[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 4 – Menasihati dan Mengingatkan (Tadzkīr)
Rasulullah SAW juga menasihati dan mengingatkan (tadzkīr). Cara ini digunakan saat isteri tidak mampu melaksanakan hak-hak Allah dengan baik atau hak-hak suami yang telah diwajibkan Allah atas dirinya.
Hak Allah yang mesti ditunaikan adalah melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Allah memerintahkan seorang Muslim untuk menjaga keluarganya daripada api neraka, termasuk di sini isteri, sebab isteri adalah tanggung jawab suami. Melindungi mereka daripada neraka dilakukan dengan membimbingnya agar taat kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya. Caranya adalah dengan menasihati, mengingatkan, menimbulkan kegentaran atau ancaman akibat pelanggaran syariat. Jika semua cara itu tidak berguna, suami boleh menggunakan hukuman lain yang diizinkan, misalnya dengan memulaukannya atau meninggalkannya.
Di antara nasihat Rasulullah kepada keluarganya adalah seperti yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, dia berkata, “Aku berkata kepada Nabi SAW, ‘Jauhilah Shafiyah kerana dia begini dan begitu.’” Maksud Aisyah di sini adalah bahawa Shafiyah bertubuh pendek.
Kemudian Rasulullah bersabda, “Engkau telah mengucapkan kalimat yang jika kau campurkan dengan air laut, nescaya air yang jernih itu akan keruh seluruhnya!”
Aisyah mengucapkan kalimat itu tanpa mengira bahawa ucapannya berpengaruh besar terhadap timbangan amalnya di sisi Allah. Kerana itu, Rasulullah menasihati, mengingatkan, serta menimbulkan rasa takutnya dengan akibat daripada ucapannya itu.
Dalam sabda ini terkandung ancaman berat bagi orang yang berani mengucapkan kalimat yang bertentangan dengan manhaj Allah, dan dia tidak sedar akibatnya atau tidak berfikir bahawa hal itu akan dipertanggungjawabkan.
Oleh itu, seorang isteri Muslimah dituntut untuk mengambil pelajaran daripada bimbingan nabawi ini, dan hendaklah menjaga lisannya kerana ia akan dimintai pertanggungjawapan atas apa yang dia ucapkan.
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

