[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 6 – Sabar, Teliti, dan Penuh Pertimbangan
Matang Sebelum Memutuskan Hukuman
Rasulullah juga bersikap sabar, meneliti masalah utamanya terlebih dahulu sebelum memutuskan hukuman dalam menyelesaikan masalah rumah tangganya. Jika cara ini sangat efektif untuk setiap keluarga praktikkan dalam menghadapi permasalahan dalam rumah tangga, sudah tentu ia juga lebih bermanfaat dan sangat urgent untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berpotensi besar merosakkan rumah tangga.
Cara baginda ini tampak dalam peristiwa Hadis al-Ifki. Apa yang baginda lakukan adalah tetap bersabar dan menenangkan diri hingga turun wahyu yang menyelesaikan masalah itu seterusnya membebaskan Ummul Mukminin Aisyah daripada tuduhan.
Peristiwa hebat pernah menimpa keluarga mulia Nabi SAW apabila Aisyah RA difitnah hebat saat mereka bersama-sama dalam rombongan angkatan perang, dimana Aisyah RA telah mendapat undian untuk mengikut Nabi SAW. Aisyah RA diusung diatas tandu dan ditempatkan di dalamnya sepanjang perjalanan. Setelah selesai perang, pasukan perang Nabi SAW diarah untuk berangkat pulang. Pada saat itu, Aisyah RA tersedar akan rantai lehernya yang diperbuat dari Mutiara Zifar terputus dan hilang. Aisyah RA mencarinya sehingga dirinya tertinggal di belakang. Petugas yang mengusung tandu Aisyah RA tidak sedar akan ketiadaan Aisyah RA dan menyangka beliau berada di dalam tandu.
Dalam masa yang sama, Shafwan bin al-Mu’atthal juga tertinggal dan mereka pulang kembali ke Madinah bersama-sama (Aisyah RA menunggang unta yang dituntun Shafwan).
Peristiwa ini kemudiannya mencetuskan fitnah yang disebarkan oleh Abdullah bin Ubay bin Salul. Fitnah tersebut berlarutan sehingga menyebabkan Aisyah RA jatuh sakit selama sebulan.
Saat menghadapi fitnah itu, Rasulullah SAW tidak terus percaya. Namun, baginda juga tidak melayan Aisyah RA seperti kebiasaan. Rasulullah SAW menantikan wahyu dari Allah SWT bagi menjawab fitnah ini. Sebulan telah berlalu, namun wahyu masih belum turun.
Rasulullah SAW mengucapkan syahadat pada waktu duduk kemudian bersabda, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku pelbagai tuduhan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah pasti akan membersihkan dirimu dari tuduhan-tuduhan itu. Tetapi jika engkau memang telah melakukan dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sebab, bila seorang hamba mengakui dosanya kemudian bertaubat, tentu Allah akan menerima taubatnya.”
Inilah kata-kata baginda SAW kepada Aisyah RA. Sehinggalah wahyu Allah SWT turun kepada baginda mengatakan bahawa Aisyah RA adalah suci, iaitu Surah An-Nur ayat 11 hingga 20.
Peristiwa ini telah menunjukkan bagaimana sikap Nabi SAW dalam menghadapi situasi sukar yang menimpa keluarganya dengan fitnah ke atas isterinya Aisyah RA. Baginda tetap bersabar tanpa bertindak melulu dengan menantikan wahyu daripada Allah SWT sebelum baginda menghukum Aisyah RA.
Wajarlah kisah ini dijadikan pengajaran oleh pasangan suami isteri Muslim dalam berhadapan masalah dalam rumah tangga. Sabar dan selidik terlebih dahulu permasalahan sebelum menjatuhkan hukuman terhadap pasangan.
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW] Sabar, Teliti, dan Penuh Pertimbanga

