Pertentangan antara Islam dan Demokrasi
Sesungguhnya demokrasi bertentangan secara keseluruhan dengan Islam, baik dari segi asas mahupun perinciannya. Hal ini dapat dilihat dari beberapa sudut:
[1] Demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan rakyat. Ini bermaksud rakyatlah yang membuat undang-undang, melantik para hakim dan mengangkat para pemimpin. Ini bertentangan dengan Islam, yang menetapkan bahawa kedaulatan berada di tangan syariat. Segala urusan dikembalikan kepada syariat; syariatlah rujukan tertinggi dalam semua perkara.
[2] Kepimpinan dan kekuasaan dalam demokrasi bersifat kolektif, bukan individual. Hal ini bertentangan dengan Islam, di mana kepimpinan dan kekuasaan bersifat individu, bukan kolektif. Rasulullah ﷺ ketika melantik seorang amir (pemimpin) bagi sesuatu urusan atau wilayah, Baginda selalu melantik seorang individu sahaja, tidak pernah melantik lebih daripada seorang bagi memimpin di tempat yang sama.
[3] Negara dalam sistem demokrasi terdiri daripada banyak lembaga. Pemerintah dalam demokrasi hanyalah salah satu lembaga, iaitu lembaga kuasa eksekutif. Ini bertentangan dengan Islam. Dalam sistem Islam, negara dan pemerintahan merupakan satu kesatuan, bukan lembaga-lembaga yang berasingan.
[4] Dalam sistem demokrasi, pengambilan pendapat rakyat dalam urusan pemerintahan dianggap sebagai kewajipan. Ini bertentangan dengan sistem Islam, di mana pengambilan pendapat umat (syûrâ) hukumnya mandub (sunat), bukan wajib. Walau bagaimanapun, syariat menetapkan bahawa syura (musyawarah) hanya berlaku dalam perkara-perkara mubah semata-mata.
[5] Dalam sistem demokrasi, pemerintah terikat oleh pendapat majoriti dalam semua hal, baik dalam isu undang-undang mahupun urusan lain. Ini bertentangan dengan Islam, di mana pendapat majoriti tidak semestinya dijadikan dasar dalam penetapan keputusan dan tidak selalu bersifat mengikat. Namun adanya perincian tertentu dalam hal ini.
[6] Dalam sistem demokrasi, sebahagian individu diberikan kekebalan undang-undang yang melindungi mereka daripada penerapan hukum negara. Ini bertentangan dengan sistem Islam, di mana tidak ada seorang pun warganegara, siapa pun dia, yang memiliki kekebalan hukum, kecuali bagi para utusan asing seperti duta besar dan mereka yang menjadi sebahagian daripada misi diplomatik.
Sumber : Kaifa Hudimat al-Khilafah – Syeikh ‘Abdul Qadim Zallum
#sistempemerintahan #negaraIslam #negarasekular #sistemdemokrasi #sistemIslam
Pertentangan antara Islam dan Demokrasi

