Site icon MuslimahHTM News

Tidak Ada Ketaatan Melebihi Ketaatan Pada Allah

Tidak Ada Ketaatan Melebihi Ketaatan Pada Allah

 

Allah ﷻ berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ adz-Dzaariyat (51): 56]

 

Ayat ini menegaskan bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah ﷻ. Ibadah bermaksud ketundukan yang sempurna dan ketaatan mutlak terhadap syariat-Nya. Oleh itu, apabila manusia berhadapan dengan seluruh ketetapan dan hukum Allah ﷻ, tidak sepatutnya keluar dari lisannya kecuali ungkapan “sami‘nā wa aṭa‘nā” (kami dengar dan kami taat.)

 

Islam melarang keras sebarang bentuk tindakan yang menempatkan makhluk sebagai sesuatu yang ditaati melebihi ketaatan kepada Allah ﷻ. Sesiapa yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah menjadikan makhluk itu sebagai objek ibadah. Kaum Ahli Kitab, sebagai contoh, kerana mereka mentaati para pendeta dan rahib lebih daripada ketaatan mereka kepada Allah ﷻ, maka mereka dianggap telah menjadikan para pendeta dan rahib itu sebagai arbāb (tuhan-tuhan) selain Allah, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:

 

“Mereka menjadikan orang-orang alim dan para rahib mereka sebagai tuhan selain Allah…” [TMQ at-Taubah (9): 31]

 

Ketika ‘Adi bin Hatim, yang pada waktu itu masih beragama Nasrani, mendengar ayat tersebut, beliau berkata, “Mereka (kaum Nasrani) tidak menyembah para pendeta dan rahib.” Maka Rasulullah ﷺ menjelaskan hakikat sebenar penyembahan tersebut dengan sabdanya:

 

“Sesungguhnya para pendeta dan rahib itu telah mengharamkan apa yang halal dan menghalalkan apa yang haram, lalu mereka mengikutinya. Itulah bentuk ibadah mereka.”  (HR Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Jarir)

 

Kewajipan beribadah kepada Allah ﷻ ini sebenarnya sangat rasional. Manusia hidup di dunia bukan atas kekuasaannya sendiri, tetapi kerana diciptakan oleh Allah ﷻ. Bahkan setelah hidup, manusia terus-menerus menerima limpahan rezeki daripada Allah ﷻ, ar-Razzāq. Maka, amat wajar manusia mengabdikan diri kepada Penciptanya dan Pemberi rezekinya. Setiap insan wajib mengarahkan seluruh kehidupannya untuk sentiasa beribadah kepada Allah ﷻ. Setiap langkah dan perbuatan yang dilakukan hendaklah sentiasa dipastikan berada dalam lingkungan dan panduan syariat-Nya.

 

Petikan dari “Tafsir Ayat Pilihan Al-Wa’ie” oleh KH. Rokhmat S. Labib.

 

#ketaatan #HambaAllah #Ibadah #KetaatanTotal

Exit mobile version