Site icon MuslimahHTM News

Kisah antara Umar bin Khattab RA dan para Pembesar Quraisy

[Kisah Inspirasi] Kisah antara Umar bin Khattab RA dan para Pembesar Quraisy

Pada suatu hari, beberapa orang pembesar Quraisy datang ke rumah Umar bin Khattab RA. Antaranya ialah Suhail bin Amr, Harith bin Hisham, Sufyan bin Harb, dan beberapa orang dari kalangan pembesar Quraisy yang lain. Pada masa yang sama, Shuhaib dan Bilal serta beberapa orang mawali turut datang. Mereka adalah mantan hamba yang telah dibebaskan dan telah ikut berperang dalam Perang Badar. Kemudian, Umar membenarkan Shuhaib, Bilal, dan beberapa orang mawali tersebut masuk. Sementara itu, dia tidak membenarkan pegawai Quraisy masuk. Menyaksikan hal ini, Abu Sufyan berkata, “Aku tidak pernah menemui keadaan seperti ini sebelum ini. Umar membenarkan mantan hamba masuk. Sebaliknya, dia langsung tidak menghiraukan kami.”

Suhail bin Amr, yang dikenali sebagai seorang yang rasional, berkata, “Wahai orang Quraisy, aku melihat di wajah kamu tanda-tanda ketidakpuasan hati atas kejadian ini. Jika kamu semua marah, marahlah kepada diri sendiri. Ini kerana mereka diajak untuk memeluk Islam, begitu juga dengan kamu, tetapi mereka bersegera memeluk Islam, sedangkan kamu lambat untuk menerimanya. Bagaimana jika mereka dipanggil pada Hari Kiamat, sedangkan kamu semua  ditinggalkan? Demi Allah, keutamaan yang telah mereka raih mengatasi kamu semua.

Malah, ia jauh lebih tinggi daripada sekadar penghormatan di pintu yang telah kamu hadapi masalah dengannya.” Dia segera membetulkan pakaiannya, lalu pergi.
Al-Hasan berkata mengenai peristiwa tersebut, “Maha Suci Allah dan apa yang dikatakan oleh Suhail. Allah tidak akan menyamakan kedudukan antara hambaNya yang segera menyahut panggilan dakwahNya dengan hamba-hamba yang lambat menerima untuk mentaatiNya.”

[Ibn al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh yang Penuh Hikmah]

Hikmah

Kisah ini mengajar kepada kita dua perkara penting. Pertama, kedudukan semua manusia di sisi Allah SWT, bergantung pada tahap ketaatannya. Manusia yang baik dan buruk jelas berbeza. Allah SWT berfirman,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. “ [TMQ al-Maidah (5): 100].

Malah, Allah SWT memuji orang-orang mukmin yang tidak meragui kebenaran iman mereka, “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” [TMQ al-Hujurat (49): 15].

Kedua, bersegeralah menerima seruan Allah SWT untuk taat dan melaksanakan kewajipan kita sebagai hambaNya. Ini sebagaimana firman Allah SWT, “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”[TMQ Ali Imran (3): 133].

Dalam ayat lain dinyatakan, ” Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat” [TMQ an-Nûr (24): 51-52].

Itulah layanan baik Umar terhadap mantan hambanya yang segera menyahut seruan Allah SWT dan berdakwah bersama Rasulullah SAW. Layanan yang sangat berbeza bagi pembesar Quraisy yang terlambat menyahut seruan Allah SWT. Ini bermakna, mereka yang segera taat akan mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Taala. Ini kerana mereka tidak ada keraguan atau kebimbangan untuk menerima kebenaran Islam.

Inilah sikap yang mesti ada pada para aktivis dakwah. Jadilah orang pertama yang mentaati Allah dan RasulNya serta memperjuangkan agamaNya dengan keteguhan dan keyakinan yang jitu.

Sumber: muslimahnews.net

Exit mobile version