Tidak Boleh Terburu-Buru Menyimpulkan Hukum
Hukum syarak adalah khithâb asy-syâri‘ (seruan dari pembuat syariat) yang berkaitan dengan perbuatan manusia. Jadi, hukum syarak itu wujud kerana adanya khithâb (seruan), dan jenis hukumnya dapat diketahui setelah memahami makna seruan tersebut.
Khithâb asy-syâri‘ ini terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah, berupa perintah dan larangan. Oleh itu, memahami hukum syarak hendaklah berdasarkan pemahaman terhadap Al-Quran dan As-Sunnah, kerana keduanya adalah sumber utama hukum Islam.
Namun, tidak setiap seruan itu bermakna wajib dilaksanakan, yang jika ditinggalkan berdosa; atau haram dilaksanakan, yang jika dilakukan berdosa. Hal itu bergantung kepada jenis seruan tersebut.
Oleh itu, termasuk perbuatan dosa dan biadab terhadap agama Allah adalah apabila seseorang tergesa-gesa menyatakan bahawa sesuatu itu wajib hanya kerana dia membaca satu ayat atau hadis yang kelihatan mengandungi perintah, atau mengatakan bahawa sesuatu itu haram hanya kerana dia membaca satu ayat atau hadis yang kelihatan mengandungi larangan.
Mutakhir ini, umat Islam banyak diuji dengan kemunculan orang-orang sebegini, yang tergesa-gesa menetapkan halal dan haram hanya kerana melihat adanya perintah atau larangan dalam ayat atau hadis. Kebanyakan daripada mereka ialah orang-orang yang menyangka sudah memahami, sedangkan sebenarnya belum memahami. Jarang sekali di antara mereka yang benar-benar mengerti maksud tasyri’ (penetapan hukum).
Oleh sebab itu, sebelum seseorang berpendapat tentang hukum syarak, dia hendaklah memahami terlebih dahulu jenis khithâb dari Allah, iaitu memahami maksud ayat atau hadis secara tasyri‘iy, bukan hanya secara bahasa. Sebab kalau tidak, boleh saja seseorang justeru mengharamkan apa yang Allah halalkan, atau menghalalkan apa yang Allah haramkan.
Khithâb itu sendiri dapat difahami daripada nash (teks) dan daripada qarînah (indikasi) yang menjelaskan makna teks tersebut. Sebab, bukan semua perintah dalam Al-Quran bermakna wajib, dan bukan semua larangan bermakna haram. Boleh jadi perintah itu bermakna anjuran (mandûb atau sunnah), atau sekadar boleh (mubâh), dan boleh jadi larangan itu bermakna makruh, bukan haram.
Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Muhammad Isma’il
#hukumfikh #hukumsyarak

