Site icon MuslimahHTM News

Doa Berlindung daripada Keburukan Perkara yang Dilakukan dan yang Tidak Dilakukan

Doa Berlindung daripada Keburukan Perkara yang Dilakukan dan yang Tidak Dilakukan

 

Ada kalanya, sama ada disedari atau tidak, manusia melakukan sesuatu perbuatan yang membawa keburukan kepada dirinya sendiri, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Terdapat perkara yang kelihatan kecil atau remeh, namun sebenarnya memberi kesan yang besar iaitu boleh merugikan diri sendiri, orang lain, malah menyebabkan dosa di sisi Allah ﷻ. Tidak jarang juga manusia melakukan kesalahan kerana menurut hawa nafsu, tergesa-gesa atau terpengaruh dengan bisikan syaitan, kemudian baru rasa menyesal.

 

Namun demikian, ada juga keadaan di mana manusia tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan, dan kelalaian itu pula mendatangkan keburukan kepada dirinya. Sebagai contoh, seseorang lalai menunaikan kewajipan, mengabaikan amar makruf nahi mungkar atau menangguhkan amalan kebaikan sehingga terlepas peluang tersebut. Sikap berdiam diri dalam keadaan yang memerlukan tindakan juga boleh menjadi punca kerugian di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, keburukan bukan sahaja datang daripada perbuatan yang salah, tetapi juga daripada kebaikan yang tidak dilakukan.

 

Kerana itu, amat penting bagi seorang hamba untuk sentiasa berserah diri kepada Allah ﷻ, yang Maha Mengetahui apa yang baik dan buruk bagi manusia. Manusia terbatas pengetahuannya, sedangkan Allah ﷻ Maha Luas Ilmu-Nya. Hanya dengan memohon bimbingan dan perlindungan daripada-Nya, seseorang hamba dapat dipelihara daripada keburukan yang berpunca daripada perbuatannya sendiri, mahupun daripada keburukan yang timbul akibat meninggalkan sesuatu perbuatan.

 

Salah satu doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ untuk memohon perlindungan daripada perkara ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim daripada Aisyah RA, beliau berkata bahawa Nabi ﷺ berdoa:

 

اللَّهُمَّ إِني أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ ما عَمِلْتُ وَمِنْ شَرّ مَا لَمْ أعْمَلْ

(Allahumma inni a‘uudzu bika min syarri maa ‘amiltu wa min syarri maa lam a‘mal)

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan, dan daripada keburukan apa yang belum aku lakukan.”

 

Doa ini menjadi peringatan agar kita sentiasa berwaspada, bukan sahaja terhadap perbuatan yang kita lakukan, tetapi juga terhadap kelalaian dalam berbuat kebaikan. Semoga Allah ﷻ sentiasa memelihara kita daripada segala bentuk keburukan.

 

Sumber: Kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi

 

#doa #mohonperlindungan #doaperlindungan

Exit mobile version