Adakah Wujud Menteri dalam Negara Khilafah?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Istilah “Menteri”, dengan istilah dan konotasinya, tidak diketahui dalam sistem pemerintahan Islam. Walaupun dalam kitab-kitab Hadis, Sirah mahupun Fiqh Siyasi ada istilah “Wazir”, namun istilah ini digunakan dengan konotasi bahasa, iaitu pembantu Khalifah. Bukan dengan konotasi menteri kabinet sebagaimana yang sering diterjemahkan dewasa ini.
Nabi bersabda, “Wazirayya fi as-sama’i Jibril wa Mikail, wa wazirayya fi al-ardhi Abu Bakar wa ‘Umar (Pembantuku di langit adalah Jibril dan Mikail, sedangkan pembantuku di bumi adalah Abu Bakar dan Umar).” (HR al-Hakim dan at-Tirmidzi dari Abi Sa’id al-Khudri). “Wazir” di sini bermaksud “Mu’awin” (pembantu). Dalam al-Quran, istilah “Wazir” juga digunakan dengan konotasi “Mu’in” (penolong) dan “Mu’awin” (pembantu) (Surah Thaha: 29 dan al-Furqan: 35).
Fakta menteri dalam sistem demokrasi berbeza dengan “Wazir” dalam sistem Islam. Perbezaan ini tidak lepas daripada karakter sistem demokrasi, di mana pemerintahan dipegang secara kolektif. Kerana itu, kementerian dalam sistem demokrasi merupakan kumpulan individu menteri yang menjalankan roda pemerintahan sebagai satu unit pemerintahan eksekutif. Kuasa pemerintahan yang utuh ada dalam kabinet para menteri, bukan hanya seorang menteri. Kerana seorang menteri hanya mempunyai kuasa terhad, mengikut bidang yang telah ditetapkan.
Berbeza dengan “Wazir” atau “Mu’awin” dalam sistem pemerintahan Islam. Mu’awin adalah pembantu khalifah, yang merangkumi semua tugas pemerintahan tanpa terkecuali. Imam al-Mawardi (w. 450 H) menggelar Mu’awin dengan kekuasaan umum ini, sebagai Mu’awin Tafwidh. Beliau digelar “Tafwidh” (delegasi) kerana mendapat mandat pemerintahan secara umum daripada khalifah.
Bilangan Mu’awin boleh lebih daripada satu, bergantung kepada keperluan negara, dan ditugaskan berdasarkan pembahagian wilayah, bukan pembahagian bidang kerja atau kuasa. Jadi, mu’awin adalah wakil Khalifah dalam mengurus urusan pemerintahan di wilayah tertentu, dan masing-masing memiliki kuasa dan tugas pemerintahan yang menyeluruh.
Sumber: “Kabinet Menteri Dalam Negara Khilafah”
#SistemPemerintahan #Khilafah #Menteri #PolitikIslam

