Waspadalah Terhadap Riak
Riak adalah penyakit hati yang berbahaya. Ia menjadikan amalan kita hancur dan sia-sia, walaupun secara zahirnya nampak indah. Riak bermaksud melakukan ibadah bukan kerana Allah ﷻ semata-mata, boleh jadi demi perhatian manusia, pujian, atau keuntungan duniawi.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa amalan yang riak itu terbahagi kepada dua.
[1] Amalan yang murni riak. Iaitu amal yang tidak diniatkan kepada Allah sama sekali, tetapi bertujuan untuk dipamerkan kepada manusia. Amal seperti ini pastinya sia-sia, pelakunya berhak mendapat murka dan azab Allah ﷻ. Allah ﷻ telah mencela kaum munafik yang melakukan solat dengan malas, menunjuk-nunjuk, dan sangat sedikit mengingati-Nya (Surah An-Nisa’: 142). Bahkan kaum kafir juga disebut berbuat riak apabila keluar dari rumah dengan sombong, ingin dipuji manusia, dan menghalangi manusia dari jalan Allah (Surah Al-Anfal: 47).
[2] Amal yang asalnya diniatkan untuk Allah, tetapi kemudian bercampur dengan riak. Jika sejak awal riak sudah ada serentak dengan niat kerana Allah, maka amal itu juga batal, sebagaimana ditegaskan dalam banyak dalil.
Rasulullah ﷺ mengingatkan bahaya riak dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Allah ﷻ berfirman: “Aku adalah Zat yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa melakukan suatu amal, lalu dia menyekutukan-Ku dengan selain-Ku, maka Aku tinggalkan dia bersama sekutunya.” (HR. Muslim).
Riak yang murni jarang sekali berlaku pada seorang mukmin dalam ibadah fardhu seperti solat wajib atau puasa wajib. Namun, ia boleh berlaku dalam ibadah lain yang manfaatnya dilihat oleh orang lain, seperti zakat, haji, atau amalan-amalan zahir yang lain. Kerana ikhlas dalam perkara seperti itu lebih sukar.
Padahal, ikhlas adalah kunci diterimanya ibadah. Amalan sekecil apa pun, jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah, lebih berharga daripada amalan yang kelihatan besar namun penuh riak. Oleh itu, setiap muslim wajib menjaga hati agar sentiasa ikhlas. Jangan biarkan pujian, sanjungan, atau keinginan untuk dilihat orang lain merosakkan pahala amalan kita. Semoga Allah ﷻ melindungi hati kita dari riak dan menjadikan semua amal kita ikhlas hanya untuk-Nya.
Sumber: “Jaami’ al-‘Ulum wa al-Hikam” Ibnu Rajab al-Hanbali

