Site icon MuslimahHTM News

[Siri Adab Keluarga] Keutamaan Berbakti Pada Ibu Bapa Yang Memerlukan Perhatian Setara Dengan JihadKeutamaan Berbakti Pada Ibu Bapa Yang Memerlukan Perhatian Setara Dengan Jihad

[Siri Adab Keluarga]

Keutamaan Berbakti Pada Ibu Bapa Yang Memerlukan Perhatian Setara Dengan Jihad

Dari Abdullah bin Amr, dia berkata, “Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW untuk berjihad, Rasulullah SAW lalu bertanya, ‘Apakah kedua orang tuamu masih hidup?’ Orang itu menjawab, ‘Ya’. Baginda lalu bersabda, ‘Berjihadlah mengurus kedua orang tuamu itu.’” (HR. Bukhari dan Muslim)

Penjelasan:

Dari hadis ini kita belajar  bagaimana Rasulullah SAW menempatkan kedudukan berbakti kepada ibu bapa sebagai satu bentuk perjuangan besar dalam agama. Ketika seorang lelaki datang memohon izin untuk berjihad, Baginda tidak terus mendorongnya ke medan perang, tetapi terlebih dahulu meneliti keadaan keluarga lelaki tersebut. Setelah mengetahui bahawa kedua orang tuanya masih hidup, Rasulullah SAW memerintahkannya untuk kembali mengurus kedua orang tuanya.

Selain itu, ini juga menunjukkan bahawa dalam situasi tertentu, khususnya apabila ibu bapa masih hidup dan memerlukan perhatian, sokongan atau penjagaan, maka menjadi kewajipan bagi anak untuk mendahulukan penjagaan ke atas mereka berbanding ke medan jihad.

Para ulama juga menegaskan bahawa jihad memiliki pelbagai bentuk, bukan hanya yang bersifat ketenteraan; dan di sini  khidmat kepada ibu bapa diangkat sebagai satu bentuk jihad, yang menuntut kesabaran, pengorbanan masa, tenaga, dan komitmen.

Dalam sebuah fatwa (penjelasan) Dar al-Iftaa (Mesir) menyatakan bahawa pelayanan atau berkhidmat kepada orang tua (filial duties) dapat dianggap sebagai jihad, dan bahawa tugas kepada orang tua lebih utama daripada jihad perang dalam keadaan orang tua masih hidup.

Moulana Muhammad Abasoomar, dalam tulisannya, “Sesiapa merawat orang tua, maka ia akan mendapat balasan (pahala) seperti melakukan Haji, Umrah dan berjihad di jalan Allah, ” ketika menjelaskan tentang hadis Nabi SAW dari riwayat Abu Ya’la dan At Thabrani yang bermaksud,

“Tunjukkan kepada Allah bagaimana kamu berkhidmat kepadanya. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mendapat ganjaran seperti orang yang mengerjakan Haji, seorang Mu’tamir (yang melakukan umrah) dan seorang Mujahid (seorang yang berjuang di jalan Allah).”

Selain itu, dari sabda Nabi SAW ini juga dapat difahami prinsip penting dalam syariat yakni, tanggungjawab keluarga yang bersifat fardhu ‘ain lebih utama daripada ibadah lain yang hukumnya bergantung pada keadaan, termasuklah jihad yang dalam banyak keadaan bersifat fardhu kifayah. Dengan kata lain, menjaga dan mengurus ibu bapa bukan sekadar amalan kebajikan, tetapi suatu bentuk pengabdian yang diiktiraf setara dengan jihad, khususnya apabila keperluan mereka menuntut perhatian langsung daripada anak.

Wallahu’alam.

#KeluargaMuslimIdeal
#AdabKeluarga
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version