Ilusi Perdamaian: Gaza Memerlukan Khilafah, Bukan Gencatan Senjata
Gencatan senjata yang dimeterai sejak 10 Oktober 2025 antara rejim Zionis dan para mujahidin di Gaza sekali lagi berakhir dengan pelanggaran. Perjanjian yang dimeterai oleh Amerika Syarikat itu pada awalnya diharapkan dapat memberi kelegaan bagi penderitaan rakyat Gaza. Namun, hanya dalam beberapa hari, pasukan Zionis kembali melancarkan serangan terhadap beberapa kawasan penempatan penduduk.
Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan bahawa sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, sebanyak 80 pelanggaran telah dilakukan oleh pasukan Zionis. Sekurang-kurangnya 97 warga Palestin terkorban, termasuk 44 orang dalam satu hari pada 19 Oktober 2025, dan lebih daripada 230 orang cedera. Sebelum itu, laporan The Guardian mencatat sekurang-kurangnya 47 pelanggaran, dengan 38 kematian dan puluhan lagi mengalami kecederaan. Serangan udara dan tembakan artileri masih terus menyasarkan kawasan sempadan serta kawasan berpenduduk padat atas alasan untuk memusnahkan terowong Hamas.
Pelanggaran tersebut malah diakui secara terbuka oleh Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyahu, yang menyatakan bahawa pasukan tenteranya telah menjatuhkan 153 tan bom ke atas Gaza sepanjang tempoh gencatan senjata. Dalam masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menegaskan bahawa gencatan senjata masih berkuat kuasa, walaupun beliau tidak dapat memastikan sama ada serangan Israel itu dibenarkan.
Kenyataan ini membuktikan bahawa gencatan senjata bukanlah lambang kepada perdamaian, sebaliknya hanyalah jeda sementara yang dimanfaatkan oleh pihak penjajah untuk menyusun semula serangan mereka. Maka, amat tidak wajar bagi sesiapa pun menaruh harapan akan kebaikan bagi Gaza daripada perjanjian yang dirundingkan oleh pihak penjajah sendiri.
Kesepakatan Palsu
Berulangnya pelanggaran terhadap gencatan senjata membuktikan bahawa perjanjian tersebut tidak lebih daripada simbol kosong tanpa sebarang komitmen yang nyata untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis. Tanpa adanya mekanisme penguatkuasaan undang-undang antarabangsa yang berkesan, entiti Zionis bebas mentafsir dan melanggar perjanjian mengikut kepentingan mereka sendiri. Dalam masa yang sama, kuasa-kuasa besar dunia terus bebas membekalkan senjata, memveto resolusi Majlis Keselamatan, dan mengawal naratif global bagi melindungi rejim tersebut. Dalam konteks ini, kedudukan mereka bukan lagi sebagai “orang tengah”, tetapi sebahagian daripada sistem yang mengekalkan penindasan.
Ketempangan ini semakin ketara apabila lembaga dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya mampu mengeluarkan seruan moral tanpa sebarang tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar. Undang-undang antarabangsa, yang sepatutnya menjadi benteng keadilan, kini tunduk kepada politik kekuasaan. Negara-negara kuat melanggar peraturan antarabangsa tanpa sedikit pun rasa bersalah, manakala negara-negara lemah dengan mudah dikenakan sekatan tanpa upaya membela diri. Keadilan kehilangan erti apabila undang-undang berpihak kepada mereka yang memiliki persenjataan.
Ironinya, sebahagian pemimpin di negara-negara Islam sendiri turut menjadi sebahagian daripada perancangan yang memperpanjang penjajahan Zionis di Gaza. Mereka terlibat dalam diplomasi palsu seperti gencatan senjata atau konsep “penyelesaian dua negara” yang kononnya demi kemerdekaan Palestin, sedangkan hakikatnya, ia bermaksud mengiktiraf kedaulatan rejim penjajah Zionis. Semua ini adalah sebahagian daripada rancangan politik yang digerakkan oleh Trump untuk Gaza. Langkah-langkah tersebut bukanlah bentuk pembelaan terhadap rakyat Palestin, tetapi usaha menyesuaikan diri dengan kepentingan Barat. Bukannya menjadi perisai umat, mereka malah memperkukuh kezaliman yang menimpa saudara seagama sendiri.
Di lapangan, gencatan senjata tidak lebih daripada jeda sementara dalam kitaran pencerobohan yang berterusan. Dengan alasan “keselamatan nasional” atau “operasi anti keganasan”, rejim Zionis tetap diberi ruang untuk melanjutkan serangan dan memperluaskan penguasaannya di Gaza. Akibatnya, penderitaan rakyat terus berlipat ganda, keluarga berpecah-belah, kediaman musnah rata dengan tanah, kelaparan berleluasa dan kehidupan yang tersisa hanyalah bayang-bayang kehancuran.
Lebih parah lagi, fasa lanjutan pasca gencatan senjata dikatakan akan melibatkan pembentukan kerajaan baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan gabungan daripada Palestin dan beberapa negara Arab serta Islam, dan pelucutan kekuatan ketenteraan Hamas. Sedangkan selama ini, kelompok-kelompok penentang, khususnya Hamas merupakan barisan hadapan yang mempertahankan Gaza daripada serangan tentera Zionis. Melucutkan Hamas bererti membuka laluan kepada penjajahan sepenuhnya ke atas bumi Palestin.
Justeru, gencatan senjata ini tidak lain hanyalah ilusi perdamaian. Selagi akar penjajahan belum dicabut, keganasan akan terus berulang, mungkin dengan nama yang berbeza, tetapi dengan luka yang sama di jiwa rakyat Palestin.
Memerlukan Khilafah
Rangkaian pelanggaran terhadap gencatan senjata, lemahnya penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, serta dominasi negara-negara Barat dalam setiap proses diplomasi membuktikan satu hakikat, bahawa sistem dunia yang wujud pada hari ini tidak berpihak kepada umat Islam. Segala jalan penyelesaian yang ditempuh dalam kerangka sistem sekular kapitalis sentiasa berakhir dengan ketidakadilan.
Lebih-lebih lagi, telah menjadi tabiat golongan Yahudi untuk mengkhianati pelbagai perjanjian gencatan senjata. Sejarah telah berulang kali mencatat pengingkaran mereka terhadap perjanjian, sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 83: “Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”
Ayat ini menegaskan bahawa sifat mengingkari janji telah menjadi ciri yang melekat pada mereka sepanjang sejarah. Oleh itu, berharap akan lahirnya perdamaian sejati melalui saluran diplomasi yang menjadikan Barat sebagai pengantara hanyalah satu ilusi.
Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana sebuah negara Islam bertindak tegas terhadap pengkhianatan kaum Yahudi. Ketika kaum Yahudi Bani Qainuqa’ menghina kehormatan seorang wanita Muslim di pasar Madinah, Rasulullah SAW segera mengambil tindakan. Mereka diberi amaran, namun kerana tetap berdegil dan menentang, Baginda mengepung serta mengusir mereka dari Madinah. Begitu juga terhadap Bani Nadhir dan Bani Quraizhah yang berkhianat ketika peperangan. Rasulullah SAW tidak membiarkan mereka bebas tanpa hukuman. Ketegasan ini bukan lahir daripada kebencian kaum, tetapi daripada prinsip keadilan Islam yang melindungi umat daripada pengkhianatan dan kehinaan.
Contoh ketegasan ini juga dapat dilihat pada zaman Khalifah Abdul Hamid II, yang dengan tegas menolak tawaran Theodore Herzl untuk menyerahkan tanah Palestin kepada kaum Yahudi sebagai pertukaran bantuan kewangan bagi pemerintahan Khilafah. Khalifah menegaskan bahawa tanah Palestin adalah milik umat Islam, dan tidak akan diserahkan walau sejengkal pun. Ketegasan seorang khalifah ketika itu telah berjaya mengekang cita-cita Zionis selama berpuluh-puluh tahun, sehinggalah sistem Khilafah akhirnya diruntuhkan.
Penghentian sepenuhnya terhadap kekejaman Zionis mustahil tercapai tanpa kekuatan nyata daripada negeri-negeri muslim. Hanya kesatuan politik dan ketenteraan yang bersatu dalam bingkai jihad fi sabilillah di bawah kepimpinan Khilafah yang mampu menghentikan penjajahan di bumi Palestin. Khilafah bukan sekadar simbol politik, tetapi institusi pemerintahan yang memimpin umat dengan kekuatan dan keadilan. Dengan kewujudannya, umat Islam akan memiliki kuasa yang mampu menundukkan pengganas serta menegakkan keadilan sejagat yang selama ini diabaikan.
Sudah tiba masanya dunia Islam berhenti bergantung kepada meja diplomasi yang dikawal penjajah. Setiap titisan darah yang mengalir di Gaza menanti keberanian umat untuk bersatu di bawah satu kepimpinan yang menegakkan hukum Allah dan menjaga maruah umat. Itulah Khilafah, satu-satunya sistem yang akan menutup lembaran hitam penjajahan dan membuka fajar kemenangan bagi Palestin serta seluruh kaum Muslimin. Wallahu a‘lam bis-sawab.
Sumber: muslimahnews.net
#FreePalestine #FreePalestineWithJihadAndKhilafah #ArmiesToAqsa #ArmiesToGaza

