17 Juta Kelaparan di Yaman, Di Antara Neraka Para Pemerintah dan Korupsi Organisasi-Organisasi
(Terjemahan)
Oleh: Ustaz Sadiq Al-Sarari – Wilayah Yaman
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa seramai 17 juta orang masih menderita kelaparan teruk di Yaman, dan unjuran menunjukkan angka ini akan meningkat sebanyak sejuta orang lagi. (Al Jazeera Net)
Sepanjang lima dekad yang lalu, rakyat Yaman tidak pernah menikmati taraf hidup yang baik, walaupun negara itu memiliki sumber semula jadi yang pelbagai seperti minyak, gas, galian, pelabuhan laut, perikanan dan kekayaan lain. Perjuangan untuk terus hidup menjadi ciri utama bagi majoriti rakyat. Keadaan ini bertambah buruk apabila perang yang tidak masuk akal tercetus pada Mac 2015 antara Amerika dan Britain, yang dilancarkan melalui proksi tempatan mereka. Mereka yang bekerja di luar negara kehilangan pekerjaan, manakala mereka yang bekerja di dalam negara tidak lagi menerima gaji. Golongan kelas pertengahan jatuh menyamai golongan bawahan, dan dua pertiga penduduk benar-benar jatuh ke bawah garis kemiskinan. Perkara ini jelas terbukti sejak awal melalui laporan PBB, apabila satu penilaian bersama oleh agensi-agensi PBB, FAO, UNICEF dan WFP mendedahkan bahawa 17 juta penduduk Yaman menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan (PBB, 10 Februari 2017).
Kesibukan PBB sekali-sekala yang cuba mengetengahkan penderitaan rakyat Yaman sebenarnya tidak lebih daripada sekadar helah demi mengaut sebanyak mungkin dana penderma. Ia tidak benar-benar peduli terhadap penderitaan orang yang kelaparan dan tangisan mereka yang sakit. Menurut laporan penyiasatan dalam kerangka pelan tindak balas kemanusiaan, yang mana beberapa persidangan penderma telah diadakan, jumlah dana yang diterima mereka sejak awal perang hingga akhir tahun 2023 mencecah kira-kira $ 19 bilion, selain $ 9 bilion di luar janji sumbangan yang diumumkan, serta $ 21 bilion dalam bentuk dana kecemasan dan bantuan di luar pelan tindak balas tersebut. (Solutions Post, 10 Mac 2024)
Walaupun menerima dana yang sangat besar, setara dengan belanjawan tahunan seluruh negara, namun menurut laporan PBB, kadar kemiskinan dan kelaparan kekal tidak teratur dan berubah-ubah. Laman web rasminya menyatakan bahawa walaupun bantuan disalurkan, kira-kira 16 juta rakyat Yaman mengalami kekurangan makanan dan bergelut setiap hari untuk memberi makan kepada keluarga mereka. (13 Februari 2019). Setiap tahun, angka ini berubah sedikit; “Jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq, menyatakan bahawa 18 juta rakyat Yaman mungkin berdepan kekurangan makanan apabila Program Makanan Dunia mengurangkan bantuannya.” (Al Jazeera, 25 Jun 2022). Keadaan yang sama ada aman mahupun perang yang bermula pada April 2022 telah memburukkan lagi penderitaan rakyat Yaman, malah lebih teruk berbanding semasa perang itu sendiri. Bantuan yang sedikit daripada organisasi-organisasi kemanusiaan beransur-ansur terhenti selepas gencatan senjata berkuat kuasa, manakala dana kekal terhad dalam laporan berita dan artikel semata-mata.
Situasi tragis yang dialami oleh rakyat Yaman adalah hampir sama di kawasan yang dikuasai oleh Houthi dan kawasan yang dikuasai oleh kerajaan rasmi. Tidak ada gaji untuk menghilangkan kelaparan, tidak ada pendidikan untuk membina generasi, tidak ada ubat-ubatan, tidak ada elektrik, tidak ada perkhidmatan, tidak ada penghormatan untuk menjaga maruah manusia, dan tidak ada institusi untuk melindungi hak. Sebaliknya, rakyat diserang melalui sumber pendapatan mereka dan dibebankan dengan pelbagai cukai. Dalam masa yang sama, para pegawai hidup dalam kemewahan yang tidak terusik oleh penderitaan golongan miskin dan kelaparan, serta tidak terganggu oleh kesakitan dan kebimbangan yang menimpa mereka.
Kemerosotan keadaan hidup rakyat jelas membawa kepada keruntuhan sosial, dengan kadar jenayah meningkat secara membimbangkan dan belum pernah berlaku sebelum ini. “Ibu kota Yaman, Sana’a, yang berada di bawah kawalan Houthi, serta kawasan lain di bawah kawalan mereka, telah menyaksikan lonjakan pelbagai jenis kecurian. Ini berlaku ketika agensi keselamatan di bawah kawalan kumpulan tersebut mengakui telah merekodkan 1,050 jenayah kecurian pelbagai bentuk di Sana’a dan kawasan lain yang mereka kuasai dalam tempoh tiga bulan yang lalu.” (Al-Sharq Al-Awsat, 1 November 2024). “Wilayah Lahj telah menyaksikan peningkatan kadar kecurian dan keadaan hidup yang semakin buruk.” (Al-Janoub Al-Yemeni, 11 Mac 2025). Rangkaian Yaman untuk Hak dan Kebebasan mendedahkan bahawa mereka telah mendokumentasikan 123 kes pembunuhan dan 46 kecederaan di 14 wilayah di bawah kawalan Houthi dalam separuh pertama tahun ini, sambil menegaskan bahawa ketersediaan senjata secara meluas serta kemerosotan keadaan hidup dan psikologi telah menyumbang kepada peningkatan fenomena tersebut. (Al-Arabiya, 8 Oktober 2025)
Rakyat Yaman kini berada dalam peperangan sebenar sesama mereka sendiri di dalam negara. Para penguasa di utara dan selatan bukan sahaja mencuri pendapatan rakyat, mengganggu kepentingan mereka, dan merampas hak kewarganegaraan mereka, malah mereka juga berlumba-lumba secara terang-terangan untuk membebankan rakyat, tanpa mengambil kira keadaan hidup yang mereka deritai akibat pemotongan gaji, kejatuhan kuasa beli, serta penularan kemiskinan dan pengangguran. Kita akan terus hidup dalam kesempitan yang mereka paksakan ke atas kita, dan keadaan ini tidak akan berubah melainkan dengan perubahan para penguasa boneka, penumbangan sistem sekular beserta undang-undang, perlembagaan, jentera dan simbol-simbolnya. Seterusnya ia diganti dengan penegakan Khilafah yang melaksanakan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Dengan Khilafah, apa yang dihalalkan oleh Syariah akan dihalalkan, dan apa yang diharamkan oleh Syariah akan diharamkan. Dengan itu, kita akan bangkit menuju kehidupan yang bermaruah dalam ketaatan kepada Allah (swt), dan Allah (swt) akan mengurniakan kepada kita keberkatan dari langit dan bumi. Maka untuk tujuan itu, hendaklah orang-orang yang berbuat kebaikan terus berbuat kebaikan.
Sumber: Akhbar Al-Rayah – Edisi 577 – 10/12/2025
#yaman #politikglobal #humanrights #saveyaman #stophunger

