Adab Mendoakan Non-Muslim yang Berbuat Baik
Islam menganjurkan untuk mendoakan orang yang berbuat kebaikan kepada kita. Namun, dalam hal mendoakan non-muslim yang berbuat baik kepada kita, syariat memberikan batasan agar doa kita tetap sesuai dengan aturan.
Imam an-Nawawi dalam al-Adzkar menyatakan: “Ketahuilah bahawa tidak dibenarkan mendoakan orang kafir dengan doa memohon keampunan dan sebagainya, tetapi dibenarkan mendoakan petunjuk, kesihatan dan keselamatan.”
Kemudian beliau memetik hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni daripada Anas bin Malik ra., bahawa Nabi ﷺ pernah meminta air minuman, lalu seorang Yahudi memberinya minuman. Rasulullah ﷺ kemudian mendoakannya,
جَمَّلَكَ اللَّهُ
(JammalakaLlâh)
“Semoga Allah ﷻ memperindahmu.”
Sejak itu, orang Yahudi tersebut tidak pernah beruban sehingga dia meninggal dunia.
Hadis ini mengajarkan penghargaan terhadap kebaikan siapa pun tanpa memandang agamanya. Namun, doa kepada orang non-muslim perlu dibatasi pada permohonan hidayah dan hal-hal duniawi, bukan hal ukhrawi seperti pengampunan dosa.
Doa yang tidak boleh diucapkan kepada orang kafir termasuk:
• “Semoga Allah ﷻ mengampunimu.”
• “Semoga engkau masuk ke dalam syurga.”
• “Semoga Allah ﷻ merahmatimu.”
• “Semoga amalmu diterima oleh Allah ﷻ.”
Doa sedemikian dilarang kerana keampunan, rahmat, dan penerimaan sedekah hanya berlaku untuk orang yang beriman. Ini ditegaskan dalam firman Allah ﷻ:
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” [TMQ at-Taubah (9): 113]
Adapun doa yang boleh diucapkan adalah doa yang bersifat duniawi, seperti:
• “Semoga Allah ﷻ memberi hidayah kepadamu.”
• “Semoga engkau diberi kesihatan dan keselamatan.”
• “Semoga engkau diberi rezeki yang halal dan hati yang tenang.”
Dari sini kita belajar bahawa Islam menganjurkan agar kita membalas kebaikan dengan adab yang baik dan doa yang sesuai syariat. Dengan demikian, kita menjaga kemurnian akidah sekaligus menunjukkan akhlak yang mulia.
Sumber: “Al-Adzkar” – Imam an-Nawawi
#doa #panduan #IslamItuIndah #balaskebaikan #nafsiyah #akhlakmulia