Site icon MuslimahHTM News

TETAP TEGUH DALAM MENGEMBAN DAKWAH

TETAP TEGUH DALAM MENGEMBAN DAKWAH

(Istiqamah di Atas Fikrah dan Thariqah)

 

Oleh: Ustaz Arief B Iskandar

 

Mengemban dakwah adalah amanah yang mulia, namun juga berat. Ia menuntut keteguhan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sahaja keteguhan dalam mengembannya, tetapi juga teguh pada substansi dakwah itu sendiri: pemikiran dan hukum-hukum Islam yang murni, tanpa bercampur pemikiran batil. Keteguhan itu mesti terus dijaga hingga akhir hayat, sebagaimana telah dicontohkan oleh para nabi, sahabat, dan ulama salafush-soleh.

 

Teguh dalam Mengemban: Istiqamah, Tidak Futur, Selalu Bersemangat

 

Allah ﷻ memerintahkan kita untuk istiqamah di jalan-Nya, tidak goyah dengan godaan duniawi, ancaman musuh, atau rasa lelah.

 

Allah ﷻ berfirman:

فَاسْتَقِم كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Tetaplah engkau (Muhammad) di jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepada kamu dan (juga) orang-orang yang telah bertaubat bersama kamu. Janganlah kalian melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kalian kerjakan.” [TMQ Hūd (11): 112].

 

Ayat ini diturunkan sebagai perintah yang tegas agar Rasulullah ﷺ dan para pengikutnya tidak menyimpang sedikit pun dari perintah dakwah, meskipun tekanan dan ujian begitu berat.

 

Rasulullah ﷺ bersabda:

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

“Amalan yang paling dicintai Allah adalah yang paling berterusan, walaupun sedikit.” (HR. al-Bukhari dan Muslim).

 

Ibnu Katsir rahimahullah menyatakan, “Istiqamah adalah menempuh jalan yang lurus, iaitu agama yang lurus, tanpa menyimpang ke kanan atau ke kiri.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/326).

 

Oleh itu, pengemban dakwah hendaklah menjaga semangatnya. Tidak membiarkan futur (malas dan melemah). Sentiasa memelihara tenaga iman agar tetap berkobar-kobar. Keletihan fizikal mungkin berlaku, tetapi semangat ruhiyah tidak boleh dipadamkan.

 

Teguh dalam Dakwah: Menjaga Kemurnian Fikrah dan Thariqah

 

Dakwah Islam bukan sahaja tentang semangat, tetapi juga tentang ketepatan arah. Kita tidak boleh menyimpang sedikit pun dari fikrah (pemikiran Islam) dan thariqah (metode dakwah Rasulullah ﷺ).

 

Fikrah adalah isi dakwah: akidah, pemikiran, hukum-hukum syariah yang bersumber dari al-Quran dan as-Sunnah. Thariqah adalah metode baku yang ditempuh oleh Rasulullah ﷺ dalam mengubah masyarakat, bermula dari pembinaan individu, interaksi dengan masyarakat, hingga mengubah sistem kehidupan jahiliah menuju Islam.

 

Dalam hal ini, pengemban dakwah hendaklah sentiasa bersikap kritis dan peka dalam membezakan uslub (cara yang boleh berbeza-beza mengikut keadaan) dengan thariqah (metode yang tetap). Ini adalah di antara kunci agar dakwah tidak terpesong. Mengubah uslub boleh, tetapi meninggalkan thariqah adalah satu bentuk penyimpangan.

 

Allah ﷻ berfirman:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي

Katakanlah, “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada Allah dengan hujjah yang nyata.” [TMQ Yusuf (12): 108]

 

Al-Imam asy-Syathibi rahimahullah berkata:

فالشريعة كلها ترجع إلى اتباع ما جاء به النبي ﷺ من غير زيادة ولا نقصان

“Semua hukum syariah kembali kepada sikap mengikuti apa sahaja yang dibawa oleh Nabi ﷺ, tanpa penambahan dan tanpa pengurangan.” (Al-I‘tiṣhaam, 1/113).

Ijmak Sahabat juga menunjukkan bahawa dakwah Islam tidak boleh dipengaruhi oleh metode atau pemikiran asing. Para sahabat mengikuti manhaj Nabi ﷺ secara murni dalam menyampaikan risalah, walaupun menghadapi kesulitan dan tekanan yang besar.

 

Perbezaan Thariqah dan Uslub

 

Para ulama telah menjelaskan bahawa thariqah adalah metode yang tetap, bersumberkan dari syariah, tidak boleh diubah. Sebaliknya, uslub adalah cara-cara teknikal yang boleh diubah asalkan tidak melanggar syariah.

 

Al-Imam Asy-Syathibi rahimahullah menjelaskan, “Maqaashid syar‘iyyah (tujuan-tujuan syariah) tidak diambil kecuali dari apa yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya.”

 

Adapun wasilah (sarana) adalah jalan dan cara untuk merealisasikan tujuan-tujuan tersebut dan ia mengikuti apa yang dapat mewujudkan maksud syariat selama tidak bertentangan dengan nas atau kaedah syarie. (Al-Muwāfaqāt, 2/190)

 

Imam al-Qarafi berkata:

الثابت بالنصوص الشرعية لا يتغير، والمتغير ما كان من الوسائل التي تراعى فيها المصلحة والمفسدة

“Yang tetap adalah apa yang ditetapkan oleh nas-nas syarie. Yang berubah adalah hal-hal yang termasuk wasilah dan di dalamnya diperhatikan maslahat dan mafsadat.” (Al-Furūq, 2/33).

 

Dari penjelasan ini, jelaslah bahawa thariqah dalam dakwah adalah sesuatu yang tetap kerana bersumber dari wahyu. Sebaliknya, uslub adalah sarana yang fleksibel. Mengubah uslub boleh, tetapi meninggalkan thariqah bererti meninggalkan jalan dakwah Rasulullah ﷺ.

 

Menjaga Kesedaran: Amanah ini Milik Allah, Bukan Milik Kita

 

Kita hanyalah penyampai amanah. Bukan pemiliknya. Tugas kita adalah istiqamah dan menjaga kemurnian dakwah. Bukan menyesuaikan dakwah agar diterima manusia. Rasulullah ﷺ bersabda:

 

مَنْ أَرْضَى اللَّهَ بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنْ أَرْضَى النَّاسَ بِسَخَطِ اللَّهِ سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ

“Sesiapa sahaja yang mencari keredhaan Allah walaupun membuat manusia marah, Allah akan meredhainya dan membuat manusia redha kepada dirinya. Sesiapa sahaja yang mencari keredhaan manusia dengan membuat Allah murka, Allah akan murka kepadanya dan membuat manusia murka kepada dirinya.” (HR. Ibn Hibban).

 

Khatimah: Tetap Teguh, Tetap Lurus

 

Wahai para pengemban dakwah, teguhlah dalam mengemban dakwah, jangan biarkan diri futur merenggut semangat kita. Teguhlah juga dalam dakwah, janganlah kita membiarkan fikrah dan thariqah bercampur dengan idea-idea asing.

 

Ingatlah pesan Saidina Umar bin al-Khattab RA:

إِنَّمَا تُنْقَضُ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً إِذَا نَشَأَ فِي الإِسْلاَمِ مَنْ لاَ يَعْرِفُ الْجَاهِلِيَّةَ

“Ikatan Islam akan terlepas satu demi satu jika dalam Islam lahir generasi yang tidak mengenal (keburukan) kejahiliyahan” (HR Ibn Abi Syaibah).

 

Maka oleh itu, tetaplah sedar bahawa dunia ini adalah ladang ujian. Teguhlah hingga Allah menjemput kita dalam keadaan membawa risalah-Nya, agar kelak kita termasuk golongan yang disebut dalam firman-Nya:

 

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati” [TMQ al-Ahqaf (46): 13].

 

 

Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

 

 

#nafsiyah #TeguhDalamDakwah #Istiqamah #DakwahIslamKaffah #PejuangIslamKaffah

Exit mobile version