Site icon MuslimahHTM News

Krisis Anak dengan Ibu Bapa: Punca, Realiti Tragis dan Solusi Islam

Krisis Anak dengan Ibu Bapa: Punca, Realiti Tragis dan Solusi Islam

 

Penulis : Syafinaz Safar

 

Kehidupan dalam dunia moden yang serba pantas, dihimpit pelbagai cabaran, menjadi salah satu penyebab utama ketegangan dalam hubungan kekeluargaan, khususnya antara anak dan ibu bapa. Perubahan gaya hidup, pengaruh media sosial, perbezaan nilai antara generasi, dan tekanan ekonomi merupakan antara faktor utama yang menghakis keharmonian hubungan ini. Anak-anak hari ini membesar dalam suasana yang amat berbeza daripada zaman ibu bapa mereka, terutamanya dengan akses tanpa sekatan kepada dunia maya yang membekalkan pelbagai maklumat, hiburan, dan ideologi. Malangnya, banyak yang bercanggah dengan nilai keimanan dan budaya Islam. Keadaan bertambah buruk apabila sesetengah ibu bapa berkeras mempertahankan gaya keibubapaan mereka tanpa menyesuaikan pendekatan kepada realiti semasa. Jurang pemahaman ini sering memicu konflik dan komunikasi yang tegang, yang akhirnya menggugat kesejahteraan institusi keluarga sebagai tunjang kepada kekuatan masyarakat.

 

Antara kesan hubungan yang retak antara anak dan ibu bapa sering dilaporkan dalam media arus perdana, termasuk kejadian-kejadian tragis yang menyayat hati. Ada kalanya, pertelingkahan dan tekanan emosi yang berlanjutan menyebabkan seorang anak sanggup melakukan perbuatan di luar jangkaan, seperti membunuh ibu bapanya sendiri. Sebagai contoh, pada bulan Jun lalu, seorang remaja berusia 17 tahun telah direman kerana didakwa membunuh ibu dan abangnya menggunakan pisau lipat, akibat dendam yang dipendam. Dikatakan, remaja tersebut mengalami tekanan perasaan kerana sering ditekan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

 

Selain itu, terdapat juga kes anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka apabila usia telah lanjut. Lebih memilukan, ada anak yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur, seperti seorang anak yang melarikan diri setelah meninggalkan bapanya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) di hadapan pintu sebuah pusat jagaan warga emas tanpa memberitahu pihak pengurusan pusat itu. Perilaku sebegini amatlah bertentangan dengan nilai kemanusiaan, apatah lagi ajaran Islam yang menuntut setiap anak berbakti dan menjaga kebajikan ibu bapa hingga ke akhir hayat. Firman Allah SWT:

 

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” [TMQ Luqman (31):14]

 

Oleh itu, penulisan ini bertujuan untuk menganalisis punca-punca krisis yang berlaku antara anak dan ibu bapa, meneliti realiti semasa melalui berita dan isu-isu terkini, serta merumuskan penyelesaian berdasarkan perspektif Islam.

 

Peningkatan kes-kes anak membunuh ibu bapa yang kerap dilaporkan di media massa pada masa kini merupakan satu keadaan yang membimbangkan dan memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat. Antara punca utama berlakunya situasi ini termasuklah pengaruh penyalahgunaan dadah seperti pil kuda, ketidakstabilan emosi akibat tekanan hidup yang melampau, masalah kesihatan mental, dan pelbagai faktor lain. Kebiasaannya, kes-kes seumpama ini berlaku dalam kalangan anak-anak yang berusia remaja, namun terdapat juga kejadian melibatkan individu yang sudah melepasi usia tersebut. Dalam banyak situasi, ibu bapa yang menjadi mangsa pula sering kali sudah lanjut usia ataupun berada dalam keadaan lemah sehingga tidak berdaya untuk mempertahankan diri daripada tindakan tidak berperikemanusiaan si anak.

 

Fenomena peningkatan kes pembunuhan ibu bapa ini menzahirkan keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak yang gagal menyantuni ibu bapa dengan sepatutnya, terutamanya ketika mereka memasuki usia lanjut. Ada kemungkinan juga isu ini berpunca daripada dendam lama yang terpendam di hati anak-anak terhadap ibu bapa mereka, namun apa jua alasan yang diberikan, ia sama sekali tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mencederakan, apatah lagi membunuh kedua-dua insan yang telah membesarkan mereka. Perbuatan sebegini jelas merupakan satu dosa besar dalam Islam. Malah, Islam secara khusus melarang perbuatan mencaci atau memperlekehkan ibu bapa, apatah lagi melakukan perbuatan sekeji pembunuhan terhadap mereka. Allah SWT berfirman:

 

“Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar”. Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).” [TMQ al-An’am (6):151]

 

Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat semakin banyak kes dalam keluarga yang memperlihatkan ibu bapa menjadi seolah-olah ‘hamba’ di rumah mereka sendiri. ‘Hamba’ seperti apa? Istilah ini mungkin kedengaran mustahil atau keterlaluan, tetapi inilah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat serta kehidupan berkeluarga umat Islam hari ini. Hakikatnya, terdapat ramai ibu bapa yang telah lanjut usia dipaksa atau diminta untuk menjaga cucu-cucu sambil turut diharapkan untuk mengurus rumah tangga anak dan menantu mereka. Dalam konteks ekonomi semasa yang serba mencabar, terutama di kawasan bandar, ibu bapa muda yang memiliki anak kecil sering kali menghantar anak mereka ke pusat jagaan harian. Namun, pusat-pusat jagaan ini biasanya mengenakan bayaran yang setimpal dengan perkhidmatan mereka, sesuatu yang mungkin menjadi beban bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

 

Akibat kesempitan kewangan, ada segelintir pasangan muda yang memilih jalan mudah dengan meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan datuk dan nenek di kampung. Pada awalnya, datuk dan nenek mungkin bersetuju dengan keputusan tersebut atas dasar kasih sayang yang mendalam terhadap cucu-cucu mereka. Di samping itu, keinginan untuk membantu anak-anak yang bekerja keras di bandar demi menyara kehidupan keluarga turut membuat mereka merasa bertanggungjawab. Namun begitu, keputusan seperti ini sering diambil tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap tahap kesihatan fizikal, emosi, dan mental para warga tua tersebut yang sememangnya sudah tidak sekuat dulu.

 

Malangnya, setelah sekian lama, mungkin kerana kehidupan anak dan menantu semakin selesa tanpa kehadiran anak di sisi mereka, hubungan dengan anak yang ditinggalkan di kampung bersama ibu bapa mula terabai. Lebih menyedihkan, terdapat juga situasi di mana anak dan menantu terus meninggalkan anak mereka di bawah jagaan ibu bapa yang semakin uzur, tanpa meninggalkan sebarang nafkah atau bekalan kewangan untuk menyara kehidupan cucu mereka. Dalam keadaan seperti ini, apa lagi pilihan yang ada untuk si datuk dan nenek? Untuk bekerja seperti dahulu sudah tidak mungkin kerana kudrat mereka yang semakin lemah, namun tanggungjawab menjaga cucu tetap tergalas di bahu mereka. Lebih menyayat hati, ada juga kes di mana ibu bapa tua ini terpaksa menghubungi anak dan menantu meminta wang belanja untuk cucu, tetapi rayuan mereka dibalas dengan herdikan, hinaan, bahkan cacian tanpa sedikitpun rasa belas kasihan daripada anak beranak yang mereka kasihi selama ini.

 

Keadaan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sangat menekankan penghormatan dan pemuliaan terhadap ibu bapa oleh anak-anak. Dalam Islam, kedudukan ibu bapa dijunjung tinggi, dan tanggungjawab menjaga hubungan serta kebaikan terhadap mereka adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipersiakan. Firman Allah SWT,

 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” [TMQ Al-Isra’ (17): 23]

 

Dalam ayat di atas, Allah SWT dengan tegas melarang kita berbuat buruk kepada kedua orang tua, bahkan untuk ucapan seminimal “ah” (uff) sekalipun. Allah SWT menghendaki agar kita sentiasa berbicara kepada orang tua dengan kata-kata yang penuh kemuliaan dan kelembutan, bahkan dalam situasi di mana ucapan atau tindakan mereka mungkin menyakiti hati kita. Jika hal demikian terjadi, sebagai anak, kita dianjurkan untuk meneladani pendekatan yang diajarkan Rasulullah SAW, iaitu memilih diam daripada mengucapkan kata-kata yang sia-sia atau melukai perasaan. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mendengar setiap perbuatan serta niat hamba-hamba-Nya.

 

Bagi menyelesaikan masalah krisis keluarga antara anak dan ibu bapa, Islam menganjurkan penyelesaian terbaik melalui konsep birrul walidain, iaitu ajaran untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Berdasarkan dalil-dalil dalam perenggan sebelumnya, konsep ini mengajar umat Islam untuk menjaga adab serta menghormati ibu bapa. Larangan untuk mengatakan ‘ah’ kepada ibu bapa bertujuan mengawal kata-kata anak agar tidak melampaui batas yang ditetapkan syarak dalam melayani ibu bapa. Di samping itu, larangan tersebut merupakan tanda penghormatan kepada ibu bapa yang telah bersusah payah menjaga dan membesarkan kita sejak dalam kandungan hingga dewasa. Bak kata pepatah, janganlah kita menggigit tangan yang menyuapi kita makan.

 

Selain itu, konsep berbuat baik kepada ibu bapa juga bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penderhakaan emosi. Hal ini demikian kerana penderhakaan kepada ibu bapa bukan hanya dalam bentuk fizikal, tetapi juga dalam bentuk mental. Sebagai contoh, mengabaikan panggilan atau telefon daripada ibu bapa, meninggikan suara ketika berlaku pertelingkahan akibat gagal mengawal emosi, atau memandang rendah terhadap keadaan ibu bapa yang sudah tua. Lebih menyedihkan, ada juga situasi di mana anak-anak mempersoalkan kedudukan sosioekonomi ibu bapa yang mungkin tidak setaraf dengan mereka yang sudah berjaya dan hidup kaya raya. Terdapat juga segelintir anak-anak yang dengan sengaja menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan warga emas semata-mata kerana beranggapan tidak mempunyai masa untuk menjaga ibu bapa, sekalipun mereka pernah dilayani dengan penuh kasih sayang sewaktu kecil.

 

Di samping itu, konsep birrul walidain sebenarnya sangat erat kaitannya dengan didikan ibu bapa sejak anak kecil. Anak-anak perlu dilatih secara intensif agar mereka membesar menjadi individu yang memiliki nilai-nilai baik seperti empati, simpati, budi pekerti yang mulia, dan menjunjung tinggi syariat Islam. Antara latihan adab yang boleh diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak termasuklah menjawab dengan hormat ketika dipanggil, mencium tangan ibu bapa sebelum pergi ke sekolah dan sebelum tidur pada waktu malam, menghargai teguran yang baik daripada ibu bapa, serta menunjukkan kasih sayang melalui akhlak dan tindakan mereka sendiri.

 

Ini kerana anak-anak cenderung meniru perbuatan dan tutur kata ibu bapa mereka. Jika tingkah laku ibu bapa baik, maka pertumbuhan anak juga cenderung positif. Sebaliknya, jika ibu bapa menunjukkan sikap atau percakapan yang buruk, maka hal ini akan tercermin pada diri anak-anak mereka kelak. Oleh itu, ibu bapa perlu bersedia menghadapi akibatnya nanti. Sebagai contoh teladan utama bagi anak-anak, ibu bapa bertanggungjawab menunjukkan cara menghormati orang tua di hadapan mereka. Dengan cara ini, anak-anak dapat belajar dan mengamalkan adab yang sama dalam melayani datuk dan nenek mereka.

 

Kesimpulannya, isu anak derhaka kepada ibu bapa adalah cerminan daripada didikan dan asuhan yang telah diterapkan oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil. Cara didikan yang diterima ini membentuk corak pemikiran, perasaan, dan tingkah laku anak-anak, yang seterusnya menjadi pegangan hidup mereka apabila dewasa. Secara semula jadi, pemikiran dan tindakan anak-anak ini cenderung meniru apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita hendaklah menyedari bahawa perilaku anak-anak kita hari ini merupakan pantulan daripada tindakan dan kata-kata kita pada masa lalu. Sekiranya kita gagal memanfaatkan peluang untuk mendidik dan membentuk anak-anak kecil mengikut acuan syariat Islam, kerugian tersebut bukan hanya dirasai oleh keluarga, tetapi juga oleh masyarakat dan ummah secara keseluruhan. Justeru, kembalilah kepada asas ajaran Islam yang menekankan konsep birrul walidain, iaitu berbuat baik kepada ibu bapa. Konsep ini menuntut agar ibu bapa menanam nilai kasih sayang, sikap hormat-menghormati, dan adab sopan dalam diri anak-anak sejak usia kecil lagi. Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan persekitaran pembesaran yang Islami, jauh daripada pengaruh budaya sekular dan liberalisme.

 

Dengan menerapkan pendidikan Islam secara konsisten sejak usia kecil, anak-anak dapat dibimbing kembali kepada jalan yang seiring dengan panduan syariat Islam. Hal ini bukan sahaja akan membolehkan keharmonian keluarga ditegakkan semula, bahkan keluarga akan menjadi unit kecil yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang memiliki akhlak mulia dan pemikiran yang mapan. Anak-anak juga akan menanam rasa hormat dan penghargaan kepada ibu bapa serta menyedari tanggungjawab mereka terhadap orang tua hingga ke akhir hayat. Ini kerana, doa daripada anak yang soleh dan solehah adalah salah satu amalan yang dapat membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia, khususnya di alam kubur.

 

Wallahua’lam.

Exit mobile version