Site icon MuslimahHTM News

Ketika Kegusaran Menghampiri Keluarga Pengemban Dakwah, Bagaimana Sewajarnya Bertindak?

Ketika Kegusaran Menghampiri Keluarga Pengemban Dakwah, Bagaimana Sewajarnya Bertindak?

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Sistem kehidupan sekular kapitalisme yang sedang mencengkam negeri-negeri Islam pada masa ini sememangnya sangat berpengaruh terhadap kehidupan keluarga Muslim, apatah lagi keluarga para pengemban dakwah. Banyak ujian dan dugaan yang mengelilinginya. Pengabaian negara terhadap urusan rakyatnya menyebabkan rakyat terpaksa bersusah payah demi memastikan kehidupan keluarganya dapat berjalan dengan sewajarnya. Keperluan asas perlu dicari sendiri dengan sekuat tenaga, manakala kesihatan dan pendidikan yang berkualiti pula sangat mahal. Begitu juga dengan soal keselamatan, negara benar-benar lepas tangan dan langsung tidak memihak kepada rakyat.

 

Wajar jika akhirnya keluarga pengemban dakwah merasakan kehidupan yang serba sempit. Ketika anak-anak semakin membesar, keperluan juga semakin bertambah. Kos pendidikan anak-anak pula semakin lama semakin mahal. Setiap ibu bapa pastinya menginginkan anak mereka bersekolah di tempat yang selamat untuk kebaikan agama dan tumbesaran mereka. Ada kalanya kegusaran melanda, di satu sisi mereka sangat faham bahawa dakwah adalah satu kewajipan yang wajib ditunaikan. Malah, dakwah sepatutnya menjadi pilihan hidup dan diberi keutamaan yang tinggi. Namun, di sisi lain, mereka perlu memenuhi seluruh keperluan hidup keluarga.

 

Saat Kegusaran Itu Datang

 

Tidak dinafikan, seiring berjalannya waktu terkadang kegusaran datang. Menyedari bahawa dakwah perlu menjadi teras dan pilihan hidup, namun pada masa yang sama turut dituntut untuk mencari rezeki kerana beban hidup yang semakin berat. Selain itu, serangan propaganda konsumerisme dan gaya hidup sangat hebat. Sudah tentu, ini bukan perkara mudah yang mesti dihadapi oleh keluarga pengemban dakwah.

 

Sesungguhnya, semua ini kembali kepada prinsip hidup yang ditanamkan dalam keluarga kita. Kita fahami bahawa setiap orang pasti mempunyai masalah dengan kadar dan tahap yang berbeza-beza, dan sesiapa pun pasti akan mengalaminya. Apa yang paling penting ialah cara bijak dalam menyikapi, menghadapi, serta menyelesaikan permasalahan tersebut.

 

Tentu kita masih ingat peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama, iaitu surah Al-‘Alaq. Baginda terus menyatakan kepada isterinya, Khadijah RA: “La rāhata ba‘da al-yaum, yā Khadijah.” (Tiada lagi waktu untuk bersenang-lenang selepas hari ini, wahai Khadijah). Dalam riwayat lain disebutkan: “Qad ḍa‘a waqt an-nawm, yā Khadijah.” (Waktu tidur telah berlalu, wahai Khadijah). Ini menunjukkan bahawa dakwah telah menjadi keutamaan dalam hidup Nabi SAW sehingga mengorbankan seluruh masa dan tenaga baginda.

 

Daripada peristiwa ini, sesungguhnya Rasulullah SAW mengajarkan bahawa apabila telah menetapkan pilihan hidup untuk berdakwah dan menjadikan akhirat sebagai orientasi kehidupan kita, maka setiap konsekuensi yang datang mesti ditangani dengan wajar dan menuntut adanya pengorbanan di dalamnya. Sebagai contoh, ada kalanya kita menghadapi kekurangan. Sebenarnya tiada masalah, asalkan kita dapat menanganinya dengan betul. Kita tidak mengeluh, tidak berhutang kepada orang lain tanpa kepastian waktu membayarnya, dan tidak meminta-minta atau merasa iri dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka yang hidup dalam kecukupan.

 

Dalam masa yang sama, kita terus berusaha untuk bertahan hidup dengan kedua tangan dan kaki kita sendiri, serta mengorbankan masa dan tenaga yang kita miliki. Dengan cara sedemikian, Allah pasti akan memuliakan kita, meskipun kita kekurangan dari segi material. Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa sahaja yang berusaha menjaga maruah dirinya dengan tidak meminta-minta, maka Allah akan memuliakannya.” Apa yang perlu diingat ialah apabila Allah SWT menguji kita dari sudut harta, jangan sampai pada masa yang sama kita hilang maruah diri akibat tersalah menyikapi pilihan hidup.  Naudzubillaah.

 

Bagaimanakah Keluarga Pengemban Dakwah Sewajarnya Bersikap?

 

Tidak dinafikan, terkadang ujian atau godaan datang menghampiri keluarga pengemban dakwah. Hal ini wajar sahaja, tetapi fokuslah pada cara kita bersikap terhadapnya. Bukan hal yang mudah, tetapi sememangnya mesti disikapi dengan baik. Misalnya, tuntutan keluarga atau kebimbangan mengenai masa depan anak-anak kita di kemudian hari kerana kos pendidikan semakin tinggi, tahapnya makin mahal. Lalu, bagaimana keluarga Muslim mengatasi kegusaran ini?

 

1.Menjadikan takwa sebagai asas.

 

Setiap keluarga Muslim hendaklah menjadikan takwa sebagai pegangan menjalani kehidupan. Takwa adalah mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT berdasarkan cahayaNya dengan mengharap pahalaNya dan meninggalkan kemaksiatan kepada Allah berdasarkan cahayaNya kerana takut terhadap azabNya.” [Tafsîr Ibnu Katsîr, I/2440].

 

Ketakwaan merupakan benteng yang akan melindungi keluarga kita daripada jerat sistem kapitalisme yang merosakkan. Dengan ketakwaan, kita akan sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai panduan sehingga penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapi keluarga tidak akan diambil selain daripada ketetapan Islam. Semua tawaran penyelesaian yang bertentangan dengan Islam pasti akan ditentang dan ditinggalkan, sekalipun dipenuhi dengan janji-janji yang menggiurkan. Allah SWT berfirman,

 

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا

“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya dipermudah urusannya.”[TMQ At-Thalaq(65): 4].

 

Landasan takwa juga akan menjaga visi dan misi keluarga. Ini kerana takwa akan menjaga idrak sillah billah (hubungan dengan Allah SWT, Sang Khaliq) sehingga keluarga akan terhindar daripada kegusaran. Sebaliknya, keluarga pengemban dakwah akan sentiasa fokus mengejar redha Allah SWT dalam setiap langkahnya.

 

  1. Yakin bahawa rezeki di tangan Allah.

 

Keluarga pengemban dakwah hendaklah memiliki keyakinan bahawa rezeki ada di tangan Allah. Semuanya sudah diatur dan dijamin oleh Allah SWT dan tidak akan pernah tertukar. Firman Allah SWT,

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

“Dan jika Allah melapangkan rezeki hamba-hambaNya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya, lagi Maha Melihat.” [TMQ Asy-Syuraa(42): 27].

 

Yakinlah, kita tidak akan dipanggil oleh Allah SWT sebelum rezeki kita disempurnakan oleh Allah. Kita juga harus yakin, Allah SWT memberikan anugerah yang berbeza-beza kepada hambaNya, sesuai dengan kehendakNya. Keyakinan kepada Allah inilah yang akan menuntun kita bersikap dan membuat kita mampu bertahan.

 

  1. Bersabar.

 

Sebagai seorang Muslim, kita mesti terus berusaha sekuat tenaga menempuh cara yang halal hingga datangnya rezeki kepada keluarga kita, dan selebihnya diserahkan kepada Allah SWT. Kita tetap perlu bersabar terhadap qadha’ Allah. Adakalanya, kita kurang bersabar sehingga memaksakan diri. Akibatnya, kita terjerumus kepada sikap yang salah, termasuk dalam mengatasi persoalan yang dihadapi. Ketika belum mempunyai rumah, tidak mempunyai kenderaan atau berkeinginan untuk menghantar anak ke sekolah yang berkualiti, kadang kala kita mengambil jalan pintas dengan alasan terpaksa, sedangkan saat itu kita belum mampu. Di sinilah sesungguhnya diperlukan kesabaran dan kesungguhan dalam mengatur masalah kita.

 

Bersabarlah, baik saat melakukan ketaatan mahupun saat meninggalkan kemaksiatan. Ini adalah kunci kemenangan. Sejatinya, kemenangan bukan dari kita, tetapi dari Allah SWT. Allah SWT berfirman,

 

وَمَا جَعَلَهُ اللّٰهُ اِلَّا بُشْرٰى لَكُمْ وَلِتَطْمَىِٕنَّ قُلُوْبُكُمْ بِهٖ ۗ وَمَا النَّصْرُ اِلَّا مِنْ عِنْدِ اللّٰهِ الْعَزِيْزِ الْحَكِيْمِۙ

“Dan Allah tidak menjadikannya (pemberian bala-bantuan itu) melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar hatimu tenang kerananya. Dan tidak ada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha perkasa, Maha bijaksana.” [TMQ Ali-Imran(3): 126].

 

Allah SWT memberikan kemenangan kepada umat Islam kerana ketaatannya, bukan kerana jumlah, harta atau yang lain. Ketaatan yang akan mendatangkan pertolonganNya hanya boleh diwujudkan dengan kesabaran. Ketika pengemban dakwah tetap istiqamah berdakwah, menyebar hidayah, meskipun diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan, maka Allah SWT akan mengangkat darjatnya. Maka dengan itu, sabar dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan adalah kunci datangnya pertolongan Allah SWT.

 

  1. Menempuh as-sababiyah dengan benar.

 

Sesungguhnya, usaha menjalani as-sababiyah atau hukum sebab dan akibat bagi setiap muslim merupakan kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah sebagaimana kewajipan-kewajipan yang lain. Sebagaimana digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya, datang kepada Nabi. Dia berkata, “Aku akan membiarkan untaku, lalu aku akan bertawakal kepada Allah.” Namun, Nabi SAW bersabda, “Ikatlah untamu dan bertawakallah kepada Allah.” Hadis tersebut mengandungi shighat amr pada kata i’qilha (ikatlah). Ini bermaksud terdapat tuntutan yang pasti untuk mengerjakan sesuatu. Dapat difahami dari topik hadis ini bahawa terdapat kewajipan untuk melakukan hukum sebab akibat bersama kewajipan bertawakal.

 

As-sababiyah ialah usaha untuk mengaitkan sebab-sebab fizikal dengan akibat-akibatnya yang juga bersifat fizikal dalam rangka mencapai sasaran dan tujuan tertentu. Usaha ini dilakukan dengan cara mengetahui seluruh sebab yang boleh menghantarkan kepada tercapainya tujuan serta mengaitkannya dengan seluruh akibat secara benar. Inilah yang mesti dilakukan oleh keluarga pengemban dakwah, mempersiapkan dan melaksanakan pelbagai usaha yang mungkin boleh dilakukan untuk mencapai tujuan, disertai tawakal dalam setiap langkahnya. Dengan menempuh jalan ini, maka ruh perjuangan akan sentiasa ada dalam setiap gerak langkah keluarga pengemban dakwah. Sentiasa berusaha secara maksimum, akan tetapi tetap menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT berkaitan hasilnya.

 

  1. Menyelami kehidupan dakwah Rasulullah SAW, para sahabat, serta keluarganya.

 

Perjalanan kehidupan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat, serta orang-orang soleh beserta keluarganya sudah seharusnya selalu menginspirasi keluarga pengemban dakwah. Dengan membaca buku-buku sirah atau kisah-kisah kehidupan dakwah para sahabat, kita akan mampu merasakan onak dan duri menghampiri kehidupan dakwah mereka. Meski demikian, mereka mampu melaluinya dengan baik.

 

Kita akan mendapati perjuangan luar biasa mereka menyebarkan Islam dan membina umat. Kita boleh mengambil pelajaran daripada kehidupan dakwah mereka sekaligus menginsafi sikap kita. Betapa manusia terbaik seperti mereka kehidupannya begitu sederhana, bersahaja, tetapi jangan ditanya kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Masyaallah.

 

Selain itu, kita boleh menyelami nasihat ulama atau kata-kata penuh hikmah, misalnya, “Musibatun qad wajaba ajruha khayrun min ni’matin la yu’adda syukruha.” (Musibah yang pahalanya sudah pasti akan diperoleh lebih baik daripada nikmat yang tidak disyukuri).

 

Kita hendaklah menyedari bahawa nasib buruk yang dialami sebenarnya lebih baik. Ini kerana pahalanya akan mengalir kepada kita. Kita juga tidak akan ditanya tentang musibah tersebut. Sebaliknya, nikmat yang diterima belum tentu mampu menyelamatkan kita kerana akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

 

  1. Bergabung dengan kelompok dakwah.

 

Amanah menggalas dakwah mulia ini tidak akan dapat dilakukan secara individu, tetapi mesti dipikul secara berjemaah. Mereka ialah orang-orang yang terbina dengan Islam, anggota dakwah yang memiliki pola sikap dan pola fikir yang mantap. Tugas ini tidak boleh dipikul oleh orang-orang sembarangan. Sudah seharusnya kita terus membina diri dan melayakkan diri untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan ini.

 

Sudah seharusnya kita bersyukur berada dalam sebuah jemaah dakwah. Selain dibina dengan pemahaman Islam, kita juga sentiasa dipelihara dalam melaksanakan hukum syarak. Amar makruf nahi mungkar berjalan dengan sangat baik. Oleh itu, ketika berada dalam jemaah, kita akan terpelihara daripada kegusaran ini. Sentiasa ada penguat, iaitu pemahaman kita dan juga saudara-saudara sesama anggota jemaah yang sentiasa menasihati dan sedia menguatkan kita.

 

Khatimah

 

Benar, bahawa kegusaran ini wajar terjadi ketika kita hidup dalam cengkaman sistem rosak saat ini. Namun, kita tidak boleh berdiam diri, apatah lagi terperangkap di dalamnya. Kita mesti melawannya dan terus berusaha sekuat tenaga menjauhkannya daripada kehidupan keluarga pengemban dakwah. Hal ini hanya akan dapat direalisasikan jika kita terus istiqomah menjalankan aturan-aturan Allah dan semakin giat mendakwahkan Islam di tengah umat sehingga Islam secara kaffah tertegak di dunia ini dalam bingkai Khilafah.

 

Oleh itu, keluarga Muslim hendaklah bersatu, berganding bahu, dan melangkah bersama. Terus melakukan perjuangan bersama untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah. Perisai umat yang telah terbukti selama belasan abad lamanya mampu menjaga umat Islam, bahkan umat manusia dalam kesejahteraan dan keberkatan, serta terhindar daripada malapetaka. Wallahu’alam bissawab.

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version