan untuk melaksanakan ibadah ini, yang kelak diharapkan membuahkan ganjaran besar.
Lebih dari itu, menyusukan anak bukan sekadar memberi makan, tetapi penyusuan adalah detik awal pentarbiyahan seorang anak. Melalui penyusuan, bayi tidak hanya menerima nutrisi dari ibu, tetapi juga `menyerap’ akhlak, kasih sayang, bahkan doa, zikir, dan tutur kata yang dilantunkan oleh ibunya. Dari sinilah lahir ikatan (bonding) istimewa yang mendalam antara ibu dan anak. Maka, tidak patut bagi seorang ibu merasa enggan menyusukan anaknya tanpa alasan syarie. Sikap tersebut sebenarnya merupakan bentuk penafian terhadap hak anak, dan boleh menjejaskan kesihatan bayi.
Terdapat ancaman bagi ibu yang enggan menyusukan anak tanpa sebab syarie, sehingga memudaratkan si anak. Dari Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda,
“Kemudian malaikat mengajakku melanjutkan perjalanan. Tiba-tiba aku melihat wanita yang payudaranya dicabik-cabik ular. Aku bertanya, “Ada apa dengan mereka?” Malaikat menjawab, “Mereka adalah para wanita yang tidak mahu menyusui anak-anaknya (tanpa alasan yang dibenarkan, pen.).” (HR. Ibnu Hibban dalam Sahih Ibnu Hibban no. 7491, hadis sahih)
Namun, Islam juga memberi keringanan jika terdapat keadaan darurat yang menyebabkan seorang ibu tidak dapat menyusukan anaknya, sama ada untuk tempoh sementara atau selamanya. Misalnya, ibu yang perlu menjalani rawatan dengan ubat berbahaya, ibu yang menghidap jangkitan penyakit, masalah kesihatan ibu yang menghalang penyusuan, atau bayi yang mengalami masalah kesihatan tertentu. Dalam keadaan seperti ini, penyusuan boleh digantikan oleh ibu susuan atau kaedah lain. Allah SWT berfirman:
“Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” (TMQ At-Talaaq [65]:6)
Oleh itu, penting bagi setiap ibu (dan juga bapa) memahami hukum penyusuan dalam Islam serta keutamaannya. Menyusukan anak bukan sekadar memberi makanan yang mengenyangkan, tetapi juga memberi nutrisi rohani berupa pendidikan awal secara tidak langsung. Dari ibadah penyusuan ini juga, Allah SWT membuka pintu rezeki yang luas dari seorang ibu. Maka, para ibu hendaklah berbangga dengan peranan istimewa ini serta berusaha memberikan yang terbaik dalam menjayakan penyusuan.
Manakala para ayah (suami) juga memainkan peranan penting dalam menjayakan proses penyusuan bayi. Mereka hendaklah menjadi sumber motivasi kepada isteri dengan memberikan dorongan, pujian serta mempermudahkan urusan sepanjang tempoh penyusuan anak. Usaha mempermudahkan urusan isteri ini boleh dilakukan dengan membantu dalam kerja-kerja rumah tangga, peka terhadap kesihatan fizikal dan mentalnya, serta memastikan kualiti pemakanan isteri terjaga. Sokongan seperti ini amat berpengaruh dalam meringankan kesulitan yang dihadapi ibu ketika menyusukan bayi. Tambahan pula, ia dapat mewujudkan suasana yang menyenangkan serta momen yang membahagiakan buat seisi keluarga bersama si kecil yang baru lahir.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim
#breastfeeding #penyusuanibu

