Site icon MuslimahHTM News

Ibu Hebat Tidak Menjual Kesedihan, Tetapi Mendidik Peradaban

Ibu Hebat Tidak Menjual Kesedihan, Tetapi Mendidik Peradaban

 

Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)

 

Jadilah seorang ibu yang bangga dengan pencapaian anak-anaknya, bukan ibu yang gemar menjual kisah kesedihan, nasib malang dan kekurangan anak semata-mata untuk meraih perhatian serta belas kasihan orang lain. Sesungguhnya, maruah seorang ibu tidak diukur daripada sebanyak mana simpati yang diperolehnya, tetapi sejauh mana dia mampu menjaga kehormatan keluarganya di sisi Allah SWT.

 

Pada masa kini, ramai yang tersalah tafsir tentang maksud “kejujuran” di media sosial. Segala bentuk luahan hati dikongsikan, termasuk hal-hal berkaitan anak. Ada yang menulis, “Penat mempunyai anak seperti ini.” Ada pula yang berkata, “Sudah bersabar, tetapi anak tetap degil.” Malah, ada yang secara terbuka mengeluh tentang kekurangan fizikal atau prestasi anak mereka, seolah-olah seluruh dunia perlu tahu betapa beratnya perjuangan mereka sebagai seorang ibu.

 

Namun, jika direnungkan, apa yang terluah itu bukanlah kejujuran, tetapi rungutan yang sebenarnya membuka aib keluarga sendiri.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR. Muslim)

 

Oleh itu, jika seseorang ingin hidupnya ditutup dengan kebaikan oleh Allah, maka hendaklah dia menutup aib orang lain termasuklah aib anak sendiri. Anak adalah amanah, dan amanah itu tidak wajar dijadikan bahan cerita sedih semata-mata untuk mengundang simpati.

 

Seorang ibu sejati memahami bahawa tugasnya bukan untuk mencari perhatian manusia, tetapi untuk meraih keredhaan Allah SWT. Maka dia perlu menjaga tutur bicaranya, menahan jari jemarinya daripada sewenang-wenangnya memuat naik luahan di media sosial, serta menukar setiap keluhan menjadi doa.

 

Tugas seorang ibu hanya dua, namun nilainya mampu menggoncang Arasy jika dilakukan dengan penuh keikhlasan.

 

Pertama, menjadi isteri yang solehah demi meraih keredhaan suami dan keredhaan Allah. Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan suami. Ini bukan soal tunduk tanpa pertimbangan, tetapi tunduk kerana cinta terhadap perintah Allah Taala.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dirinya, dan taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke syurga melalui mana-mana pintu yang engkau kehendaki.’” (HR. Ahmad)

 

Ibu yang solehah tahu bila dia perlu berkata-kata dan bila dia perlu berdiam diri, dia juga tahu bila perlu menegur dengan kelembutan dan bila dia perlu cukup sekadar mendoakan. Dia bukanlah wanita yang sempurna, namun sentiasa berusaha menjadi sumber ketenangan bagi suaminya, bukan sumber permasalahan dan andai wujud kekurangan dalam rumah tangganya, dia sedar bahawa semua itu merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan.

 

Syeikh Ibnu ‘Atha’illah As-Sakandari pernah berkata, “Janganlah engkau bersedih kerana kekurangan yang engkau rasakan dalam keadaanmu, kerana mungkin sahaja Allah sedang membukakan untukmu pintu ketaatan yang tidak akan terbuka ketika engkau berada dalam kelapangan.”

 

Ungkapan ini menampar lembut hati seorang ibu yang sering merasa dirinya “tidak cukup”. Kadangkala seorang isteri berasa letih, kecewa, bahkan iri melihat keluarga lain yang kelihatan lebih bahagia atau anak-anak mereka lebih cemerlang. Namun, seperti yang diingatkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atha’illah, mungkin di sebalik kekurangan itu, Allah sedang mengundangmu untuk lebih dekat kepada-Nya.

 

Maka, jangan sibuk membandingkan rumah tanggamu dengan rumah tangga orang lain. Tumpukan pada usaha memperbaiki diri, kerana Allah tidak menilai sejauh mana sempurnanya kehidupanmu, tetapi sejauh mana sabarmu dalam menghadapinya.

 

Kedua, mendidik dan membimbing pemikiran anak-anak agar menjadikan Islam sebagai neraca dalam setiap perbuatan.

 

Seorang ibu bukan sekadar pengasuh, tetapi madrasah pertama bagi sebuah peradaban. Dari rahim dan dakapannya lahir para pemimpin, ulama dan pejuang. Maka, jangan sesekali memandang ringan amanah ini.

 

Tugas mendidik anak bukan hanya memastikan nilai akademiknya cemerlang, tetapi memastikan imannya kukuh di dalam hati. Kerana apa gunanya seorang anak yang bijak, jika dia tidak mengenal Tuhannya? Apa ertinya kejayaan, jika dia tidak tahu tujuan hidupnya?

 

Allah SWT berfirman, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 56]

 

Maknanya, orientasi pendidikan anak dalam Islam bukan sekadar untuk “hidup senang”, tetapi untuk hidup dengan benar. Anak perlu dididik agar menjadikan Islam sebagai ukuran dalam setiap perbuatan, tahu membezakan antara yang halal dan yang haram, yang dibolehkan dan yang perlu dijauhi.

 

Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani pernah menyatakan bahawa ibu adalah asas kepada sesuatu umat. Jika seorang ibu kehilangan arah, maka runtuhlah peradaban. Kerana dari tangan seorang ibu, terbentuklah generasi yang akan menentukan hala tuju masa depan umat.

 

Namun, bagaimana mungkin dapat melahirkan generasi yang kuat dan berdaya tahan jika si ibu sibuk membandingkan, merungut dan menyiarkan kekurangan anaknya sendiri? Bagaimana seorang anak dapat membina keyakinan diri jika ibunya sendiri sibuk mencari belas kasihan daripada orang lain?

 

Ibu sejati tidak menjadikan kekurangan anak sebagai bahan tontonan, tetapi sebagai ladang doa. Dia bukan perakam kesedihan, tetapi penanam kekuatan. Dia sedar bahawa setiap anak mempunyai jalan takdirnya tersendiri dan tugasnya adalah untuk memastikan anak itu berjalan di atas jalan Allah, bukan jalan hawa nafsu dunia.

 

Maka wahai para ibu, berbanggalah dengan perjuanganmu, bukan dengan kesedihanmu. Berbanggalah dengan anak yang taat, bukan yang terkenal di media sosial. Berbanggalah dengan dirimu yang memilih untuk diam demi menjaga maruah keluarga. Sesungguhnya, tiada yang lebih mulia daripada menjadi ibu yang sabar, isteri yang solehah dan pendidik kepada generasi Islam.

 

Syeikh Ibnu ‘Atha’illah juga berkata, “Tanda orang yang bergantung kepada amalnya adalah berkurangnya harapan ketika dia berbuat dosa.”

 

Maksudnya, jangan biarkan rasa gagal dalam mendidik anak membuatmu hilang harapan. Setiap ibu pasti punya kekurangan, namun rahmat Allah sentiasa terbuka luas. Yang dicari bukanlah kesempurnaan, tetapi keikhlasan.

 

Ingatlah, tugas ibu bukan untuk mempamerkan derita, tetapi untuk menanamkan ketakwaan. Bukan untuk mencari simpati manusia, tetapi untuk mencari cinta Allah. Bukan untuk melahirkan anak yang sempurna, tetapi anak yang memahami tujuan hidupnya.

 

Kerana ibu sejati bukanlah yang paling dikasihani, tetapi yang paling mampu menanamkan keyakinan di hati anaknya, sehingga kelak, apabila dia tiada, anak itu tetap teguh berjalan di atas jalan Islam tanpa perlu dituntun lagi.

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version