Site icon MuslimahHTM News

Menjaga Kewarasan Keluarga Muslim di Tengah-tengah Cengkaman Kapitalisme

Menjaga Kewarasan Keluarga Muslim di Tengah-tengah Cengkaman Kapitalisme
 
Penulis: Najmah Saiidah
 
Menyaksikan fenomena keluarga-keluarga muslim kini begitu menghiris hati. Betapa tidak, kerapuhan keluarga muslim tergambar jelas pada realiti yang terjadi saat ini. Tahap keganasan yang tinggi dan kadar penceraian yang semakin meningkat. Belum lagi fenomena-fenomena “pelik” yang tidak masuk akal, seperti ; ibu atau ayah yang sanggup membunuh anak-anaknya, kes ayah yang mengganggu anak secara seksual, sehingga menghamilkan anak kandungnya sendiri, isteri yang membunuh suami atau sebaliknya, dan pelbagai kes yang menyedihkan.
 
Demikian juga yang terjadi terhadap generasi muda. Fenomena generasi strawberi dan mental illness yang menonjol akhir-akhir ini menggambarkan rapuhnya mental generasi hari ini. Hal ini seiring dengan tingkah laku generasi muda yang seolah-olah di luar kebiasaan, seperti melakukan aksi-aksi berbahaya hanya demi konten, bunuh diri kerana sebab yang remeh, melakukan jenayah berat, terjerumus dalam aktiviti dadah juga pergaulan bebas, dan sebagainya.
 
Kapitalisme dan Sekularisme Punca Masalah
 
Kapitalisme rosak dan merosakkan. Itulah sebutan yang tepat kepada sebuah sistem yang sedang mendominasi kehidupan manusia saat ini. Kapitalisme, ideologi yang bertuhankan material. Standard baik dan buruk adalah material dan manfaat. Kapitalisme juga telah merampas dan merosak nilai-nilai kemanusiaan sehingga orang sanggup melakukan perbuatan yang tidak selayaknya diperbuat oleh orang yang nalurinya masih terpelihara.
 
Orang-orang yang seharusnya melindungi, malah melakukan kejahatan, bahkan sangat kejam. Ibu yang seharusnya penuh kasih sayang pada anak-anaknya malah menyakiti, bahkan membunuh anaknya. Demikian halnya seorang ayah yang seharusnya menjadi perisai utama menjaga dan melindungi anak dan keluarga, malah merosakkan masa hadapan anak dengan memperkosanya, bahkan hingga hamil dan ada pula yang membunuhnya. Sebaliknya, seorang anak sanggup membentak ayahnya. Ada juga anak yang menghakimi ayah dan ibunya, walhal seorang muslim tidak selayaknya melakukan demikian.
 
Naluri seorang ayah atau ibu seolah-olah telah lenyap begitu sahaja, demikian halnya anak. Seolah-olah kasih sayang kepada ibu bapa telah lenyap, walhal naluri melestarikan keturunan (gharizah nau’) telah Allah ciptakan kepada manusia sejak mereka dilahirkan. Sewajarnya, setiap manusia bertanggungjawab menjaga keturunannya sesuai tuntunan syarak.
 
Kapitalisme juga telah merosak sendi-sendi kehidupan manusia, menyebabkan porak-poranda bangunan keluarga. Perkahwinana adalah ikatan suci yang semestinya dibajai dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Sewajarnya perkahwinan dipelihara agar berkekalan sehingga maut menjemputnya, ternyata hancur berkecai dan banyak berakhir dengan penceraian.
 
Walau bagaimanapun, situasi ini memang mesti dihadapi oleh keluarga muslim, bahkan mesti dihadapi dan diselesaikan dengan benar sesuai tuntunan syariat Islam. Jangan sampai keluarga muslim terbawa arus tipu daya sistem sekular kapitalisme yang kelihatan saja menggiurkan, padahal mengandungi racun berbisa. Di sini diperlukan kewarasan keluarga muslim untuk menghadapi pelbagai perangkap sistem sekular kapitalisme ini agar tidak menjadi mangsanya.
 
Bagaimana Menjaga Kewarasan Keluarga Muslim dari Perangkap Kapitalisme?
 
Setiap keluarga muslim tentu sangat menginginkan kehidupan keluarganya selalu on the track, berjalan sesuai ketetapan Allah dan tidak tercalar dengan kehidupan yang rosak. Walaupun bukan suatu perkara yang mudah, tetapi ada beberapa usaha yang kita dan keluarga boleh lakukan agar kewarasan tetap terjaga, di antaranya:
 
1. Membentengi Keluarga dengan Akidah Islam
 
Islam mengajarkan kita agar menjadikan akidah Islam sebagai benteng pelindung pemikiran keluarga kita dari pemikiran-pemikiran kufur yang bertentangan dengan Islam, seperti demokrasi, sekularisme, liberalisme, dan sebagainya. Dengan demikian, akan terwujud iman yang kuat dalam diri anggota keluarga muslim. Iman yang akan melindungi keluarga kita dari pelbagai budaya dan gaya hidup kufur yang rosak dan merosakkan, yang ditawarkan oleh sistem sekular kapitalisme.
 
Keimanan yang kuat ini akan terwujud dengan meyakini dan memahami bahawa Allah SWT adalah Al-Khalik, sekaligus Al-Mudabbir. Ertinya, memahami bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan membuat aturan untuk manusia, makhluk yang diciptakan. Sebaliknya, manusia mempunyai kewajipan untuk taat dalam melaksanakan semua aturanNya. Oleh sebab itu, setiap anggota keluarga muslim tidak boleh mengambil hukum-hukum yang bukan berasal daripada Allah SWT.
 
Dengan iman yang kuat, setiap anggota keluarga akan memahami tujuan hidupnya, iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT. Anggota keluarga tidak mudah terpedaya oleh segala sesuatu yang dilarang Allah, sehingga Allah redha kepada mereka [TMQ Az Zariyat(51): 56 dan TMQ Al-Bayyinah (98) :8 dan di akhirat mendapat kebahagiaan sejati, iaitu masuk syurga bersama-sama [TMQ Az-Zukhruf (43) : 70-71].
 
2. Menjadikan Takwa sebagai Landasan Berkeluarga
 
Setiap keluarga mesti menjadikan takwa sebagai landasan membangun keluarga sehingga penyelesaian seluruh persoalan yang terjadi dalam keluarga tersebut dikembalikan kepada Islam semata-mata. Dengan ketakwaan kepada Allah SWT, keluarga akan tetap kukuh sekalipun pelbagai gangguan bekerja keras meruntuhkan dan memalingkan dari tujuan berkeluarga sebenar sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.
 
Ketakwaan merupakan benteng yang akan melindungi keluarga dari perangkap sistem kapitalisme yang merosak sehingga penyelesaian setiap permasalahan tidak akan diambil selain dari ketentuan Islam. Semua penyelesaian yang bertentangan dengan Islam pasti akan ditepis dan ditinggalkan, sekalipun dipenuhi tawaran-tawaran yang menggiurkan. Allah SWT berfirman :
 
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya dipermudah urusannya.” [TMQ At–Thalaq (65): 4].
 
Landasan takwa juga akan menjaga visi dan misi keluarga muslim. Ini disebabkan oleh, hanya asas takwa yang kukuh sahaja akan dapat menjaga idrak sillah billah (hubungan dengan Allah SWT) sehingga keluarga hanya akan fokus mengejar redha Allah SWT dalam setiap langkahnya.
 
3. Menjadikan Seluruh Anggota Keluarga Terikat dengan Hukum Syarak.
 
Keluarga muslim akan terpelihara jika setiap anggota keluarga menjadikan syariat Islam, halal dan haram sebagai standard dalam melakukan dan menilai sesuatu kerana di sanalah letaknya keredhaan Allah SWT. Baik atau buruk suatu perbuatan mesti dipertimbangkan sesuai ketentuan syariat, bukan kerana suka atau tidak suka berdasarkan hawa nafsu.
 
Allah SW., Sang Pencipta manusia yang lebih mengetahui mana yang baik atau buruk bagi manusia. Sebagaimana firmanNya, “Boleh jadi kalian tidak menyukai sesuatu, padahal sesuatu itu baik bagi kalian dan boleh jadi kalian menyukai sesuatu padahal sesuatu itu buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui. “ [TMQ Al-Baqarah(2): 216] .
 
4. Bersandar kepada Allah, Menguatkan Idrak Sillah Billah
 
Di tengah-tengah sistem yang rosak ini, hendaklah kita selalu memiliki hati dan jiwa yang tenteram, serta terpelihara kewarasan kita. Kita perlu mendekatkan diri selalu kepada Allah SWT agar mampu mengarahkan kecenderungan-kecenderungan kita kepada tuntunan Allah dan boleh berfikir secara benar.
 
Banyak perkara yang boleh kita lakukan, di antaranya, banyak berzikir, berdoa, bersedekah, berpuasa sunat, solat sunat, serta amalan-amalan sunat lain. Lebih baik lagi jika dapat disempurnakan pada setiap sepertiga malam, iaitu dalam tahajud, kita dapat mencurahkan seluruh permasalahan hanya kepadaNya. Kita akan mendapat pahala yang besar dari Allah SWT, juga mendapat ketenangan.
 
5. Menghadiri Majis Ilmu sehingga Faham Islam Kaffah
 
Pemikiran dan pemahaman yang lahir dari sistem kapitalisme terus disebarkan di tengah-tengah umat dengan bahasa yang indah, walhal semua itu adalah racun berbalut madu. Di sinilah pentingnya setiap anggota keluarga membina diri dengan pemahaman Islam yang lurus dan tsaqafah Islam. Ketika setiap keluarga muslim memahami Islam dengan benar, maka akan mampu membezakan pemikiran yang benar dan yang salah sehingga tidak mudah terjebak pada perbuatan dan tingkah laku yang menyimpang.
 
Langkah yang paling mudah untuk mewujudkan ini semua adalah dengan istiqamah menghadiri majlis-majlis ilmu yang membahas Islam kaffah, memahami Islam kaffah, lalu mendakwahkannya di tengah-tengah umat. Ini semua akan menjadi benteng yang kuat agar tetap waras dan teguh di jalan syariatNya.
 
6. Menjadikan Dakwah sebagai Bahagian Penting bagi Kehidupan Berkeluarga
 
Untuk mewujudkan suasana takwa di dalam keluarga, menstrukturkan agar semua anggota senantiasa terikat aturan Allah SWT, dan berjalannya semua fungsi keluarga, maka perlu menjadikan dakwah atau amar makruf nahi mungkar sebagai bahagian penting dari kehidupan seharian seluruh anggota keluarga. Mereka senantiasa mengajak dalam hal kebaikan dan mencegah kejahatan. Mereka juga sentiasa berlumba dalam kebaikan dan mengukuhkan satu dengan yang lain.
Anggota keluarga saling mendukung sebagai sebuah kelompok dakwah terkecil dan saling meneguhkan antara satu sama lain. Memadukan antara tugas dalam keluarga dengan dakwah akan terasa berat jika tidak saling mendukung dan membantu. Oleh kerana itu, setiap anggota keluarga mesti terus saling menguatkan agar aktiviti dakwah berjalan dengan baik. Di samping itu, membantu saling meringankan pekerjaan di antara anggota keluarga. Ketika hendak keluar rumah untuk berdakwah, maka pengelolaan rumah tangga atau keluarga tidak dilalaikan. Allah SWT. berfirman, “Saling membantulah kalian dalam (mengerjakan) kebaikan dan ketakwaan dan jangan saling tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” [TMQ Al-Maidah (5): 2].
 
7. Peduli terhadap Permasalahan Umat
 
Tidak boleh dinafikan bahawa permasalahan kompleks yang dihadapi keluarga-keluarga muslim di negeri ini kini adalah buah dari penerapan sistem sekular kapitalisme. Semua ini akan berakhir jika syariat Islam diterapkan secara kaffah dalam naungan Khilafah Islamiyyah. Oleh kerana itu, kewarasan setiap keluarga muslim akan tercapai dengan menerapkan Islam kaffah di muka bumi dalam naungan Khilafah.
 
Demikianlah, beberapa usaha yang boleh dilakukan oleh keluarga muslim untuk menjaga kewarasannya agar tidak tergoda dan terjebak oleh racun-racun kapitalisme yang boleh menjauhkan dari Islam, bahkan menggelincirkan ke dalam lubuk dosa. Naudzubillaahi min dzalika. Hanya sahaja, kewarasan ini hanya akan terwujud secara hakiki dan tetap terpelihara di dalam diri kaum muslimin jika aturan Allah SWT seluruhnya ditegakkan di dunia ini dalam bingkai Khilafah.
 
Oleh kerana itu, maka keluarga muslim mesti bersatu padu, bergandingan tangan, dan melangkah bersama, berjuang demi tegaknya kembali Khilafah Islamiyyah. Institusi yang telah terbukti selama belasan abad lamanya mampu menaungi dan memelihara umat Islam, bahkan umat manusia seluruhnya, dalam kesejahteraan dan keberkahan, serta terhindar dari malapetaka. Wallahua’lam bissawab.
 
 
 
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#MentalHealth #FamilyMentalHealth
 
 
Exit mobile version