Site icon MuslimahHTM News

‘Parenting’ secara Islami, Nuansa Nabawi

‘Parenting’ secara Islami, Nuansa Nabawi

 

Pada suatu hari, ketika Khalifah Umar bin al-Khattab RA memerintah, Abdullah bin Zubair sedang bermain bersama rakan-rakan sebayanya. Apabila Khalifah Umar datang, semua rakan-rakannya berlari menjauh, namun Abdullah tetap berdiri di tempatnya. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu tidak berlari seperti rakan-rakanmu?” Abdullah menjawab, “Saya tidak melakukan sebarang kesalahan, jadi mengapa saya perlu lari? Lagipun, jalan ini tidak terlalu sempit. Oleh itu, saya persilakan anda untuk lalu.” Umar RA sangat gembira mendengar jawapan Abdullah itu.

 

Abdullah bin Zubair merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang digelar Al-Abadilah. Mereka ialah Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr, dan Abdullah bin Zubair.

 

Abdullah bin Zubair turut serta dalam Perang Yarmuk. Pada zaman pemerintahan Uthman RA, dia berjaya membebaskan wilayah Afrika. Dia termasuk orang yang membela Uthman RA ketika para pemberontak mengepung rumah Uthman RA.

 

[Syeikh Muhammad Sa’id Mursi, Tokoh-Tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah, hlm.138]

 

Hikmah

 

 

Abdullah bin Zubair bukan sekadar anak kepada sahabat Rasulullah SAW, iaitu Zubair bin Awwam. Namun, salasilah keluarganya menakjubkan. Dia mempunyai ayah yang gagah berani dan menjadi salah satu daripada sepuluh sahabat yang mendapat jaminan syurga. Ibunya, iaitu Asma’ binti Abu Bakar ialah perempuan yang tabah dan menyokong hijrah Rasulullah SAW. Ibu saudaranya juga ialah Aisyah binti Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW yang juga bergelar Ummul Mukminin. Adapun datuknya, Abu Bakar as-Siddiq adalah sahabat utama Rasulullah SAW. Bukan itu sahaja, nenek ayahnya ialah Shafiyah binti Abdul Muttalib, ibu saudara Rasulullah SAW.

 

Dengan keturunan yang mulia, Abdullah dibesarkan dalam pendidikan Islam yang terbilang dengan semangat kenabian yang kuat. Tidak hairanlah walaupun ketika remaja, dia sudah begitu berani, seperti yang digambarkan dalam cerita di atas. Apakah hikmah yang boleh kita pelajari?

 

Pertama, mendidik anak-anak dengan menerapkan akidah Islam dan kefahaman agama yang mantap adalah satu kewajipan bagi setiap ibu ayah. Zubair ibn Awwam dan Asma’ binti Abu Bakar mencontohkan bahawa pendidikan yang terbaik akan melahirkan generasi yang kuat seperti Abdullah ibn Zubair.

 

Kedua, persekitaran yang baik akan memberi kesan positif kepada tumbesaran dan perkembangan anak-anak. Abdullah dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran yang menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Perhatikan bagaimana dia yakin menjawab soalan mudah Khalifah apabila anak-anak lain seusianya akan melarikan diri dari pandangan Khalifah Umar. Dia dibesarkan dalam keluarga pejuang Islam. Ketika dewasa, Abdullah mengikuti jejak ayah, ibu, ibu saudara, dan datuknya.

 

Oleh itu, adalah penting bagi ibu ayah untuk mempunyai kefahaman Islam yang betul dan menyeluruh. Tiada pendidikan yang lebih baik selain mencontohi cara Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mendidik anak-anak mereka. Tiada pendidikan yang akan melahirkan generasi yang kuat dan cerdas melainkan yang berteraskan akidah Islam.

 

Ada satu petikan yang menarik untuk kita renungkan, “Jika kamu bukan berasal daripada keluarga yang faham agama, keluarga yang faham agama mesti bermula dengan kamu.” Nasib kita memang tidak sebaik Abdullah bin Zubair yang lahir dari keturunan yang mulia. Namun, dengan mencontohi kisah-kisah dan ciri-ciri pendidikan keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat, kita dapat melahirkan generasi pejuang dan perintis tamadun Islam. Tanamkan dalam diri kita bahawa pahlawan yang tabah dan pendakwah yang berani dan taat akan lahir dari rumah kita. Wallahu a’lam.

 

Sumber: muslimahnews.net

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#parenting

Exit mobile version