Site icon MuslimahHTM News

[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW] Meninggalkan dan Mengabaikan Sementara

[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]

Siri 9 – Meninggalkan dan Mengabaikan Sementara

 

Cara lain yang Rasulullah SAW praktikkan dalam menangani masalah rumah tangganya selain nasihat, kritikan, dan sebagainya adalah baginda meninggalkan isterinya sementara dalam tempoh tertentu.

 

Meninggalkan isteri, khususnya mendiamkannya di ranjang. Tindakan ini merupakan hukuman psikologi yang sangat berat, bukan hukuman secara fizikal yang menyakitkan. Kehilangan kebahagiaan dan kenikmatan yang dirasakan isteri melalui hukuman fizikal adalah lebih ringan daripada kehilangan keduanya dengan cara memisahkannya di ranjang. Hal ini termasuk hukuman yang berat selepas talak.

 

Hukuman terberat adalah hukuman yang menggugah rasa cemburu seseorang, yang membuatnya ragu akan keberadaan dan keistimewaannya sendiri.

 

Seorang wanita tahu bahawa dia adalah makhluk lemah di sisi lelaki. Akan tetapi, hal itu tidak membuatnya putus asa selama dia tetap memikat perhatian suami dan menjeratnya dengan pesonanya. Isteri mampu menutupi kelemahannya dengan cara membuatkan suaminya sangat merindukan dan menginginkannya.

 

Suami memiliki kekuatan, sedangkan isteri memiliki daya tarik terhadap suaminya sendiri. Kerana itu, satu-satunya kebanggaan wanita di samping kelemahannya adalah daya tariknya yang tak mampu ditewaskan.

 

Jika dia mendekati suaminya untuk minta digauli ketika hasratnya benar-benar bergelora, tetapi suami tidak mempedulikannya dan mengabaikan pesonanya, apa lagi yang boleh dia lakukan kecuali mengurut dada (menahan sabar)?

 

Apa yang boleh dia lakukan setelah meragukan kewanitaannya kerana merasakan suami sudah tidak cenderung kepadanya, atau merasa lemah dan tidak dapat membanggakan diri dengan daya tarikannya?

 

Suami berkuasa penuh terhadap diri sang isteri, sedangkan isteri tidak berkuasa apa-apa atas suaminya. Dia hanya mampu pasrah. Dia hanya boleh lari dari perasaan bahawa dirinya seakan telah luntur di matanya sendiri, sebelum dia lari dari pasangan itu di mata suaminya. Ini adalah hukuman psikologi yang sangat berat baginya, dan bukan hukuman fizikal. Di sinilah wanita mengalami konflik internal, seakan kehilangan seluruh senjata kewanitaannya. Akibatnya, dia terpaksa menelan kekalahan teruk.

 

Mengabaikan isteri boleh berupa memisahkan diri dari ranjang, dan ini adalah bentuk hukuman yang paling berat. Selain itu, suami juga boleh keluar dan meninggalkan isterinya sendirian di rumah sementara, dan ini relatif lebih ringan. Termasuk kasih sayang Nabi SAW kepada isteri-isterinya adalah baginda biasanya memilih keluar rumah untuk meninggalkan mereka. Bukhari menulis bab khusus dalam kitab hadisnya, iaitu bab “Hijrah an-Nabi SAW Nisā’ahu fī Ghairi Buyūtihinna” (Nabi SAW meninggalkan isteri-isterinya dengan keluar dari rumah mereka).

 

Ringkasnya di sini, suami boleh menghukum isteri yang melakukan kesalahan dengan memisahkan diri di ranjang atau meninggalkan isteri sendirian di rumah. Dengan hukuman berat ini dapat memberi ruang kepada isteri untuk merenung serta mengakui kesalahannya seterusnya tidak mengulangi kesalahan agar tidak mendapat hukuman berat ini lagi di masa mendatang. Insya-Allah.

 

*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal

 

Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh mahmud al-Mahsri)

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version