Site icon MuslimahHTM News

Keluarga Muslim Perlu Belajar daripada Keluarga Abu Zar al-Ghifari

Keluarga Muslim Perlu Belajar daripada Keluarga Abu Zar al-Ghifari

Penulis: Ummu Nashir N.S.

Para sahabat Rasulullah SAW ialah mereka yang sangat dipercayai. Mereka memeluk Islam, hidup bersama, dan turut berperang bersama Rasulullah SAW. Banyak pujian yang diberikan oleh RasulullahSAW   kepada para sahabatnya. Dalam salah satu hadis, Baginda SAW bersabda:

“Sahabat-sahabatku itu seperti bintang di langit. Dari mana sahaja kamu mengikuti mereka, nescaya kamu akan mendapat petunjuk, hidayah, dan bimbingan.”

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang istimewa ialah Abu Zar al-Ghifari. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW. Kisah hidupnya sejak memeluk Islam hingga wafat sangat menarik untuk dikaji dan diambil pengajaran oleh umat Islam hari ini, termasuk dalam aspek kehidupan rumah tangganya.

Abu Zar al-Ghifari, Sahabat Rasulullah yang Istimewa

Abu Zar berasal daripada suku Ghifar yang terkenal sebagai suku perompak pada zaman pra-Islam. Beliau memeluk Islam dengan sukarela dan termasuk dalam kalangan sahabat terawal yang beriman. Beliau mendatangi Nabi Muhammad SAW secara langsung di Mekah untuk menyatakan keislamannya. Kemudian, beliau mengelilingi kota Mekah mengisytiharkan bahawa beliau kini seorang Muslim. Tindakan itu menimbulkan kebimbangan dan kemarahan kaum Quraisy, namun dengan izin Allah beliau terselamat. Quraisy akhirnya melepaskannya setelah mengetahui orang yang dipukul tersebut berasal daripada suku Ghifar. Selepas itu, Abu Zar berusaha gigih mengislamkan ibu dan saudara-saudaranya.

Abu Zar terkenal dengan kesetiaannya kepada Rasulullah SAW. Kesetiaan itu terbukti ketika beliau menyusul pasukan Rasulullah  menuju medan Perang Tabuk. Ketika itu, keldainya terlalu lemah sehingga beliau terpaksa berjalan kaki sambil memikul barang bawaannya di tengah panas terik. Beliau keletihan dan rebah di hadapan Nabi, namun Baginda hairan kerana kantung airnya masih penuh. Setelah ditanya mengapa tidak diminum, Abu Zar menjawab: “Dalam perjalanan, saya temui sebuah mata air. Saya minum daripadanya dan merasa nikmat. Saya bersumpah tidak akan meminumnya lagi sebelum Rasulullah meminumnya.” MasyaAllah, begitu besar cinta Abu Zar kepada Rasulullah SAW.

Dengan penuh rasa haru, Rasulullah SAW bersabda: “Engkau datang sendirian, engkau hidup sendirian, dan engkau akan meninggal dalam kesendirian. Namun, satu rombongan orang soleh dari Iraq kelak akan mengurus pemakamanmu.” Abu Zar al-Ghifari, sahabat setia Rasulullah itu, mengabdikan seluruh hidupnya untuk Islam.

Bukan itu sahaja, Abu Zar dan keluarganya juga seorang yang teguh berpegang kepada kebenaran. Beliau tidak pernah berdiam diri apabila melihat kemungkaran di hadapannya, kerana sentiasa mengingati pesanan atau wasiat Rasulullah kepadanya. Pesanan inilah yang beliau selalu sematkan dalam keluarganya.

Dalam sebuah hadis, Abu Zar meriwayatkan: “Kekasihku (Rasulullah) berwasiat kepadaku tentang tujuh perkara: Agar aku mencintai orang miskin dan dekat dengan mereka. Beliau memerintahkan agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku. Baginda memerintahkan agar aku menyambung silaturahim meskipun mereka berbuat jahat kepadaku. Aku dianjurkan agar memperbanyakkan ucapan lâ haulâ walâ quwwata illâ billâh (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah). Aku diperintahkan agar mengatakan kebenaran walaupun pahit. Baginda SAW berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah. Baginda melarang aku meminta-minta sesuatu daripada manusia.” [HR Imam Ahmad]

Nasihat Rasulullah  itu ditanamkan oleh Abu Zar kepada isteri dan anak-anaknya. Dengan itu, keluarga Abu Zar menjadi keluarga yang sangat teguh berpegang kepada kebenaran serta sentiasa melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan umat, termasuk terhadap para penguasa. Namun, penguasa ketika itu seakan tidak berganjak. Akhirnya, Abu Zar berpindah dari kota Madinah dan memilih tinggal di Rabazah, sebuah padang pasir yang liar. Isteri dan anak-anaknya setia bersamanya tanpa sebarang rungutan. Keputusan itu amat berani kerana kawasan tersebut jarang dilalui oleh kafilah. Mereka hidup tanpa jiran di kiri dan kanan.

Abu Zar sekeluarga sangat menjaga wasiat Rasulullah SAW. Isterinya yang solehah bersama anaknya mendampingi Abu Zar al-Ghifari dengan penuh kesetiaan dan tanpa keluh kesah. Mereka sabar menjalani kehidupan yang sangat sederhana. Abu Zar pula sangat yakin dengan janji Rasulullah.

Ajalnya semakin hampir. Ummu Zar sentiasa berada di sisi suaminya, mengurus segala keperluannya. Melihat keadaan suaminya yang semakin tenat, Ummu Zar akhirnya menangis di sampingnya. Abu Zar pun bertanya: “Apa yang engkau tangiskan, sedangkan maut itu pasti tiba?” Dengan pilu, Ummu Zar menjawab: “Engkau akan meninggal dunia, sedangkan kita tidak punya kain kafan untukmu.”

Abu Zar tersenyum, lalu berkata kepada isterinya: “Jangan menangis. Suatu hari, ketika aku berada di sisi Rasulullah dan beberapa sahabat, aku mendengar Baginda SAW bersabda: ‘Pasti ada seorang daripada kamu yang akan meninggal di padang pasir yang liar, lalu kematiannya akan disaksikan oleh satu rombongan orang-orang yang beriman.’ Semua yang hadir di majlis itu telah pun wafat, tiada seorang pun yang masih hidup kecuali aku. Kini aku menghadapi maut di padang pasir ini. Perhatikanlah jalanan, kalau-kalau rombongan orang-orang beriman itu telah datang.”

Tidak lama selepas Abu Zar menghembuskan nafas terakhirnya, kelihatan satu rombongan kafilah berjalan pantas di padang pasir itu. Mereka ialah rombongan kaum mukminin yang dipimpin oleh Abdullah bin Mas‘ud. Ibnu Mas‘ud membelokkan tali kekangnya ke arah wanita tua, yang tidak lain adalah isteri Abu Zar. Saat pandangannya terarah kepada jasad yang terbujur, terlihat olehnya wajah seorang sahabat seakidah dan seperjuangan dalam menegakkan Islam, iaitu Abu Zar. Air mata pun mengalir deras dari pelupuk matanya. Inna lillāhi wa innā ilaihi rāji‘ūn.

Belajar daripada Keluarga Abu Zar al-Ghifari
Setelah menelusuri kehidupan sahabat mulia Abu Zar al-Ghifari dan keluarganya, kita dapat melihat bahawa mereka adalah sosok yang istimewa. Seharusnya keluarga Muslim pada hari ini mengambil beberapa pengajaran berharga daripada kehidupan sahabat mulia ini.

1. Memegang Teguh Kebenaran

Abu Zar memeluk Islam atas kesedaran sendiri, lalu mengajak ibunya dan adik-adiknya untuk turut beriman. Beliau sangat teguh berpegang pada kebenaran, walaupun sukunya, Ghifar, terkenal dalam kalangan bangsa Arab sebagai perompak. Abu Zar menolak budaya perompakan itu sehingga beliau meninggalkan kampung halamannya bersama ibu dan adiknya.
Setelah masuk Islam, beliau lantang menyuarakan kebenaran meskipun risikonya pahit.

Pada masa awal pengislamannya, beliau bertekad mengisytiharkan keimanannya di hadapan Kaabah, ketika ia masih dikuasai kaum kafir Quraisy. Walaupun seorang asing dan tidak mempunyai sanak saudara di Mekah, beliau berani mengenalkan keislamannya di khalayak ramai. Walaupun beliau dipukul beramai-ramai oleh kaum Quraisy hingga luka parah, namun sedikit pun beliau tidak gentar. Pertolongan datang daripada al-Abbas bin Abdul Muttalib.
Setelah kembali kepada kaumnya, beliau dengan gigih menyampaikan kebenaran Islam. Hasil dakwah gigihnya, seluruh kaumnya akhirnya memeluk Islam dan dibawa menghadap Nabi Muhammad untuk menyatakan keislaman mereka. Hal ini membuat Nabi kagum kepada Abu Zar.

2. Keluarga yang Sentiasa Menjaga Wasiat Rasulullah

Rasulullah SAW pernah mewasiatkan sekurang-kurangnya tujuh perkara kepada Abu Zar. Semua wasiat itu dijaga dengan penuh kesungguhan, terutama pesanan untuk berkata benar meskipun pahit dan agar tidak takut celaan orang dalam berdakwah. Wasiat ini turut ditanamkan Abu Zar kepada isteri dan anak-anaknya. Walaupun menerima banyak celaan, Abu Zar dan keluarganya tetap berpegang teguh kepada agama Allah. Sayyidina Ali RA pernah berkata tentang beliau: “Tidak ada lagi pada zaman ini orang yang tidak takut terhadap celaan manusia dalam menegakkan agama Allah, selain Abu Zar.”

Begitu kuatnya Abu Zar memelihara wasiat Rasulullah sehingga apabila beliau melihat sesuatu yang tidak disetujuinya daripada penguasa pada masa itu, beliau berani melakukan muhasabah dan mengoreksinya. Semasa hidupnya, Abu Zar dikenali sebagai seorang yang sangat prihatin dan sayang terhadap golongan yang lemah. Malah ia menjadi sikap hidup dan keperibadiannya.

Suatu ketika, setelah berpindah ke Syam, beliau melihat Muawiyah RA hidup bermewah-mewahan dengan membina istana hijau (al-Khadra’). Lantas Abu Zar menegurnya dengan berkata: “Jika engkau membina istana ini menggunakan harta negara, maka engkau telah menyalahgunakan harta negara. Jika engkau membinanya dengan hartamu sendiri, maka engkau telah melakukan israf (pemborosan).” Muawiyah hanya terpesona tanpa menjawab peringatan tersebut. Walaupun nasihatnya tidak diendahkan ketika itu, Abu Zar tetap tidak berpatah arang.

3. Kesetiaan Seorang Isteri dan Anak-anak kepada Suami dan Ayahnya

Ketika kota tempat tinggalnya tidak lagi kondusif, Abu Zar memilih untuk tinggal di sebuah kawasan bernama Rabazah. Di sana, beliau membina sebuah masjid. Ummu Zar sebagai isteri tidak sanggup tinggal berjauhan daripada suaminya. Beliau memilih untuk tetap tinggal bersama di bawah satu bumbung dengan suaminya, apa pun yang berlaku.

Pengorbanan dan kesetiaan Ummu Zar kepada suaminya telah teruji. Beliau sentiasa mendampingi suaminya dalam keadaan susah mahupun senang. Dengan ikhlas beliau merawat dan menemani sang suami hingga ajal menjemput. Ummu Zar juga ikhlas tinggal di padang pasir yang liar, hanya ditemani anak perempuannya, padahal usianya sudah lanjut. Mereka hidup tanpa harta berharga, malah kain kafan untuk jenazah suaminya pun tidak dimilikinya.

Sesungguhnya, kita wajar meneladani kesetiaan, ketabahan, dan ketegaran Ummu Zar. Walaupun banyak rintangan kehidupan dan tubuhnya lemah kerana sudah tua, beliau terus melayani dan merawat suaminya tanpa keluhan atau rasa lelah. Ummu Zar memilih untuk menjadi seorang wanita yang menepati janji, memurnikan dirinya dengan keimanan, setia, dan istiqamah mendampingi seorang mujahid pilihan hingga ke akhir hayatnya.

4. Keluarga yang Hidup Sederhana

Kejayaan Abu Zar dalam membawa kaumnya, Bani Ghifar, beramai-ramai memeluk Islam tidak pernah menjadikannya seorang yang sombong. Sebaliknya, beliau tetap hidup dalam kesederhanaan. Abu Zar al-Ghifari menjadi teladan bagi kita agar tidak berbangga diri dengan apa sahaja yang telah kita usahakan. Malah, kita seharusnya terus tunduk dan bersujud kepada Allah SWT.

Kesederhanaan Abu Zar jelas terlihat ketika suatu hari seorang lelaki memasuki rumahnya. Lelaki itu bertanya, “Di mana barang-barangmu?” Lalu Abu Zar menjawab, “Aku telah mengirimnya ke akhirat.” Lelaki itu bertanya lagi, “Tetapi bukankah engkau memerlukannya?” Abu Zar menjawab, “Benar, tetapi Allah tidak mengizinkan kita tinggal di dunia ini selama-lamanya.”

Jawapan Abu Zar al-Ghifari ini juga menjadi teladan. Kita tidak boleh terlena dengan kemewahan dunia yang fana ini. Cinta dunia (hubbud dunya) hanya akan menyebabkan kita sengsara. Na‘uzubillāhi min zālik.

Khatimah

Demikianlah sekelumit kisah kehidupan mulia keluarga sahabat Rasulullah SAW, Abu Zar al-Ghifari, sebuah keluarga istimewa yang teguh berpegang pada kebenaran dan menjaga wasiat Rasulullah. Sebuah keluarga yang saling setia dan saling menyayangi, penuh pengorbanan serta kesabaran. Selayaknya keluarga Muslim pada hari ini belajar daripada kehidupan salah seorang sahabat Rasulullah SAW ini.

Benarlah sabda Rasulullah bahawa para sahabat Baginda bagaikan bintang-bintang di langit yang akan menerangi gerak langkah kita dalam menyusuri jalan kebenaran. Dengan mencontohi mereka, kita akan sentiasa berada di atas jalan petunjuk. InsyaAllah.
Wallāhu a‘lam bis-sawāb.

#AbuDzar #SahabatNabi
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version