Ibu Bapa Hendaklah Sepakat dalam Corak Pendidikan Anak
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Setiap ibu bapa sentiasa menginginkan hal yang terbaik untuk anak-anaknya. Oleh kerana itu, ia tidak mudah dilaksanakan. Kadang kala, ibu bapa berbeza pendapat. Ada juga seorang suami yang menyerahkan sepenuhnya pengasuhan dan pendidikan anak-anak kepada isteri, sedangkan isteri memerlukan bantuan untuk membuat keputusan bersama.
Wahai ibu bapa, perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa, dan kadang kala tidak dapat dielakkan. Malahan, masa yang sesuai untuk anak mula masuk sekolah, sering menjadi topik perbincangan menarik yang membawa kepada perbezaan pendapat antara ibu bapa. Apabila ini berlaku, kedua-duanya mesti segera membuat keputusan bersama. Pertimbangan baik dan buruknya akan memberi kesan bagi anak-anak kelak. Dengan cara ini, mereka tidak akan menjadi mangsa cita-cita ibu bapanya.
Islam mengajarkan, Al Ummu Madrasatul Ula, ibu adalah sekolah pertama dan utama bagi anak-anaknya. Ibu bertanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Ibu memainkan peranan penting dalam menanamkan asas pemahaman Islam kepada anak-anaknya. Dengan demikian, mereka faham asal usul, tujuan hidup di dunia, dan tujuan akhirnya selepas kehidupan dunia. Anak-anak akan meletakkan ketaatan kepada Allah di atas segalanya. Mereka akan sentiasa menjauhi laranganNya, serta memahami dan patuh kepada syariatNya. Dengan itu, mereka faham sikap seorang Muslim yang seharusnya.
Seiring dengan proses anak-anak menuju dewasa, ibu bapa pasti berharap mereka berintegriti tinggi sebagai seorang Muslim sejati. Dengan penanaman akidah dan syariat Islam yang lurus, anak-anak akan tegas dalam menolak yang batil dan membela yang hak. Mereka akan mengambil yang halal dan menolak yang diharamkan Allah SWT, berlapang dada untuk terus mempelajari syariat dan tsaqafah Islam, serta menerapkannya dalam kehidupan.
Persamaan Corak Pendidikan Anak, amat Penting!
Wahai ibu bapa, mengasuh dan mendidik anak-anak bukanlah perkara yang mudah, tetapi bukan juga tidak boleh dilakukan. Ia memerlukan kesungguhan ibu dan bapa dalam melaksanakannya. Sentiasalah iringi dengan doa-doa khusyuk agar kita dikuatkan dan dipermudahkanNya. Mengasuh dan mendidik anak bersama, malah disokong oleh keluarga besar, sudah tentu akan lebih mudah. Persamaan corak pendidikan anak merupakan perkara penting dalam proses pembentukan keperibadian anak, terutamanya yang berkaitan dengan perkara-perkara asas atau prinsip hidup.
Namun hakikatnya, ibu bapa yang berbeza pemahaman tentang sesuatu, kerap kali memberi kesan kepada corak pengasuhan anak. Jika berkaitan dengan perkara prinsip, ibu bapa hendaklah menyelesaikannya terlebih dahulu mengikut tuntutan syarak. Jika permasalahan cabang atau perkara mubah, ia tetap harus dibincangkan dengan baik. Sebaik-baiknya, saling mengalah dan tidak mengutamakan ego, kerana anak-anak yang akan menjadi mangsa.
Wahai ibu bapa, apabila kalian tidak mempunyai persamaan terhadap sesuatu perkara, ini akan disedari oleh anak-anak. Mereka akan keliru untuk menentukan siapa yang harus diikuti. Jika perkara ini berterusan, ia akan berbahaya kepada anak. Mereka seolah-olah kehilangan pegangan kepercayaan kerana ibu bapa tidak tetap, sering berubah, dan tidak mempunyai panduan yang tetap. Malah, mereka boleh menjadi peribadi yang bersifat oportunis. Naudzubillahi min dzalik.
Sebagai contoh, ibu bapa memilih sekolah untuk anak mereka yang baru sahaja tamat sekolah rendah. Si bapa mahu anaknya bersekolah di sekolah berasrama agar lebih berdikari. Sebaliknya, si ibu tidak tenteram jika anak jauh darinya. Sudah tentu ini bukan keputusan yang mudah. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membincangkan bersama anak agar dapat membuat keputusan yang terbaik bagi anak. Contoh lain, bapa memarahi anak kerana suatu kesalahan, tetapi dibela oleh ibunya, atau sebaliknya. Situasi seperti ini akan melunturkan kewibawaan bapa di mata anak dan anak akan menjadi “besar kepala”. Hal ini mesti dielakkan oleh para ibu bapa.
Oleh sebab itu, penting bagi ibu bapa memiliki persamaan corak pendidikan dan pengasuhan anak. Apatah lagi jika ahli keluarga lain, contohnya datuk dan nenek, turut terlibat dalam corak pengasuhan dan pendidikan anak kerana ibu dan bapa bekerja. Apakah yang perlu diusahakan oleh ibu bapa agar proses ini berjalan lancar?
Menyamakan Corak Pendidikan Anak
Sudah seharusnya proses pengasuhan dan pendidikan anak menjadi projek bersama bagi ibu bapa. Kedua-duanya bertanggungjawab dan memainkan peranan besar dalam mengasuh dan mendidik anak. Ibu bapa, terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan untuk meminimumkan perbezaan corak pendidikan dan pengasuhan anak. Ini akan memberi kebaikan kepada anak-anak dan keluarga secara keseluruhan.
- Hukum Syarak, Pegangan Utama Asuhan dan Pendidikan Anak.
Setiap keluarga Muslim mesti menjadikan Islam dan syariatNya sebagai panduan dan penyelesaian bagi semua permasalahan dalam kehidupan berkeluarga. Hukum syarak datang dari Allah SWT, bersifat tetap dan sesuai dengan fitrah manusia serta memuaskan akal sehingga membawa kepada ketenteraman. Oleh sebab itu, apabila syariat Islam dijadikan rujukan keluarga, ia memiliki panduan jelas dan tegas dalam menilai segala sesuatu.
Hal ini akan memudahkan ibu bapa dalam proses pengasuhan dan pendidikan anak, terutamanya berkaitan perkara-perkara prinsip dan asas. Seterusnya akan terbentuk peribadi Muslim yang teguh pada anak-anak sehingga mereka tidak mudah terpengaruh oleh pemikiran dan tingkah laku yang rosak dan merosakkan. Di sinilah pentingnya ibu bapa menguatkan pemahaman Islam kepada seluruh ahli keluarga.
- Konsisten dan Memberikan Teladan.
Ketika berlaku ketidakselarasan pada ibu bapa, biasanya anak akan cuba mencari jalan yang paling menguntungkan bagi mereka. Contohnya, jika ibu menegur dengan tegas, manakala si bapa melindungi, maka anak akan “lari” kepada bapanya. Sebaliknya, jika bapa menghukum perlakuan buruk anak, tetapi ibu tidak sampai hati dan diam-diam membelanya, maka anak akan mencari perlindungan pada si ibu. Dengan itu, anak tidak mempelajari nilai-nilai tertentu, tetapi belajar untuk melarikan diri dan mencari tempat yang selamat.
Ibu bapa yang tidak konsisten sebenarnya akan merosakkan segalanya. Ibarat kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apabila ibu bapa memberi sedikit kelonggaran, teladan yang sudah dibina akan musnah sehingga perlu bermula dari awal semula. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah sentiasa konsisten dalam mengasuh dan mendidik anak-anak, serta memberikan teladan walaupun dalam perkara kecil.
Kebiasaan perilaku ibu bapa yang disaksikan dan dialami oleh seorang anak, sama ada secara langsung atau tidak langsung, akan terakam dalam fikiran mereka. Malah, sangat mungkin anak-anak akan mengikut dan meniru. Oleh sebab itu, ibu bapa mesti memberikan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Ini akan lebih memudahkan tercapainya tujuan pengasuhan dan pendidikan anak-anak.
- Komunikasi yang Baik dan Sepakat di Hadapan Anak
Dalam sebuah pasukan kerja, kesepakatan tidak selalu mudah dicapai. Demikian juga dalam pasukan ibu bapa dalam pengasuhan anak. Pengalaman diasuh pada zaman kanak-kanak akan menjadi model yang akan dipraktikkan ketika seseorang itu menjadi ibu bapa. Lakukan beberapa langkah penambahbaikkan agar perbezaan-perbezaan tersebut tidak merugikan pengasuhan anak-anak. Komunikasi dan kerjasama ibu bapa yang baik menjadi penentu dan hendaklah terus diusahakan agar anak tidak keliru. Duduklah dan berbincang bersama mengenai cara mengasuh anak.
Wahai ibu bapa, perbezaan pendapat boleh disamakan. Jika ibu bapa berpendapat semata-mata untuk kepentingan anak, sudah tentu menyamakan dan mengubah pendapat akan lebih mudah dilakukan. Sekiranya terdapat perbezaan yang sukar disamakan, rendahkan hati untuk mempercayai pandangan pasangan, lalu putuskan bersama untuk diterapkan dalam pengasuhan anak. Hal ini penting kerana di hadapan anak, ibu bapa mesti memiliki prinsip yang sama.
- Sentiasa Melibatkan Anak Dalam Membuat Keputusan
Jangan lupa bahawa anak-anak yang akan menjalani kehidupannya. Oleh sebab itu, ibu bapa wajib membimbing dan membina mereka agar berjalan di jalan yang lurus. Ibu bapa mesti melibatkan anak-anak dalam proses ini. Jangan sampai mereka merasa terpaksa menjalani sesuatu aktiviti, hanya kerana tidak mahu menyakiti hati ibu dan bapanya. Oleh itu, melibatkan anak-anak dalam membuat keputusan terhadap apa sahaja yang akan mereka jalani kelak merupakan perkara yang baik untuk dilakukan.
Kelak, anak-anak akan menjadi pembuat keputusan yang berdikari. Oleh sebab itu, apabila anak-anak sudah boleh diajak berkomunikasi, mengapa tidak melibatkan mereka dalam pelbagai rancangan yang ibu bapa sediakan? Ajak anak-anak berbincang mengikut tahap usia mereka. Bagi mereka peluang memberi komitmen. Dengan demikian, anak dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis, serta bertanggungjawab terhadap pilihan mereka.
Khatimah
Ibu bapa, menyelaraskan corak pengasuhan dan pendidikan anak memang bukan perkara mudah. Namun, tidak salah untuk menerima sedikit perbezaan, kerana mustahil pasangan akan mempunyai pandangan yang sama persis dalam corak pendidikan dan pengasuhan anak. Perkara ini seharusnya tidak menghalang proses pengasuhna dan pendidikan yang baik untuk anak-anak. Apabila ibu bapa konsisten menerapkan syariat Islam sebagai landasan dalam mengarahkan proses tumbesaran anak, maka perbezaan yang ada akan dapat diatasi.
Lebih-lebih lagi jika terjalin komunikasi yang baik, perbincangan, kerjasama, dan sikap saling mengalah demi kebaikan anak-anak, ibu bapa akan mampu menyatukan corak asuhan yang berbeza. Akhirnya, perbezaan akan menjadi sesuatu yang produktif bagi proses pengasuhan dan pendidikan anak-anak. Dengan demikian, mereka benar-benar akan menjadi anak-anak yang bersedia untuk mengharungi kehidupan sambil tetap menghargai kedua-dua orang tua mereka. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#PendidikanAnak