Ibu Bapa Jangan Berbeza Frekuensi
Ramai ibu bapa berbeza pendapat dalam menentukan sikap bagaimana yang sepatutnya dipraktikkan oleh anak-anak, dan sikap yang sepatutnya mereka jauhi. Perbezaan pendapat ini biasanya muncul kerana pelbagai alasan, seperti adat kebiasaan dan tradisi yang berlaku, pandangan umum masyarakat, peraturan serta hukum yang ada. Kadangkala ia juga timbul daripada cara pandang mereka terhadap kehidupan, serta bagaimana mereka menilai sesuatu itu sebagai baik atau buruk, indah atau sebaliknya, berdasarkan rasa suka atau tidak suka mereka terhadap perkara tersebut. Apa yang mereka suka dianggap baik, dan apa yang mereka benci dianggap buruk.
Ada juga yang menilai sesuatu daripada sisi manfaat atau kerugiannya kepada diri mereka. Jika sesuatu itu membawa manfaat, mereka menganggapnya baik. Namun, jika ia mendatangkan kerugian, maka mereka akan menganggapnya buruk dan tidak wajar.
Perbezaan pandangan seperti ini antara ayah dan ibu boleh memberi kesan negatif kepada anak. Tidak adil jika seorang anak dihukum atau diberi penghargaan kerana perilaku yang sama, hanya semata-mata kerana ibu bapanya berbeza dalam penilaian. Jika ayah dan ibu tidak sehaluan serta tidak seia sekata dalam mendidik anak, maka anak-anak akan sangat menderita. Mereka cenderung menjadi agresif, suka membantah, serta sering terlibat dalam pertengkaran dan perdebatan. Hal ini hanya akan menambahkan ketegangan antara kedua-dua ibu bapa, dan menjadikan suasana rumah terasa berat serta tidak selesa kerana dipenuhi masalah, kebencian dan permusuhan antara ahli keluarga — khususnya apabila masing-masing ibu bapa tetap berkeras dengan pendapat masing-masing.
Apabila ibu mengatakan sesuatu dan ayah pula menyatakan perkara yang berbeza, anak akan menjadi keliru, kerana pada dasarnya dia ingin memperoleh persetujuan daripada kedua-duanya. Jika anak cuba untuk lebih rapat kepada salah seorang ibu bapa bagi menyenangkannya, dia akan berasa gelisah dan hilang arah kerana menjauhkan diri daripada yang seorang lagi. Oleh itu, kesepakatan antara ayah dan ibu dalam cara mendidik anak serta dalam menentukan mana sikap yang baik dan buruk akan melindungi anak daripada terbentuknya konflik identiti dan konflik dalaman yang sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.
Sumber: “Asâsiyyât Tarbiyyah al-Athfâl” – Najah as-Sabatin
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

