Site icon MuslimahHTM News

Berdakwah Seperti Mughirah bin Syu’bah

Berdakwah Seperti Mughirah bin Syu’bah
 
Sebelum Perang al-Qadisiyah meletus, Rustam, panglima pasukan tentera Parsi, meminta Sa’ad bin Abi Waqqash mengutus seseorang menemuinya, iaitu salah seorang tenteranya yang bijak, bagi menjawab beberapa soalannya. Sa’ad kemudian mengutus Mughirah bin Syu’bah. Selepas bertemu, Rustam bertanya, “Kalian adalah tetangga kami. Kami selalu berlaku baik terhadap kalian serta mencegah gangguan yang mengancam keselamatan kalian. Oleh kerana itu, hendaklah kalian pulang ke wilayah kalian. Kami berjanji tidak akan menghalangi ekspedisi perdagangan kalian untuk masuk ke wilayah kami.”
 
Mughirah menjawab, “Kami tidak mencari keuntungan duniawi. Tujuan kami untuk mencari keuntungan ukhrawi semata. Allah SWT telah mengutus kepada kami seorang Rasul.” Selanjutnya Mughirah mengatakan, “Aku akan menguasai golongan yang enggan menganut agama yang ku anuti dan akan memerangi mereka. Akan tetapi, jika mereka mengakui agamaku, aku akan memberikan kemenangan kepada mereka. Agama tersebut adalah agama kebenaran. Tidak seorang pun yang membencinya, melainkan dia akan menjadi hina. Tidak seorang pun yang berpegang teguh kepadanya, melainkan dia akan menjadi mulia”
 
“Apakah agama kamu?” tanya Rustam. “Asasnya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, serta pengakuan terhadap apa yang datang daripadaNya,” jawab Mughirah. “Itu bagus. Jadi apa lagi?” tanya Rustam. “Semua manusia adalah anak dan cucu Adam. Oleh itu, mereka semua adalah saudara dan berasal dari ayah dan ibu,” kata Mughirah.
 
“Ini juga bagus. Jadi apa lagi?” Rustam bertanya, “Jika kami memeluk agamamu, adakah kamu akan meninggalkan wilayah kami?” “Sudah tentu! Kami tidak akan memasuki wilayah anda melainkan ada keperluan atau urusan perdagangan,” jawab Mughirah. “Ini juga bagus,” kata Rustam. Selepas Mughirah pergi, Rustam segera mengajak pemimpin kaumnya untuk memeluk Islam, tetapi mereka menolak.
 
[Syeikh Muhammad Sa’id Mursi, Tokoh-Tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah, Perpustakaan Al-Kautsar]
 
Hikmah
 
Dialog Mughirah dengan Rustam, panglima tentera Parsi, telah mengajar kita dua perkara. Pertama, seorang pendakwah mestilah mempunyai hujah yang kukuh ketika menerangkan tentang Islam dan hukum-hakamnya. Aktivis dakwah umpama penggerak yang memperkenalkan dan menerangkan Islam secara menyeluruh kepada masyarakat. Matlamatnya adalah agar masyarakat sekali lagi memeluk Islam sebagai pegangan dan panduan hidup, yang mesti diterapkan dalam kehidupan individu, bermasyarakat, dan bernegara. Aktivis dakwah mewakili umat Islam yang memeluk Islam sebagai cara hidup. Tingkah laku, tutur kata dan sikap mereka mestilah mencerminkan keluhuran Islam.
 
Kedua, seorang pendakwah tidak takut atau gentar dengan sesiapa sahaja yang diserunya ke jalan Islam. Mereka yang berdakwah tidak takut kepada kritikan daripada mereka yang mengkritiknya. Mereka juga teguh dalam menegakkan kebenaran Islam. Pendakwah hendaklah memahami bahawa berdakwah merupakan aktiviti mulia yang dilakukan oleh para nabi dan rasul dalam melaksanakan syiar Islam. Oleh itu, pendakwah tidak boleh mudah berputus asa atau kecewa apabila berhadapan dengan penolakan, cemuhan, malah fitnah.
 
Imam al-Ghazali pernah berkata, “Sesungguhnya melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah paksi terbesar dalam agama. Kegiatan inilah yang menjadikan Allah mengutus semua nabi. Jika umat Islam meremehkan amar makruf nahi mungkar, tidak mahu memahami dan mengamalkannya, sudah tentu nubuwwah ini akan terhenti. Kesesatan akan berleluasa, kejahilan akan menjadi perkara biasa. Yang berleluasa, negara akan musnah, dan orang akan binasa” [Al-Ghazali, Ihyâ’ Ulûmuddîn, 2/306].
 
Semoga kisah Mughirah bin Syu’bah dapat membakar semangat dan motivasi dalam berdakwah melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Walaupun berisiko, kemuliaan dan kedudukan berdakwah di hadapan Allah SWT sangat mulia. “Siapakah orang yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru ke jalan Allah, dan beramal soleh, dan berkata bahawa aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah?.” [TMQ Fussilat (41): 33].
 
 
Sumber muslimahnews.net
 
#sahabatnabi #dakwah #tokohinspirasi #dakwahtauhid #akidah #iman
Exit mobile version