[Kenyataan Media]
Wahai Umat Islam, Rayuan Mendesak Mengharapkan Pertolongan Kalian!
(Terjemahan)
Wanita dan kanak-kanak Gaza menjerit meminta pertolongan… wanita dan kanak-kanak Sudan mengadu derita… wanita dan kanak-kanak Uyghur di Turkestan Timur menderita dan menjerit… wanita Muslim dan anak-anak mereka di seluruh dunia melaungkan jeritan demi jeritan, menyeru: Adakah sesiapa yang dapat membantu? Adakah sesiapa yang mahu menyahut seruan ini? Adakah sesiapa yang mahu menjawab?!
Wahai sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia: Apakah yang telah menimpa kalian? Kalian melihat `tubuhmu’ yang sedang sakit, namun kalian tidak bergerak? Di mana-mana kalian menyaksikan anak-anakmu ditindas dan dilemahkan, darah dan maruah mereka dicabuli, namun kalian tidak bangkit?!
Penduduk Gaza mati kesejukan, dibunuh, kehilangan tempat tinggal, dan menghabiskan malamnya dalam kelaparan di tempat terbuka, sementara dunia menutup telinga terhadap jeritan mereka yang meminta pertolongan! Penduduk Sudan ditanam hidup-hidup, dan perbuatan kejam dilakukan secara terancang terhadap mereka dan wanita-wanita mereka! Dan umat Islam di Turkestan Timur menyaksikan pertempuran paling sengit dengan komunisme, yang berusaha memesongkan mereka daripada agama mereka dan mencabut anak-anak mereka daripada akar umbi Islam mereka!
Jadi di manakah kita berada? Adakah kita telah terbiasa dengan pemandangan dan berita ini, sehingga darah dalam urat anak-anak umat kita menjadi beku, sehingga persaudaraan dalam agama tidak lagi menggerakkan, malah tiada lagi perlindungan terhadap maruah, dan tiada lagi kebangkitan untuk mempertahankannya serta mempertahankan tanah-tanah (ummah) tersebut?!
Wahai Umat Islam: Di setiap penjuru dunia, anak-anak umat ini sedang menyaksikan peperangan menentang agama mereka; mereka yang menguasai sistem kapitalis global mahu meleburkan mereka ke dalam peradaban sekular dan menghapuskan konsep-konsep Islam daripada diri mereka. Telah jelas bagi kita bahawa peperangan ini adalah peperangan peradaban, dan jika kita tidak bangkit mempertahankan peradaban Islam, keadaan akan menjadi lebih buruk, dan kita akan menyaksikan kesakitan yang lebih besar serta kerugian yang lebih berat.
Wahai Umat Islam: Musuh-musuhmu sangat mengetahui bahawa kekuatanmu terletak pada kembalinya umat ini kepada Kitab Tuhanmu (swt) dan Sunnah Nabi-Nya (saw), serta pengamalan kedua-duanya di bawah sebuah negara yang menghimpunkan seluruh umat Islam dan mempertahankan mereka. Oleh itu, para musuh dengan penuh kewaspadaan menjaga sempadan-sempadan hina itu dan melantik orang-orang untuk bekerja melindungi serta memeliharanya sebagai penghalang yang tidak dapat ditembusi oleh kesatuan umat dan penyatuannya.
Wahai Umat Islam: Kalian menyaksikan kesakitan yang menimpa satu demi satu anggota tubuh kalian, sedangkan anggota-anggota yang lain tidak mampu mempertahankannya atau menghadapi ancaman yang menimpanya serta yang lain berupa penyakit dan bahaya, kerana mereka berpecah-belah dan lemah, serta kerana mereka telah meninggalkan sumber kekuatan dan kemuliaan mereka serta syariat Tuhan mereka.
Wahai sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia: Kami, di Bahagian Muslimah Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, merasai kesakitan atas apa yang menimpa umat ini di seluruh negeri, dan kami bersaksi di hadapan Allah bahawa kami merasai penderitaan mereka dan mengharapkan daripada Allah apa yang mereka harapkan, yakni, kemenangan-Nya, pertolongan-Nya, dan kembalinya Islam sebagai manhaj kehidupan kita, yang menerangi kehidupan dan memerintah umat dengan keadilan, kesaksamaan, dan rahmatnya.
Wahai Umat Islam: Kami berharap kalian mendengar seruan kami dan mendorong anak-anak lelaki kita dalam kalangan para ulama dan pendakwah agar menyatakan kebenaran, mencerahkan pemikiran, dan menjelaskan jalan keselamatan kepada umat. Kami memohon agar kalian menggesa anak-anak lelaki kita dalam kalangan para pegawai dan tentera supaya bangkit sebagai satu gelombang untuk menolong agama ini dan mengangkat risalahnya:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu..” [TMQ Muhammad (47): 7].
Ya Allah, saksikanlah bahawa kami berusaha dan bekerjasama dengan orang-orang yang ikhlas untuk menegakkan Khilafah Rasyidah Kedua (Khilafah `ala Minhaj Nubuwwah), yang akan menamatkan penderitaan umat ini di seluruh negeri serta mempertahankannya dan semua yang hidup di bawah naungannya. Kami memohon kepada Allah agar menerima usaha ini, mengurniakan keteguhan, dan mempercepatkan penegakannya sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Bahagian Muslimah
Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir
Wahai Umat Islam, Rayuan Mendesak Mengharapkan Pertolongan Kalian!

