[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga ala Nabi SAW]
Siri 2 – Mengabaikan dan Membiarkan
Ada juga keadaan di mana Rasulullah SAW mengabaikan masalah rumah tangganya. Masalah rumah tangga tidak boleh diselesaikan dengan cara permusuhan. Jadi, perdebatan tidak akan mendatangkan faedah. Ada situasi yang tidak memerlukan perbincangan atau justifikasi. Contohnya Rasulullah sendiri berlalu pergi meninggalkan rumahnya dalam keadaan isteri-isterinya saling bertengkar.
Cara Rasulullah ini diriwayatkan daripada Anas, katanya, “Nabi SAW memiliki sembilan orang isteri. Baginda membahagikan peruntukan giliran mereka dan tidak kembali kepada isteri pertama kecuali setelah sembilan hari. Kerana itu, para isterinya memilih untuk berkumpul setiap malam di salah satu rumah yang mendapat peruntukan tersebut. Suatu hari Rasulullah berada di rumah Aisyah, kemudian Zainab datang ke situ. Ketika itu, tidak ada lampu di sana. Pada waktu yang sama, Nabi SAW menghulurkan tangannya kepada Aisyah. Aisyah bergumam, ‘Di sini ada Zainab.'”
Baginda terus menarik kembali tangannya. Sementara itu, Aisyah dan Zainab saling melontarkan kata-kata kasar dan akhirnya berseteru hingga tiba waktu solat. Ketika itu Abu Bakar melalui tempat tersebut dan mendengar suara Aisyah dan Zainab. Abu Bakar berkata, ‘Rasulullah, keluarlah untuk solat dan masukkan tanah ke mulut keduanya.’
Nabi SAW pun keluar, lalu Aisyah berkata, “Sekarang Nabi pergi untuk melaksanakan solat, dan Abu Bakar pasti akan mendatangiku dan memarahiku.”
Setelah Rasulullah selesai menunaikan solat, Abu Bakar mendatangi Aisyah dan mengherdiknya, “Apakah engkau yang menyebabkan hal ini?”[1]
Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi SAW tidak mengubah situasi tersebut dengan marah, melainkan dengan mengabaikannya dan memilih untuk keluar dari rumah. Pada kesempatan ini, Abu Bakar juga turut menyelesaikan masalah tersebut dengan baik, iaitu dengan memarahi Aisyah atas sikapnya.
Sikap Nabi SAW yang mengabaikan situasi yang berlaku antara isteri-isterinya menunjukkan bahawa hal tersebut tidak memerlukannya untuk marah atau menegur sikap para isterinya.
[1] Sahih Muslim, Kitab ar-Radhā’, no. 1462.
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat