Site icon MuslimahHTM News

Bolehkah Wanita Muslimah Berhias?

Bolehkah Wanita Muslimah Berhias?

Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna

Salah satu fitrah yang Allah kurniakan kepada manusia adalah cenderung untuk menyukai keindahan, kebersihan, dan kekemasan. Kecenderungan ini merupakan sifat-sifat yang tidak dapat dipadamkan daripada manusia.

Oleh kerana itu, Islam telah mensyariatkan beberapa hukum yang berkaitan dengan fitrah-fitrah tersebut. Contohnya, Islam telah mewajibkan mandi bagi orang yang berhadas besar, dan berwuduk bagi orang yang berhadas kecil. Islam juga mewajibkan umat Islam untuk membersihkan najis dari badan, pakaian, dan tempat tinggal mereka. Lebih dari itu, Islam juga mengatur hukum-hukum yang berkaitan dengan berhias diri, memakai wangi-wangian, berpakaian dan sebagainya.

Dalam konteks berhias (tazayyun), sesungguhnya, syariat Islam membenarkan lelaki dan wanita berhias diri dalam batas yang munasabah. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa dia berkata;

قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW, “Sesungguhnya seorang lelaki itu ingin pakaiannya cantik dan sandalnya juga cantik.” Beliau SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah itu Indah dan menyukai keindahan.” (HR. Muslim)

Imam al-Nasa’i meriwayatkan sebuah hadis daripada ‘Aisyah RA, bahawa dia berkata;
مَدَّتْ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ السِّتْرِ بِيَدِهَا كِتَابًا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ وَقَالَ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَوْ يَدُ امْرَأَةٍ فَقَالَتْ بَلْ امْرَأَةٌ فَقَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً غَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ بِالْحِنَّاءِ
“Sesungguhnya, seorang wanita menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab, tetapi baginda hanya menggenggam tangan baginda. Wanita itu berkata, “Wahai Rasulullah, aku menghulurkan tanganku kepadamu dengan sebuah kitab, tetapi engkau tidak mahu mengambilnya”. Beliau SAW menjawab, “Sesungguhnya aku tidak tahu, adakah itu tangan seorang wanita atau tangan seorang lelaki.’ Wanita itu berkata, “Tetapi, ini adalah tangan wanita.” Nabi SAW menjawab, “Jika engkau seorang wanita, tentu engkau akan mengubah warna kukumu dengan inai”. (HR. an-Nasa’i)

Dalam riwayat lain yang dituturkan oleh Ibnu ‘Abbas, dinyatakan; “Ada seorang wanita datang kepada Nabi SAW untuk berbaiat kepada baginda, tetapi, dia tidak mewarna kukunya, sehingga baginda tidak mahu membai’atnya sehingga dia mewarna kukunya.” (HR. Abu Dawud)

Imam Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dari ‘Imran bin Husain, bahawa Nabiyullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata;

“Perhatikan, minyak wangi lelaki adalah berbau namun tidak berwarna; dan perhatikanlah, minyak wangi wanita adalah berwarna namun tidak berbau.’ Sa’id (salah seorang perawi) berkata, “Aku melihat dia mengatakan, “Sesungguhnya mereka mengambil ucapan baginda mengenai minyak wangi itu ke arah “jika dia keluar rumah”. Adapun jika dia berada di samping suaminya, dia boleh memakai wangian yang dia sukai.” [HR. Abu Dawud]; dan masih banyak hadis-hadis lain yang berbicara pada konteks berhiasnya seorang wanita.

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa seorang wanita mukminat dibenarkan berhias diri (tazayyun) dalam batas-batas yang selayaknya. Namun, syariat dengan tegas melarang wanita menghias dirinya di luar batas kewajaran alias tabarruj (bersolek untuk menampakkan kecantikannya). Larangan tabarruj telah disebutkan dengan sharih dalam al-Quran. Allah SWT berfirman;

وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ
“Dan mana-mana perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak lagi berhasrat untuk menikah, maka tidak ada dosa bagi mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan mereka;.. ” [TMQ al-Nur (24): 60].

Mafhum muwafaqah ayat ini adalah, “jika wanita-wanita tua yang telah putus haid sahaja dilarang melakukan tabarruj, lebih-lebih lagi wanita-wanita yang belum tua dan masih mempunyai keinginan untuk berkahwin.”

Sumber: https://yuanaryantresna.id/2020/06/11/bolehkah-wanita-muslimah-berhias/

#hukumfikh #Tabaruuj #tazayyun #MuslimahIdeal #fikihmuslimah

Exit mobile version