Tidak Ada Kebaikan dalam Ajakan Syaitan
Allah ﷻ berfirman (maksudnya):
“Wahai manusia, makanlah sebahagian (makanan) di bumi yang halal lagi baik dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya bagimu ia merupakan musuh yang nyata. Sesungguhnya (syaitan) hanya menyuruh kamu untuk berbuat jahat dan keji serta mengatakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui.” [TMQ Al-Baqarah (2): 168-173]
Dalam ayat ini terdapat khithâb (seruan) kepada manusia agar mereka memakan yang halal dan baik, dan lafaz “kulû” (makanlah) adalah bentuk perintah namun menunjukkan hukum mubah.
Adapun firman Allah ﷻ yang bermaksud “dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan” adalah bentuk pengharaman, iaitu agar kamu tidak menempuh jalannya dan tidak menirunya.
Frasa “sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagimu” ertinya ia menunjukkan permusuhan yang jelas terhadap manusia.
Ini menunjukkan makna bahawa syaitan, secerdik apa pun rencana, pemikiran, dan pertimbangannya, tetaplah merupakan manifestasi permusuhan yang terbuka, yang tidak akan mampu menipu orang-orang yang memiliki akal sihat dan fitrah yang lurus.
Kemudian Allah ﷻ menjelaskan bahawa syaitan tidak pernah memerintahkan yang khayr (kebaikan) sama sekali, melainkan memerintahkan segala bentuk syarr (keburukan), baik yang tidak sampai kepada sanksi hukuman hadd, iaitu as-sû’ (kejahatan/keburukan), mahupun yang mengandungi sanksi hukuman hadd, iaitu al-fahsyâ` (perbuatan-perbuatan keji), sebagaimana dikatakan oleh Ibnu ‘Abbâs ra. Bahkan termasuk juga keburukan yang boleh membawa kepada kekufuran, seperti mendustakan Allah ﷻ dengan menghalalkan (taḥlîl) dan mengharamkan (taḥrîm) sesuatu tanpa asas, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum musyrik.
Firman Allah ﷻ yang berbunyi “wa an taqûlû ‘alallâhi mâ lâ ta‘lamûn” (dan [syaitan menyuruh] supaya kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui) menunjukkan makna pentingnya berpegang teguh pada perintah dan larangan Allah ﷻ serta tidak membuat-buat sesuatu atas nama-Nya ﷻ, kerana hal itu hanya akan menjadi kebohongan dan kedustaan yang besar.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syaikh ‘Atha’ bin Khalil
#dusta #bisikansyaitan #godaansyaitan #nilaiperbuatan

