Kedatangan Trump adalah Pengkhianatan Terhadap Umat Islam
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis HTM, Saudara Abbas Ismail, menyatakan bahawa kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam seluruh dunia, khususnya penduduk Palestin.
“Kedatangan mereka (AS) adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam seluruh dunia. Termasuklah kepada saudara-saudara kita yang teraniaya di bumi Palestin, yang setiap harinya sedang meneruskan usaha untuk menyambung usia (hidup),” ujarnya dalam Demonstrasi Aman dan Penyerahan Memorandum Membantah Kedatangan Donald Trump ke Malaysia di Putrajaya, pada Jumaat (17/10/2025)
Menurut Abbas, Trump dan Amerika adalah penyokong utama entiti haram Yahudi yang terus menindas rakyat Palestin di Gaza.
“Bahkan Donald Trump merupakan pembantu mereka. Donald Trump dan juga Kerajaan Amerika memberikan bantuan ketenteraan, bantuan kewangan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tidak wajar bagi mana-mana pihak, baik pemimpin mahupun rakyat Malaysia mengalu-alukan kedatangan Trump ke negara ini.
“Bayangkan sekiranya saudara-saudara kita dibunuh, saudara-saudara wanita kita dirogol, wajarkah kita berjabat tangan dengan penjenayah itu? Hari ini Trump datang, bapa kepada segala penjenayah, pembunuh umat Islam. Wajarkah kita mengalu-alukan kedatangan dia?” teriaknya lantang.
Abbas kemudian mengajak umat di Malaysia agar membersamai dalam tindakan menolak dan menyuarakan bantahan ini.
“Saya mengajak semua, marilah bersama-sama kita menolak kedatangan Trump ke bumi Malaysia, ke tanah tumpah, tempat tinggal kita yang berkah ini. Dengan apa tuan tuan? Dengan sama-sama kita menyuarakan bahawa kedatangan Donald Trump adalah satu pengkhianatan,” ucapnya.
Dalam ucapannya juga, Abbas turut mengingatkan hadirin tentang penderitaan rakyat Gaza yang masih berlangsung sehingga ke hari ini. Menurutnya, mereka kehilangan keluarga, tempat tinggal dan kelaparan akibat serangan berterusan.
“Sedangkan hari ini kita masih selesa, masih dapat makan, minum, dan hidup dengan aman dan damai,” ujarnya mengingatkan kepenatan yang dialami pada saat ini tidak sebanding dengan kehancuran yang dialami penduduk Gaza.
Ucapan beliau diakhiri dengan seruan agar umat terus berjuang dan mengembalikan kepimpinan Islam yang sebenar.
“Jangan pernah berhenti tuan-tuan dan puan-puan. Jangan pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT. Jangan pernah berhenti bercakap tentang isu ini. Jangan pernah berhenti muhasabah pemimpin-pemimpin Islam. Kembalikan kepimpinan Islam! Kembalikan! Allahu akbar!,” serunya bersambut gema takbir peserta.[]
#TolakTrump

