Site icon MuslimahHTM News

[NF145] Generasi Strawberi: Rapuh Tetapi Penuh Potensi

[Nahdhah Fikriyyah] NF Edisi 145 –
Generasi Strawberi: Rapuh Tetapi Penuh Potensi
 
Oleh: Nur Zuliyana Mustafa
 
Generasi muda atau generasi Z sering dilabel sebagai ‘generasi strawberi’. Gen Z (singkatan bagi Generasi Z) ialah kumpulan generasi yang lahir antara pertengahan 1990-an hingga awal 2010-an. Istilah ini diberi kerana mengikut urutan abjad generasi sebelumnya yang merupakan satu cara mudah untuk mengklasifikasikan kumpulan umur dalam kajian sosiologi dan demografi.
 
Apabila diperhatikan, generasi Z merupakan golongan yang pintar, cepat memahami pelajaran serta celik teknologi sejak kecil. Namun, pada masa yang sama, mereka juga mudah rapuh, cepat tersinggung dan sukar berhadapan dengan tekanan hidup. Begitulah keadaan buah strawberi yang indah dan menarik dari luar, tetapi lembut serta mudah rosak apabila ditekan. Persoalannya, apakah realiti sebenar generasi ini, apakah punca yang melahirkan generasi ini dan bagaimana cara terbaik mendidik mereka?
 
Realiti Sebenar Generasi Strawberi
 
Generasi strawberi kurang mahir dan agak kekok apabila berkomunikasi secara bersemuka. Hal ini kerana mereka terlalu biasa berkomunikasi melalui media sosial dan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan WeChat. Selain itu, generasi ini juga kurang menggunakan common sense serta kemahiran survival dalam menyelesaikan masalah kehidupan seharian. Ironinya, mereka perlu bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar yang menuntut ketahanan mental, kecekapan praktikal dan daya fikir yang matang tatkala mula melangkah meninggalkan alam persekolahan.
 
Jika dilihat daripada sudut kerjaya, generasi ini sering dikatakan mudah hilang minat serta memilih untuk meninggalkan pekerjaan apabila berhadapan dengan cabaran seperti beban tugas yang berat atau menerima teguran daripada majikan.
Menurut Deloitte Global Gen Z and Millennial Survey 2024, hampir 49% responden generasi Z mengakui berasa tertekan di tempat kerja sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu. Malah, lebih separuh daripada mereka sanggup berhenti kerja sekiranya organisasi tidak dapat mengutamakan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya. Hal ini berbeza dengan generasi terdahulu yang lebih tabah dan sanggup bertahan walaupun menghadapi pelbagai cabaran demi kelangsungan hidup serta kestabilan pekerjaan.
 
Faktor Penyumbang Kelemahan Generasi Strawberi
 
Generasi strawberi ini tidak wujud secara tiba-tiba, tetapi ia wujud kerana gabungan pelbagai faktor. Antaranya ialah cara didikan ibu bapa yang terlalu melindungi dan memanjakan anak. Ramai ibu bapa moden tidak mahu anak-anak merasai kesusahan yang pernah mereka lalui, lalu sentiasa berusaha memenuhi segala keinginan anak.
 
Disebabkan itu, anak tidak biasa berdepan dengan kegagalan atau mencuba menyelesaikan masalah dengan usaha sendiri. Mereka membesar dalam keadaan terlalu selesa tanpa daya tahan mental yang kuat dan rendah daya kreativiti. Misalnya, berapa ramai para ibu bersengkang mata menyiapkan projek buku skrap anak masing-masing.
 
Selain itu, teknologi yang serba canggih turut menjadi penyumbang. Telefon pintar, internet dan aplikasi segera menjadikan generasi muda terbiasa dengan jawapan cepat, hiburan pantas dan komunikasi segera. Walaupun teknologi membawa banyak kemudahan, namun ia juga melahirkan sifat kurang sabar dan terlalu bergantung kepada teknologi.
 
Akibatnya, mereka sukar menyesuaikan diri apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan kesabaran atau penyelesaian jangka panjang. Bertambah resah jika tiada liputan jaringan internet. Bayangkan jika signal Waze hilang, tentunya sesat. Padahal boleh sahaja berhenti dan bertanya kepada sesiapa yang tahu.
 
Tambahan pula, hidup dalam sistem kapitalisme sering mengukur kejayaan individu dengan pencapaian material dan status sosial, menyebabkan generasi ini merasa terbeban secara emosi dan mental. Media sosial yang dikuasai nilai kapitalis, memperburuk keadaan dengan memperkenalkan budaya perbandingan dan keinginan untuk sentiasa diiktiraf dari segi penampilan dan populariti. Hal ini seterusnya menimbulkan rasa cemas dan kurang berbanding orang lain.
 
Tidak dinafikan bahawa perubahan nilai masyarakat turut menjadi punca kepada masalah komunikasi dan kurang common sense dalam kalangan generasi muda. Kehidupan moden yang semakin individualistik membuatkan mereka kurang berminat untuk terlibat dalam aktiviti kekeluargaan atau kemasyarakatan. Padahal melalui aktiviti beginilah, mereka diajar tentang adab, susila, saling menghormati dan berkasih sayang.
 
Membina Generasi Muda
 
Masalah generasi ini boleh ditangani melalui usaha pelbagai pihak. Ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan cara yang seimbang. Memang benar mereka tidak mahu anak merasai kesusahan, namun anak-anak juga tidak boleh terlalu dimanjakan. Mereka perlu diberi peluang untuk belajar daripada kesusahan dan kegagalan seawal usia bayi lagi. Ini tidak bermakna ibu bapa harus membiarkan mereka gagal tanpa bimbingan, sebaliknya ibu bapa boleh memberi panduan dan biarlah anak sendiri yang berusaha menyelesaikannya.
 
Selain itu, negara perlu menerapkan polisi pendidikan yang memastikan mereka dibekalkan dengan pelbagai kemahiran insaniah (soft skills) selain diasuh dengan pemikiran mendalam dan kritis serta kreatif. Jangan dilupakan teknik pengurusan emosi yang benar berdasarkan pandangan syarak amat diperlukan oleh anak-anak kita. Bukan hanya menumpukan pada pencapaian akademik semata-mata.
 
Generasi muda Muslim dalam sistem dan peradaban Islam wajar dijadikan contoh kerana mereka telah dibina dengan keperibadian Islam dan dibentuk menjadi individu yang bermental kuat dalam menghadapi kesulitan hidup. Setiap masalah yang dihadapi dianggap ujian dari Allah SWT bagi menguji keteguhan iman. Saidatina Aisyah binti Abu Bakar menghadapi pelbagai ujian termasuk fitnah besar. Aisyah tetap tabah memperlihatkan keberanian dalam mempertahankan maruah dirinya.
 
Tambahan pula, anak muda perlu dididik supaya memiliki sifat sabar, istiqamah dan kefahaman agama yang kukuh. Mereka harus sedar bahawa mereka bukan sahaja mempunyai tanggungjawab pada diri sendiri, tetapi juga pada masyarakat dan negara iaitu dakwah. Dakwah adalah kewajipan buat semua umat Islam yang mukallaf termasuklah anak muda.
 
Aktiviti dakwah bukanlah tugas yang mudah, malah penuh dengan cabaran dan onak duri. Jika sikap generasi ini tidak diubah, dibimbangi mereka akan cenderung memilih untuk tidak berdakwah atau berhenti berjuang apabila berdepan dengan tentangan, kritikan atau kegagalan. Hakikatnya, dakwah memerlukan kesabaran yang berpanjangan. Allah SWT berfirman,
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” [TMQ Ali-‘Imran (3): 200]
 
Ayat ini mengandungi seruan Allah SWT supaya bersungguh-sungguh dan bersabar dalam menegakkan kebenaran. Seorang mukmin dituntut memiliki kesabaran yang lebih tinggi daripada musuh-musuh Allah SWT. Walau dalam apa jua keadaan, orang beriman tetap tabah dan tidak mudah goyah.
 
Mereka harus difahamkan bahawa dakwah bukan sekadar menyampaikan mesej semata-mata, tetapi merupakan perjuangan yang menuntut ketabahan menghadapi pelbagai cabaran secara berterusan. Dakwah menuntut hati yang kental, kuat dan istiqamah kerana hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat.
 
Ketabahan dalam berdakwah dapat dicontohi daripada sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Abdullah bin Mas‘ud. Walaupun diugut dan dipukul oleh kaum Quraisy di Mekah, beliau tetap berani membaca al-Quran secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau tetap meneruskan bacaan Surah Ar-Rahman walaupun menerima pukulan yang kuat sehingga mukanya lebam dan berdarah. Ini menunjukkan kekuatan iman dan keteguhannya dalam mempertahankan kebenaran.
 
Kesimpulan
 
Kesimpulannya, generasi strawberi tidak wajar dilihat sebagai generasi yang gagal. Mereka mungkin kelihatan rapuh namun pada masa yang sama mereka juga mempunyai potensi besar jika diberikan peluang yang betul. Dengan sokongan dan usaha semua pihak, generasi ini mampu berubah menjadi golongan yang kuat, matang serta berdaya saing. Malah, jika dibimbing dengan baik, mereka berpeluang menjadi pendakwah kreatif yang tangguh menyebarkan Islam melalui medium moden dengan penuh hikmah.
Rujukan :
1. Generasi Strawberi: Mewarnai Masa Depan Dengan Inovasi Dan Keterbukaan | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
2. Deloitte’s 2024 Gen Z and Millennial Survey | Deloitte Global
4. Anda generasi strawberi atau durian? – Portal Berita
5. Generasi strawberi mengada-ngada, generasi kelapa lebih kental – Sinar Harian
6. Abdullah bin Mas’ud, from Zero to Hero – MuslimahHTM News
#generasi #generasiStrawberi #GenZ
Exit mobile version