Site icon MuslimahHTM News

[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW] Takhyīr (Memberi Pilihan) dan Musyawarah

[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]

Siri 10 – Takhyīr (Memberi Pilihan) dan Musyawarah

Pembahasan kali ini memaparkan cara baginda Nabi SAW menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan takhyīr. Inilah kisah yang membuktikan sikap bijak Nabi SAW dalam menghadapi masalah ekonomi yang timbul dalam keluarganya, yakni saat para isteri menuntut tambahan nafkah daripadanya. Dalam menyikapi masalah ini, Baginda menggunakan cara takhyīr atau musyawarah, yang cukup efektif dan boleh diterapkan dalam kehidupan rumah tangga.
Keutuhan rumah tangga perlu dipertimbangkan kerana ia adalah babak terakhir sasaran konspirasi Barat dalam konfliknya melawan Islam, iaitu menyerang akidah, syariat, dan akhlaknya.

Ianya merupakan hal yang sangat penting agar keluarga dapat menjalankan peranan dan tanggungjawabnya dalam mendidik generasi dengan baik. Sementara keretakan rumah tangga hanya akan menghambat peranan ini.

Kini, banyak keluarga terjerat dengan pelbagai masalah kehidupan. Antara masalah yang meruncing adalah keluarga yang terlalu boros berbelanja serta berlebihan sehingga mendorong mereka menempuh jalan yang tidak matang dan tidak terpuji. Hal ini seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam perbuatan dosa demi memperolehi sumber yang dapat memenuhi keperluan nafkah yang terus meningkat hari demi hari. Akibatnya, di tengah masyarakat timbullah fenomena muamalah dengan riba, rasuah, penipuan dalam berniaga, kualiti pekerjaan yang buruk, serta hal-hal terlarang lain yang telah diperingatkan Islam. Allah memperingatkan tentang bahaya perlakuan seperti itu dalam firmanNya :

“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang baik pada ketika (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” [TMQ Al-A’rāf (7): 31].

Atas dasar itu, keluarga yang berlebih-lebihan adalah keluarga yang dibenci Allah. Mereka bahkan tidak diperhitungkan Allah di al-Malā’ al-A’lā (tempat bersemayam Allah yang tertinggi).

Pengajaran lain yang turut dianjurkan Nabi SAW adalah agar kita menjauhi sikap berlebihan membelanjakan harta supaya hutang tidak bertambah. Apabila seseorang atau satu keluarga terlalu berlebihan dalam berbelanja apa sahaja, ia akan terpaksa berhutang demi memenuhi keperluannya.
Hutang adalah permasalahan utama melanda dunia Islam, dimana kesannya sangat berbahaya bagi masa depan umat.
Nabi SAW sendiri mohon perlindungan dari beban hutang seperti ini. Beban hutang disetarakan dengan tekanan manusia. Cuba baca dan hayati doa Baginda,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, aku mohon perlindungan kepada-Mu dari penderitaan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari rasa takut dan sifat kedekut, serta memohon perlindungan dari tekanan hutang dan tekanan manusia.”[1]

Baginda SAW ingin memberitahu bahawa hutang itu setara dengan tekanan dan kezaliman manusia. Sungguh cara yang indah untuk memperingatkan kita akan bahaya hutang.

Di samping itu, Nabi SAW juga mengajarkan kita bagaimana menjaga harta. Baginda mahu setiap penanggungjawab umat, pemimpin, dan ketua rumah tangga mengambil sikap tidak suka terhadap budaya boros dalam berbelanja walaupun dalam hal-hal yang dibenarkan, apatah lagi jika diharamkan. Semua itu tidak lain untuk menjamin masa depan umat, dan menjaga kekuatan mereka agar tidak terkeluar dari manhaj Allah.

Al-Quran mencatat pengajaran penting dari kaum yang suka hidup tidak keruan dan boros dalam membelanjakan harta, mengakibatkan kehancuran.

Allah berfirman, “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah), tetapi apabila mereka melakukan derhaka di dalam negeri itu, maka berlakulah perkataan (hukuman Kami) terhadap mereka, kemudian Kami hancur leburkan negeri itu sehancur-hancurnya.” [TMQ Al-Isrā’ (17): 16].

Sikap boros dan berlebihan termasuk kejahatan yang dilakukan oleh Firaun. Oleh kerana itu, layaklah dia mendapat hukuman daripada Allah, dan tak seorang pun dari kaumnya yang selamat dari hukuman itu.
Allah berfirman, “Sesungguhnya Firaun itu benar-benar telah bermaharajalela di bumi dan sebenarnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.” [TMQ Yūnus (10): 83].

Maka, kita hendaklah mengikuti jejak dan cara Rasulullah dalam menyikapi keluarganya, sekaligus menjauhi semua perilaku yang menggolongkan kita ke dalam kelompok Firaun dan orang-orang yang hidup berlebihan dan boros.

Ayat tentang Kisah Takhyīr

Allah berfirman, “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, ‘Jika kamu inginkan kehidupan di dunia berserta perhiasannya, maka kemarilah agar kuberikan kepadamu mut‘ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu menginginkan Allah dan Rasul-Nya serta negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan pahala yang besar bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu.” [TMQ Al-Ahzāb (33): 28-29].

Para mufassirīn berkata, “Isteri-isteri Nabi SAW menuntut harta dunia daripada Baginda dan meminta tambahan nafkah. Disebabkan itu, turunlah wahyu ini. Setelah ayat ini turun, Rasulullah melakukan musyawarah takhyīr. Baginda mulai dari Aisyah, isteri yang paling dicintainya. Ternyata Aisyah memilih Allah dan Rasul-Nya serta memilih akhirat. Kemudian isteri-isteri yang lain turut memilih sepertimana pilihan Aisyah. Ketika itu, jumlah mereka kesemuanya sembilan orang: Aisyah, Hafshah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, dan Saudah yang berasal dari suku Quraisy. Selebihnya adalah Shafiyah, Maimunah, dan Zainab binti Jahsy, Juwairiyah binti al-Hārith.”
Namun, ada juga pendapat bahawa alasan takhyīr ini bukanlah disebabkan situasi di atas.

Bersambung ke bahagian dua.

Catatan kaki:
[1] Hadis dhaif, riwayat Abu Dawud, no. 1555. Hadis ini juga dinilai dhaif oleh al-‘Allamah
Al-Albani rahimahullah dalam Dhaif al-lami, no. 2169.

*Diterjemah dari sumber asal
Sumber: Perkahwinan Idaman (SYaikh Mahmud al-Mashri)

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version