Site icon MuslimahHTM News

Hubungan Krisis Identiti dan Gaya Hidup Serba Bebas

Hubungan Krisis Identiti dan Gaya Hidup Serba Bebas

Oleh: Ika Mawarningtyas

Fenomena yang berlaku pada masa kini menunjukkan bahawa para remaja kita amat mudah terdedah kepada krisis identiti. Mereka seolah-olah tidak menyedari identiti diri sendiri, mengalami kekeliruan dalam arah kehidupan, kekeliruan jantina, bahkan kekeliruan terhadap masa depan. Mereka juga mudah berputus asa dalam menjalani kehidupan serta cenderung memberontak terhadap ibu bapa. Masalah seperti kekeliruan diri, perubahan emosi yang mendadak (mood swing) yang menurunkan prestasi, sikap sensitif, gangguan mental yang serius (mental breakdown) sehingga tidak mampu menjalankan aktiviti harian secara normal, serta keletihan melampau akibat tekanan berpanjangan (burnout), semuanya menyumbang kepada penurunan motivasi dan prestasi hidup.

Inilah kesan daripada gaya hidup liberal (serba bebas) dan sistem kehidupan sekular kapitalisme. Sistem hidup sekular yang mengabaikan Islam sebagai panduan hidup telah menjadi akar kepada krisis identiti dan kekeliruan arah hidup dalam kalangan generasi masa kini. Maka persoalannya, bagaimana agar remaja Muslim hari ini tidak terjerumus ke dalam krisis identiti?

وَلْيَخْشَ الَّذِيْنَ لَوْ تَرَكُوْا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوْا عَلَيْهِمْۖ فَلْيَتَّقُوا اللّٰهَ وَلْيَقُوْلُوْا قَوْلًا سَدِيْدًا ۝٩
“Hendaklah merasa takut orang-orang yang seandainya (mati) meninggalkan setelah mereka, keturunan yang lemah (yang) mereka bimbang terhadapnya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan berbicaralah dengan tutur kata yang benar (dalam hal menjaga hak-hak keturunannya)” [TMQ An-Nisaa’ (4): 9]

Dalam Islam, tidak ada istilah fasa krisis atau kehilangan identiti. Fasa usia muda dilihat sebagai syabab atau fityatun (pemuda). Dalam Surah Al-Kahfi ayat 13, Allah berfirman, “Innahum fityatun amanu birabbihim wazidnahum huda” yang bermaksud, “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka, lalu Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat ini bahawa pemuda lebih mudah menerima kebenaran dan lebih mudah mendapat hidayah berbanding orang dewasa yang derhaka.

Syabab bermaksud kekuatan baharu, keindahan, pertumbuhan dan permulaan kepada segala sesuatu. Fasa syabab ini merupakan fasa emas yang penuh optimisme dan harapan, bukan fasa keresahan. Ini sangat berbeza dengan pandangan Barat yang sering memberikan stigma negatif terhadap usia muda. Sedangkan, Barat sendirilah yang telah merosakkan mental dan peribadi generasi muda melalui gaya hidup liberal (serba bebas) dan sekular (yang mengetepikan agama sebagai panduan hidup).

Untuk mengelakkan anak-anak kita menjadi generasi yang lemah (dzurriyatan dhi’afan), Allah memberikan panduan dalam Surah An-Nisaa’ ayat 9:

وَلْيَخْشَ الَّذِيْنَ لَوْ تَرَكُوْا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوْا عَلَيْهِمْۖ فَلْيَتَّقُوا اللّٰهَ وَلْيَقُوْلُوْا قَوْلًا سَدِيْدًا ۝٩
“Hendaklah merasa takut orang-orang yang seandainya (mati) meninggalkan setelah mereka, keturunan yang lemah (yang) mereka khawatir terhadapnya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan berbicaralah dengan tutur kata yang benar (dalam hal menjaga hak-hak keturunannya).”

Bertakwa kepada Allah SWT adalah bentuk ketundukan, patuh dan takut kepada-Nya, sehingga mendorong seseorang untuk sentiasa melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Cara membentuk insan yang bertakwa adalah dengan menyedarkan mereka akan kedudukan diri sebagai hamba Allah yang wajib tunduk kepada-Nya. Apabila kesedaran ini tertanam, mereka akan berusaha meluruskan niat dalam setiap perbuatan iaitu melakukan sesuatu kerana Allah SWT, bukan demi keredhaan manusia, tetapi untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Maka dalam diri anak-anak perlu dipupuk akidah yang kuat dan teguh.

Bagi ibu bapa yang merasakan anak-anak mereka telah jauh atau sudah menetapkan batas dalam hubungan kekeluargaan, langkah pertama yang perlu diambil adalah bertaubat, kerana pastinya ada peranan ibu bapa dalam keadaan tersebut. Seterusnya, lunaskan “hutang pengasuhan” dengan melimpahkan kasih sayang dan memperbaiki akidah mereka. Anak-anak generasi kini yang digelar Generasi Z (yang cenderung menekankan kesihatan mental, bersikap santai dan menginginkan segala sesuatu secara segera) merupakan hasil daripada sistem kapitalis. Maka kita perlu mengubah cara berfikir kita bahawa mereka adalah syabab yang penuh semangat dan mudah menerima petunjuk. Dengan bimbingan yang betul, usaha kita untuk membentuk mereka menjadi generasi emas dapat direalisasikan inshaAllah.

Sumber: Ngajishubuh

Exit mobile version