Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sistem Kapitalisme (Bahagian 1/3)

[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sistem Kapitalisme (Bahagian 1/3)

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

Sebagai contoh, mari kita lihat masalah peningkatan pendapatan negara yang dijadikan asas ekonomi. Idea ini merupakan asas kepada sistem kapitalisme. Di atas asas inilah sistem kapitalisme dibangunkan.

Sistem ekonomi kapitalisme berpandangan bahawa asas masalah ekonomi ialah kekurangan relatif barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan. Dengan kata lain, jumlah barangan dan perkhidmatan dianggap tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan manusia yang sentiasa muncul dan beraneka ragam. Inilah yang dianggap sebagai masalah ekonomi utama dalam masyarakat.

Manusia mempunyai pelbagai keperluan yang menuntut untuk dipenuhi, dan sudah tentu diperlukan alat-alat untuk memenuhinya. Alat pemenuhan keperluan tersebut tidak lain ialah barangan dan perkhidmatan. Barangan dianggap sebagai alat pemenuhan bagi keperluan material, iaitu keperluan yang bersifat nyata dan dapat dirasai seperti makan roti, memakai pakaian, dan mendiami rumah. Manakala perkhidmatan pula dianggap sebagai alat pemenuhan bagi keperluan bukan material, iaitu keperluan yang dirasakan tetapi tidak dapat disentuh secara fizikal, seperti perkhidmatan doktor, guru, dan jurutera.

Oleh itu, menurut pandangan sistem kapitalis, tumpuan ekonomi mestilah diberikan kepada penyediaan barangan dan perkhidmatan, iaitu penyediaan alat-alat pemenuhan keperluan manusia. Berdasarkan tanggapan ini, kajian ekonomi difokuskan kepada bagaimana menyediakan alat pemenuhan tersebut.

Namun, kerana barangan dan perkhidmatan dianggap terhad sedangkan keperluan manusia dianggap tidak terbatas, maka mereka berpendapat bahawa alat pemenuhan itu tidak mampu menampung seluruh keperluan manusia.

Manusia mempunyai keperluan asas yang mesti dipenuhi sebagai seorang insan, iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Di samping itu, wujud keperluan tambahan yang semakin meningkat seiring dengan kemajuan peradaban. Keperluan-keperluan ini terus berkembang dan bertambah, sehingga menuntut untuk dipenuhi secara menyeluruh. Namun demikian, pemenuhan sepenuhnya dianggap mustahil walaupun barangan dan perkhidmatan tersedia dalam jumlah yang banyak.

Daripada sinilah lahir apa yang disebut oleh mereka sebagai masalah ekonomi, iaitu ketidakseimbangan antara keperluan manusia yang banyak dengan alat pemenuhan yang sedikit. Dengan kata lain, barangan dan perkhidmatan yang tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan manusia telah menimbulkan masalah ekonomi yang mereka namakan sebagai kekurangan relatif (relative scarcity) barangan dan perkhidmatan.

Akibat yang tidak dapat dielakkan daripada kekurangan ini ialah bahawa sebahagian keperluan manusia hanya dapat dipenuhi secara separa, manakala sebahagian yang lain tidak dapat dipenuhi sama sekali. Jika masalahnya kekal demikian, maka sudah tentu diperlukan suatu landasan yang mengatur bagaimana alat pemenuhan yang terhad akan diagihkan untuk memenuhi keperluan manusia yang tidak terhad.

Dengan demikian, menurut sistem kapitalisme, masalah utama dalam ekonomi bukanlah manusia itu sendiri, tetapi keperluan-keperluannya. Bagi mereka, persoalan utama ialah bagaimana menyediakan sumber untuk memenuhi keperluan manusia secara umum, bukan bagaimana menjamin pemenuhan keperluan setiap individu.

Berdasarkan andaian ini, mereka berpendapat bahawa perlu diwujudkan beberapa landasan bagi mencapai tahap pengeluaran yang paling optimum agar barangan dan perkhidmatan terus tersedia. Iaitu sehingga tersedianya barangan dan perkhidmatan bagi masyarakat secara umum, bukan bagi setiap individu dalam masyarakat itu.

Dari sini, masalah pengagihan barangan dan perkhidmatan dianggap berkait rapat dengan masalah pengeluaran. Matamat tertinggi dalam kajian ekonomi mereka terletak pada usaha untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan masyarakat secara umum. Atas dasar itu, kajian terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi jumlah pengeluaran negara menempati kedudukan utama dalam topik-topik kajian ekonomi.

Menurut mereka, peningkatan pengeluaran negara merupakan kajian paling penting untuk menyelesaikan masalah ekonomi, iaitu kekurangan relatif antara barangan dan perkhidmatan dengan keperluan manusia. Alasan mereka, kajian tentang peningkatan pengeluaran negara ialah kajian yang paling penting dalam usaha menyelesaikan masalah ekonomi, iaitu kekurangan relatif antara barangan dan perkhidmatan dengan keperluan manusia. Oleh itu, mereka menjadikan peningkatan pengeluaran sebagai asas penyelesaian masalah ekonomi, bukan dengan melihat kepada keperluan hidup setiap individu.

Oleh sebab itu, kekayaan sesebuah negara diukur secara makro tanpa mengambil kira siapa pemilik kekayaan tersebut. Nilainya kemudian dibahagikan dengan jumlah penduduk untuk menghasilkan angka yang dinamakan “purata pendapatan per kapita.”

Padahal, hakikatnya kekayaan tersebut mungkin hanya dimiliki oleh 10% daripada jumlah penduduk, sedangkan 90% yang lain hampir tidak memiliki makanan yang cukup, pakaian untuk dipakai, atau rumah untuk berteduh.

Hal ini kerana mereka percaya bahawa kemiskinan dan kemelaratan dalam sesebuah negara tidak dapat diselesaikan kecuali dengan meningkatkan pengeluaran negara. Rakyat kemudian diberikan kebebasan untuk turut serta dalam proses pengeluaran dan memperoleh kekayaan mengikut kadar sumbangan mereka terhadap pengeluaran negara, iaitu mengikut kadar yang mampu mereka peroleh.

Dengan begitu, kemiskinan negara akan dapat dihapuskan. Menurut mereka, dengan cara ini, masalah kemiskinan dan kemelaratan individu akan dapat diatasi kerana setiap individu akan terdorong untuk mengambil bahagian dalam pengeluaran demi mengatasi kemiskinan serta kemelaratan mereka.

Dengan demikian, menurut mereka, penyelesaian kepada masalah ekonomi masyarakat hanya dapat dicapai melalui peningkatan pengeluaran. Dari sini dapat difahami bahawa alasan mereka mengerahkan segala usaha untuk meningkatkan pengeluaran, membangunkan ekonomi, serta merangka pelan ekonomi adalah untuk meningkatkan hasil pengeluaran. Iaitu, segala usaha dan tumpuan diarahkan kepada asas yang menjadi teras kepada sistem kapitalisme itu sendiri.

Inilah asas sistem ekonomi kapitalisme. Ia membincangkan persoalan pengagihan dan pengeluaran. Namun, pengagihan yang dibincangkan bukanlah pengagihan kekayaan kepada individu, sebaliknya pengagihan sumber untuk memenuhi keperluan masyarakat secara umum.

Tambahan pula, sistem ini membincangkan pengagihan sumber bukan berdasarkan peraturan yang dapat mengatur cara pengagihan tersebut, tetapi dengan meningkatkan kuantiti sumber. Dengan demikian, pengagihan dianggap sebahagian daripada isu pengeluaran, dan seluruh tumpuan ekonomi diberikan kepada pengeluaran, iaitu kepada peningkatan pendapatan negara.

Selain itu, sistem kapitalisme langsung tidak memberi perhatian terhadap manusia dalam analisisnya. Ia tidak meneliti bagaimana kekayaan diagihkan kepada individu, dan tidak pula menjamin bahawa semua individu mendapat bahagian mereka. Sebaliknya, seluruh perhatian diberikan kepada pengeluaran, manakala manusia dibiarkan bebas untuk mengambil bahagian daripada hasil pengeluaran itu mengikut kemampuan masing-masing.


Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.


#EkonomiIslam #PolitikEkonomiIslam #kapitalisne #sosialisme

Exit mobile version