Site icon MuslimahHTM News

Ketika Belum Dikurniakan Zuriat dalam Kehidupan Perkahwinan

Ketika Belum Dikurniakan Zuriat dalam Kehidupan Perkahwinan

Penulis: Ummu Nashir N.S.

Tidak semua pasangan suami isteri terus dikurniakan zuriat setelah berkahwin. Kadang kala setahun atau dua tahun berlalu, namun Allah SWT masih belum mengurniakan anak kepada keluarga kita, malah ada yang menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya. Ramai yang menyangka bahawa memiliki anak adalah perkara yang mudah. Seolah-olah setiap pasangan yang telah berkahwin pasti akan mempunyai anak.

Namun hakikatnya, ramai pasangan suami isteri yang terpaksa berusaha bersungguh-sungguh demi mendapatkan zuriat. Wajar kemudian muncul perasaan kecewa dan sedih yang mendalam. Pelbagai usaha telah dilakukan, tetapi “sosok malaikat kecil” yang dinantikan masih belum juga hadir.

Kehadiran Anak Adalah Rezeki daripada Allah SWT

Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Maha Adil, Maha Mengetahui, Maha Pemberi Rezeki, dan Maha Bijaksana. Dia yang berkuasa menganugerahkan anak kepada setiap pasangan suami isteri atau sebaliknya, tidak memberikan anak kepada pasangan lain. Allah SWT berfirman,

لِلّٰهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۗ يَخْلُقُ مَا يَشَاۤءُ ۗيَهَبُ لِمَنْ يَّشَاۤءُ اِنَاثًا وَّيَهَبُ لِمَنْ يَّشَاۤءُ الذُّكُوْرَ ۙ
اَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَّاِنَاثًا ۚوَيَجْعَلُ مَنْ يَّشَاۤءُ عَقِيْمًا ۗاِنَّهٗ عَلِيْمٌ قَدِيْرٌ
“Bagi Allah SWT jugalah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi, Ia Menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan Perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakinNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahu, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Asy-Syura (42):49-50].

Ayat ini memberikan penjelasan yang sangat jelas bahawa keberadaan atau kehadiran anak dalam sesebuah keluarga adalah kehendak atau ketetapan Allah SWT. Manusia wajib terus berusaha dan berikhtiar sedaya upaya. Namun begitu, perkara ini tetap menjadi rahsia bagi manusia.

Kita hendaklah sentiasa bersangka baik terhadap takdir Allah SWT. Yakinlah, bahawa setiap sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pasti mempunyai banyak hikmah, walaupun kita tidak menyedarinya. Setiap manusia telah dituliskan tentang nasibnya di Lauh Mahfuz. Begitu juga rezeki yang telah ditetapkan, manusia tidak akan meninggal dunia sebelum jatah rezeki yang Allah SWT tetapkan baginya habis. Oleh itu, apabila Allah SWT belum menganugerahkan anak kepada kita, janganlah berkecil hati. Masih banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk memperoleh pahala, sambil sentiasa terus berharap kepada Allah SWT agar memberikan anugerahNya untuk kita.

Saat Buah Hati Tidak Kunjung Tiba

Ramai pasangan suami isteri yang telah bertahun-tahun mengharungi kehidupan berumah tangga, tetapi masih belum juga dikurnikan cahaya mata. Sudah tentu ini bukanlah pengakhiran segalanya sehingga membuatkan kita tidak mampu unntuk melakukan aktiviti apa pun. Kita tidak menafikan bahawa naluri melestarikan keturunan (gharizatun na’u) ingin dipenuhi. Hal ini merupakan fitrah manusia. Namun begitu, kehidupan mesti diteruskan dan kita harus mengisi dengan sebaik-baiknya. Jadi, apakah yang boleh kita dilakukan?

1. Selalu bersandar dan berhusnuzon kepada Allah SWT.

Apa jua yang menimpa rumah tangga kita, sudah tentu bukan suatu perkara yang ringan dan mudah untuk dihadapi dan dilalui. Ia memerlukan kekuatan hati dan tawakal kepada Allah SWT. Terimalah segala yang berlaku ini sebagai ketetapan Allah SWT, serta cubaan dan ujian bagi kita dan keluarga. Walaupun terasa berat, yakinlah bahawa apa pun yang menimpa, dengan izin Allah SWT, kita dan pasangan akan mampu menanggungnya. Hal ini  sebagaimana janji Allah SWT

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا ۗ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ
“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”.[TMQ Al-Baqarah(2): 286].

Hanya kepada Allah SWT tempat kita bergantung dan bersandar atas segala yang terjadi. Kita hendaklah ikhlas menerima ketentuanNya dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT, Ar-Razzaq, Yang Maha Pemberi rezeki. Segala yang telah Allah SWT takdirkan untuk kita dan keluarga pastilah yang terbaik. Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia juga Maha Bijaksana dan Maha Adil.

2. Meyakininya sebagai ujian daripada Allah SWT.

Setiap insan tidak akan lepas daripada ujian Allah SWT, termasuklah pasangan suami isteri yang masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama melayari bahtera rumah tangga. Sesungguhnya, ujian ini merupakan salah satu bentuk kasih sayang Allah SWT agar kita semakin dekat denganNya. Allah SWT menghendaki agar kita menjadi lebih kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Allah SWT berfirman, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [TMQ Al-Baqarah (2):155].

Kebanyakan orang menyangka bahawa ujian hanya datang dalam bentuk kesulitan semata-mata. Namun, limpahan nikmat juga merupakan ujian yang diberikan Allah SWT. Ramai yang mampu bersabar ketika mendapatkan kesulitan. Namun, tidak ramai orang yang mampu melepasi ujian berupa kenikmatan dunia. Mereka lalai ketika memperoleh kesenangan hidup. Dalam Surah Al-Anbiyaa (21):35, Allah SWT berfirman,


“Tiap-tiap diri akan merasa mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai ujian dan kepada Kamilah kamu akan kembali.”

Menghadapi ujian ini, pasangan suami isteri hendaklah berusaha untuk ikhlas dan sabar agar datang pertolongan Allah SWT. Hal ini dinyatakan dalam firmanNya,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk mengahadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya, Allah SWT menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” [TMQ Al-Baqarah (2):153].

3. Teruslah berusaha dengan sepenuh daya dan usaha.

Apabila seorang mukmin menghadapi kesulitan dalam hidupnya, dia tidak seharusnya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, dia hendaklah terus berusaha sedaya upaya yang mampu dilakukan. Dia mesti menempuh pelbagai cara yang dapat menghilangkan kesulitannya, selagi ikhtiar tersebut dibolehkan syariat.

Pasangan suami isteri yang belum dikurniakan anak boleh berikhtiar dengan pelbagai cara, seperti mendapatkan konsultasi daripada doktor, pakar-pakar lain, atau individu yang berpengalaman dalam hal ini. Selain itu, mereka juga boleh mengambil ubat-ubatan, ramuan herba, serta mengamalkan pengambilan pelbagai jenis makanan yang dipercayai mampu meningkatkan kesuburan. Tidak ada salahnya memperluaskan ilmu pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif.
Bentuk usaha lainnya adalah dengan memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar. Allah SWT berfirman,

“Sehingga Aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesunggguhnya adalah Dia Maha pengampun . (Sekiranya kamu berbua demikian), nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat atas kalian, dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” [TMQ Nuh (71):10-12].

4. Pasangan suami isteri tidak saling menyalahkan.

Setiap manusia secara fitrahnya memiliki naluri, dan salah satunya adalah naluri melestarikan keturunan. Oleh itu, setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan zuriat. Itulah sebabnya anak menjadi dambaan setiap keluarga. Anak bagaikan permata dalam kehidupan mereka. Penyejuk mata ketika keletihan menyapa dan menjadi tempat berteduh ketika usia senja mulai tiba.
Maka, adalah wajar apabila setelah sekian lama bernikah tetapi masih belum dikurniakan anak, pasangan suami isteri berasa risau dan gelisah. Dalam keadaan ini, seringkali isteri yang disudutkan oleh banyak pihak sehingga dia merasakan beban yang sangat berat. Oleh sebab itu, suami mestilah sentiasa bersedia berada disisi isteri, membela, dan menyokong. Sudah seharusnya pasangan suami isteri tetap rukun dan tidak saling menyalahkan. Dengan demikian, walaupun Allah SWT belum mengurniakan anak, rumah tangga tetap sakinah, mawadah, wa rahmah. Dengan sikap seperti ini, diharapkan pasangan suami isteri dapat saling menguatkan di tengah badai ujian Allah SWT.

5. Beraktiviti bersama dengan pasangan.

Melakukan aktiviti bersama pasangan dapat mengeratkan lagi hubungan dan memperkukuhkan komunikasi. Justeru, keharmonian pasangan suami isteri akan meningkat. Hujung minggu juga boleh dijadikan masa yang menyeronokkan bagi pasangan suami isteri untuk beraktiviti bersama. Hal ini dapat membangkitkan semangat baharu dan dapat mengalihkan seketika fikiran kepada pemikiran yang lebih positif. Jika kebiasaannya isteri berkebun atau merawat tanaman seorang diri, ketika suami mempunyai masa lapang, boleh diajak untuk turut serta berkebun bersama.

Mengajak pasangan untuk membersihkan rumah bersama. Kita juga boleh mengemas timbunan surat atau album gambar-gambar lama. Ketika melakukannya, kita dapat mengimbau kembali perbagai kenangan manis yang telah dilalui bersama selama ini. Mungkin ketika itu kita menemui gambar-gambar pernikahan atau kad-kad ucapan daripada pasangan pada hari-hari istimewa. Selain itu, pasangan suami isteri boleh juga menghadiri majlis ilmu bersama. Bukan sahaja pemahaman dan pengetahuan Islam kita semakin bertambah, malah pada masa yang sama pasangan suami isteri ini dapat saling menguatkan antara satu sama lain.

Kita sememangnya perlu terus berusaha mewujudkan suasana yang menyokong terbentuknya hubungan pasangan suami isteri yang sihat. Masa yang berkualiti dan komunikasi yang berterusan di antara pasangan suami isteri menjadi syarat utama bagi mencapai  hubungan yang sihat. Sikap saling menghormati dan menjaga adab pada pasangan juga tidak boleh diabaikan.

6. Sentiasa berdoa dan bersabar.

Seorang muslim tidak sepatutnya hanya bergantung kepada sebab dan usaha dalam merealisasikan harapan. Hal ini kerana, Allah SWT adalah penentu segalanya, Pencipta seluruh alam semesta. Sentiasalah berdoa dan sentiasa berserah diri kepada Allah SWT agar Dia memberikan anugerahNya berupa zuriat yang mampu menyejukkan mata dan hati kita. Sebagaimana Nabi Zakaria AS yang telah lanjut usia tetapi masih belum dikurnikan keturunan, namun baginda tetap berdoa,

“Baginda merayu dengan berkata, ‘Wahai Tuhanku!, Sesungguhnya telah lemah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku. Dan aku- wahai Tuhanku, tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. Dan sesungguhnya, aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula Adalah seorang yang mandul; oleh itu kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai.” [TMQ Maryam (19): 4-6].

Apabila kita sudah berdoa dengan bersungguh-sungguh tetapi Allah SWT masih belum berkenan memakbulkannya, maka langkah seterusnya adalah dengan bersabar atas ketetapan Allah SWT. Yakinlah bahwa Allah SWT telah menetapkan yang terbaik untuk kita.

Justeru, kita hendaklah sentiasa bersandar kepada Allah SWT, ikhlas, berdoa, dan bersabar atas segala kehendakNya. Semoga kita mampu bertawakal kepada Allah SWT dan semoga Allah SWT berkenan menganugerahkan kepada kita kesabaran dan rasa syukur. Dengan cara ini, kita mampu menjadi orang yang bersyukur jika dikurniakan anak kelak. Walaupun akhirnya masih sukar memperoleh zuriat, kita tetap bersabar dan tetap berhusnuzan kepada Al-Khaliq Ar-Razzaq, Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi rezeki. Yakinlah bahwa Allah sentiasa memberikan yang terbaik.

Wallahu’alam bissawab.

#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah #RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version