Site icon MuslimahHTM News

Surat Khalifah

Surat Khalifah

 

Ketika kekhalifahan sampai ke tangan Umar bin Abdul Aziz, dia menulis surat kepada Salim bin Abdullah bin Umar,“Amma Ba’du. Sesungguhnya Allah sedang mengujiku untuk menjadi khalifah tanpa meminta persetujuanku terlebih dahulu. Aku memohon kepadaNya untuk membantuku dalam melaksanakan amanat ini. Apabila surat ini telah sampai ke tanganmu, tolong kirimkan kepadaku kitab-kitab Umar bin Khattab, keputusan-keputusan hukumnya dan sirahnya. Sesungguhnya aku bertekad untuk mengikuti jejak perjalanan hidupnya, dan berjalan di atas manhajnya jika Allah mempermudahkan untukku.”

 

Kemudian Salim menjawab suratnya, “Amma Ba’du. Suratmu telah sampai kepadaku. Kamu menyebut bahawa Allah sedang mengujimu untuk memimpin umat Islam tanpa meminta persetujuanmu dan kamu ingin mengikuti jejak langkah Umar. Kamu hendaklah ingat bahawa kamu berada di zaman yang bukan seperti di zaman Umar dan orang-orangmu tidak seperti orang Umar. Namun, ketahuilah bahawa jika niatmu itu benar bersungguh-sungguh, Allah pasti akan menolongmu dan memberimu orang-orang yang akan membantu merealisasikan niatmu. Mereka akan datang kepadamu tanpa diduga. Sesungguhnya pertolongan Allah kepada hambaNya adalah sesuai dengan niat hambanya itu, Barang siapa niat kebaikannya sempurna, maka akan sempurna pula pertolongan Allah, begitupun sebaliknya. Jika nafsumu condong kepada sesuatu yang tidak diredhai Allah, ingatlah kepada para pemimpin yang telah mendahuluimu. Tanyakan kepada dirimu tentang mata mereka yang dicungkil kerana menggunakannya untuk melihat kelazatan yang dilarang, tentang perut mereka yang dirobek kerana mereka tidak pernah kenyang dari syahwat, dan tentang mereka yang menjadi timbunan mayat yang jika dibiarkan begitu saja di sebelah kediaman kita, tentu kita akan merasa terganggu dengan baunya. Wassalam.”

 

[Abdurrahman Ra’fat al-Basya, Jejak Perjuangan dan Keteladanan Para Tabiin, hlm. 255]

 

Hikmah

 

Surat yang dikirim oleh Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dan balasan yang ditulis oleh Salim ibn Abdullah ibn Umar mengandungi hikmah yang berharga bagi umat akhir zaman. Kedua-duanya sangat patut  diteladani, memandangkan mereka mempunyai keturunan yang sama: iaitu cucu dan cicit Umar ibn Khattab RA.

 

Benih yang baik akan melahirkan pemimpin yang baik. Kedua-dua keturunan Khalifah Umar ibn Khattab tidak jauh berbeza dengan watak kepimpinan datuk mereka. Kita sudah biasa dengan tokoh di sebalik pembentukan kepimpinan Khalifah Umar ibn Khattab. Ya, baginda adalah Nabi Muhammad SAW, guru dan teladan terbaik sepanjang zaman. Khalifah Umar bin Khattab adalah contoh didikan Rasulullah kepada para sahabatnya.

 

Tiada warisan yang lebih baik daripada teladan yang baik. Inilah yang mesti difahami oleh ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat. Mendidik anak-anak dan membina generasi penerus umat hendaklah mencontohi cara Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mendidik keluarga mereka dan generasi selepasnya. Jika kita mahukan umat ini kembali menjadi umat yang terbaik, cara terbaik ialah mencontohi apa yang dilakukan oleh generasi terdahulu iaitu sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya” [HR Muslim, Ahmad, dan lain-lain]

 

Sesungguhnya kepimpinan yang baik hanya dapat dicapai apabila berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Sistem Islam yang syumul terbukti melahirkan ramai pemimpin yang boleh dicontohi. Kita mesti memperjuangkan sistem ini bersama-sama untuk menegakkan kegemilangan Islam dan kebangkitan ummah.

 

Sumber: muslimahnews.net

 

#pemimpin #amanah

Exit mobile version