Sebab Kematian Hanyalah Ajal
Banyak orang yang menyangka bahawa penyebab kematian itu banyak, seperti penyakit, atau kerana tertusuk pisau, tertembak, terbakar, leher terpenggal, dan sebagainya. Mereka mengatakan, bahawa semua itu secara langsung menyebabkan kematian.
Padahal, sebab kematian hanya satu, iaitu berakhirnya ajal; bukan sebab yang lain. Beberapa contoh di atas, hanyalah al-hâl (keadaan/cara) yang biasanya membawa pada kematian, dan bukan sebab kematian itu sendiri.
Suatu sebab pasti akan menghasilkan akibat; dan akibat juga tidak akan terjadi, kecuali jika ada sebabnya. Berbeza dengan hâl, ia boleh menghasilkan sesuatu berdasarkan kebiasaan, tetapi kadang-kadang menghasilkan yang berbeza dari kebiasaannya; atau bahkan tidak menghasilkan apa pun.
Contohnya, seseorang menderita sakit yang biasanya boleh membawa pada kematian, tapi ternyata orang tersebut tidak mati. Bahkan kemudian sembuh dan sihat kembali. Ini jelas membuktikan, bahawa beberapa hâl itu ternyata bukan penyebab kematian. Kerana, jika penyakit itu tadi merupakan sebab, pasti tidak akan membawa kepada kematian.
Allah ﷻ telah memberitahukan kepada kita, bahawa penyebab kematian adalah berakhirnya ajal, dan bahawa (Zat) yang Maha Mematikan adalah Allah ﷻ. Misalnya firman Allah (yang bermaksud):
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah mengikut ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” [TMQ Ali Imran (3): 145]
“Maka apabila telah datang waktunya (ajal), mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) dapat mempercepatkannya.” [TMQ al-A’raf (7): 34]
Ayat di atas dan banyak lagi ayat yang lain, menegaskan sebab datangnya kematian adalah kerana berakhirnya ajal, bukan hâl (keadaan/cara) yang dapat membawa pada kematian. Oleh sebab itu, seorang muslim wajib meyakini hal ini, juga meyakini bahawa jika ajalnya tiba, maka kematian tidak dapat ditangguhkan atau dicepatkan, dan manusia tidak akan dapat selamat dari kematian, atau lari darinya.
Adapun yang diperintahkan kepada manusia untuk dihindari atau dijauhi adalah berbagai hâl yang biasanya membawa pada kematian, dengan tidak mengumpankan atau memerangkap dirinya pada berbagai hâl tersebut.
Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Ismail
#ajal #kematian #hakikatkematian #matiitupasti

