Site icon MuslimahHTM News

Ikhtilat dalam Keluarga: Ancaman Senyap dan Solusi Islam

Ikhtilat dalam Keluarga: Ancaman Senyap dan Solusi Islam

 

Oleh: Farisha Aris

 

Persoalan ikhtilat atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram mendapat perhatian khusus dalam Islam. Sebelum mengupas isu ini lebih lanjut, kita perlu memahami maksud ikhtilat terlebih dahulu. Secara istilah, ikhtilat merujuk kepada percampuran atau interaksi antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa adanya batasan yang ditetapkan oleh syarak.

 

Dalam Islam, ikhtilat adalah perbuatan yang diharamkan dan berdosa menurut hukum syarak. Malangnya, ramai umat Islam melakukannya. Fenomena ini semakin membimbangkan dalam kehidupan hari ini, termasuk dalam situasi yang melibatkan ikhtilat di kalangan ahli keluarga sendiri. Masalah ini diperparah apabila ada segelintir Muslim yang jahil tentang syariat Islam atau mudah terpengaruh dengan gaya hidup kaum kafir yang tidak mengenal batasan halal dan haram.

 

Ikhtilat menimbulkan bahaya yang besar kerana ia membuka pintu kepada kemaksiatan lain seperti pengabaian aurat, gangguan seksual, perbuatan zina, dan sebagainya. Lebih membimbangkan, ancaman ikhtilat ini turut melibatkan keluarga Muslim. Ahli keluarga yang tidak mematuhi syariat Islam dalam interaksi sesama mereka berisiko terjerumus dalam kecurangan, fitnah, serta berlaku keruntuhan rumah tangga.

 

Kecurangan Dalam Keluarga: Apabila Batas Dilanggar

 

Ikhtilat di kalangan ahli keluarga yang bukan mahram dapat berlaku apabila batas syariat Islam tidak dijaga. Di Malaysia, terdapat situasi di mana ahli keluarga yang bukan mahram, seperti ipar duai, tinggal sebumbung. Walaupun pada awalnya wujud rasa kurang selesa, lama-kelamaan keadaan itu menjadi alah bisa tegal biasa. Keselesaan ini sering kali mengakibatkan pengabaian batas aurat, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

 

Tinggal bersama di bawah satu bumbung menyebabkan interaksi antara ipar duai menjadi sukar dikawal. Mereka mula dilayani seperti adik-beradik kandung, walhal hubungan antara ipar duai dengan adik-beradik kandung adalah berbeza menurut hukum syariat. Sebagai contoh, adik-beradik kandung boleh tinggal bersama pada bila-bila masa tanpa memerlukan mahram, sedangkan bagi ipar duai, kehadiran mahram adalah wajib. Jika mereka tinggal berdua sahaja tanpa mahram, situasi tersebut dikategorikan sebagai khalwat dan hukumnya haram.

 

Insiden khalwat benar-benar boleh berlaku apabila ipar duai berlainan jantina dibiarkan berduaan oleh ahli keluarga lain atas alasan seperti keluar bekerja, mengurus urusan peribadi, dan sebagainya. Ini adalah bentuk pergaulan bebas yang sangat berisiko dan boleh mengundang musibah, termasuk kecurangan atau gangguan moral dalam keluarga.

 

Rasulullah SAW telah memberi peringatan mengenai bahaya ini. Baginda bersabda: “Janganlah kamu masuk menemui wanita (yang bukan mahram).” Seorang lelaki Ansar bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan ipar?” Baginda menjawab: “Ipar itu maut!” [HR al-Bukhari dan Muslim]. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa pergaulan bebas antara ipar duai berpotensi membawa akibat buruk yang tidak diingini.

 

Bagi mengelakkan insiden seperti ini, keluarga Muslim perlu meningkatkan kesedaran mengenai batas syariat dalam hubungan kekeluargaan dengan mempraktikkan pemisahan tempat tinggal antara lelaki dan wanita bukan mahram, termasuk ipar duai. Aurat dan adab pergaulan juga hendaklah sentiasa dijaga bagi memelihara kehormatan individu dan keharmonian keluarga. Islam telah memberikan panduan lengkap sebagai pedoman untuk membentuk keluarga yang bahagia dan diberkati.

 

Solusi Islam: Garis Panduan Pergaulan dalam Keluarga

 

Hukum Islam telah menyediakan solusi dengan memberi garis panduan pergaulan dalam keluarga yang seharusnya dilaksanakan dengan sempurna. Islam sangat mementingkan penjagaan kehidupan khusus wanita ketika berada di dalam rumah. Antara hukum yang berkaitan dengan kehidupan khusus wanita ialah seorang wanita hanya boleh hidup bersama para wanita atau mahramnya sahaja. Dalam hal ini, seorang wanita boleh menampakkan sebahagian anggota tubuhnya yang biasanya kelihatan apabila berada di dalam rumahnya.

 

Sehubungan itu, lelaki ajnabi sama sekali tidak dibenarkan untuk tinggal di kediaman yang sama dengan seorang wanita, walaupun lelaki tersebut berstatus abang ipar, sepupu atau kenalan.  Dengan demikian, interaksi antara lelaki bukan mahram  dengan wanita dalam kehidupan khusus adalah haram secara mutlak kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu yang telah dikecualikan oleh syariat Islam, seperti semasa menghadiri acara jamuan makan atau majlis silaturahim, dengan syarat wanita disertai mahramnya serta menutup auratnya dengan sempurna.

 

Pentingnya Menjaga Batas Mesra dalam Keluarga

 

Islam sangat menganjurkan umatnya untuk berkasih sayang sesama manusia secara umum, dan khususnya sesama keluarga serta kaum kerabat. Walau bagaimanapun, Islam telah menggariskan tatacara dalam menyebarkan kasih sayang tersebut agar tidak dilakukan mengikut kehendak nafsu atau secara tidak teratur. Oleh itu, segala aktiviti yang berpotensi untuk mengundang kepada ikhtilat mestilah dielakkan. Sebagai contoh, bersenda gurau, bertepuk tampar atau berdua-duaan tanpa batasan, atau berkongsi cerita peribadi secara terbuka dengan ipar duai atau sepupu.

 

Hal ini amat penting kerana ikhtilat merupakan jalan yang boleh membawa kepada pelbagai kemaksiatan, termasuk terjadinya khalwat, iaitu situasi di mana seorang lelaki berada berdua-duaan dengan perempuan bukan mahramnya. Perbuatan ini amat ditegah oleh  Rasulullah SAW yang bersabda: “Janganlah sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan, kerana yang ketiganya ialah syaitan” [HR Ahmad].

 

Khatimah

 

Pergaulan bebas tanpa batasan antara keluarga dan kaum kerabat boleh membawa kepada implikasi yang serius, termasuk kehilangan kepercayaan antara ahli keluarga. Lebih buruk lagi, ia berpotensi mencetuskan fitnah yang meruntuhkan rumah tangga, sekaligus menghancurkan institusi keluarga. Oleh itu, sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sistem pergaulan dalam Islam adalah solusi terbaik bagi mengekang pelbagai permasalahan masyarakat masa kini. Setiap aturan yang telah diturunkan oleh Allah SWT bertujuan untuk mensejahterakan kehidupan manusia, asalkan kita memahami, memelihara, dan mengamalkannya, terutama dalam konteks institusi keluarga.

 

Apabila syariat Islam dijadikan pegangan dalam keluarga dan masyarakat, kemuliaan serta kehormatan umat Islam pasti terpelihara. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berusaha menjaga kehormatannya, maka Allah akan menjaga kehormatannya; dan barangsiapa yang merasa cukup, maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” [HR al-Bukhari: no. 1427]. Dengan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan syariat, segala permasalahan dalam institusi keluarga dan masyarakat dapat diselesaikan. Hal ini sekaligus mampu melahirkan kehidupan yang harmoni, penuh kasih sayang, dan diberkati oleh Allah SWT.

 

Wallahu a’lam

 

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

 

 

 

 

Exit mobile version