[Siri Adab Keluarga]
Doa Ibu Bapa Mustajab
Dari Ja’far bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata, Nabi SAW bersabda, “Ada tiga doa yang pasti dikabulkan, iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa kedua ibu bapa untuk anaknya.” (HR. Abu Dawud. At-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Hibban)
Penjelasan:
Doa kedua ibu bapa sama ada doa kebaikan atau doa keburukan adalah termasuk doa yang sangat kuat dan mustajab. Para ulama menjelaskan bahawa kedudukan doa ibu bapa dikabulkan kerana besarnya hak mereka, keikhlasan kasih sayang mereka, dan usaha mereka membesarkan serta mendidik anak.
Justeru, seorang anak dituntut untuk berbuat baik, berlemah lembut dan menjaga hubungan dengan ibu bapa agar yang keluar dari lisan mereka adalah doa kebaikan, bukan doa yang lahir daripada rasa sedih atau terlukanya hati mereka.
Begitu juga ibu bapa, tidak boleh bermudah-mudah tergelincir lisan kerana khuatir apa yang diungkapkan menjadi doa. Juga tidak patut ibu bapa mengambil kesempatan atas ‘keistimewaan’ kedudukannya ini untuk menekan anak demi kepentingan atau kepuasan peribadi. Oleh itu, wajar ibu bapa membiasakan ucapan yang baik dan selalu mendoakan kebaikan bagi anak-anak. Doa kebaikan daripada ibu bapa merupakan sebab besar turunnya rahmat, keberkatan dan pertolongan Allah SWT kepada anak.
Salinglah mendoakan kebaikan sesama ahli keluarga, baik anak kepada ibu bapa, mahupun ibu bapa kepada anak. Ini penting kerana keluarga adalah sumber investasi pahala berpanjangan. Sebab, berkeluarga dan kehidupan di dalamnya merupakan ladang ibadah yang berpanjangan, yang jika dijaga akan sampai ke akhirat, insyaAllah.
#KeluargaMuslimIdeal
#AdabKeluarga
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
[Siri Adab Keluarga] Doa Ibu Bapa Mustajab

