Kesedaran Politik dan Kesannya terhadap Perubahan
Oleh: Sheikh Ahmed Al-Qasas*
Apabila kita berbicara tentang kesedaran politik, hakikatnya kita sedang berbicara tentang kesedaran terhadap Islam itu sendiri, kerana Islam pada asasnya bersifat politik. Islam merangkumi satu sistem kehidupan, masyarakat dan negara, dan Allah (swt) telah memerintahkan agar urusan manusia diurus melalui sebuah negara yang ditegakkan atas dasar Islam. Ini bermakna Islam, secara fitrahnya, adalah sebuah ideologi politik. Oleh itu, sebaik sahaja umat memahami Islam sebagai sistem untuk kehidupan, masyarakat dan negara, maka di situlah bermulanya kesedaran politik.
Salah satu kelemahan kesedaran politik dalam kalangan umat Islam hari ini ialah salah faham mereka bahawa apabila seorang Muslim yang mendirikan solat, berpuasa, membaca al-Quran, mengangkat slogan-slogan Islam dan menyelitkan ayat-ayat al-Quran dalam ucapannya, berkuasa, maka negara itu secara automatik menjadi `Islamik’. Mereka terlepas pandang aspek paling penting yang menentukan identiti sesebuah negara — iaitu asas yang menjadikan sesebuah negara itu benar-benar Islam iaitu, akidah Islam, sistem dan undang-undang yang wajib dilaksanakan oleh negara, iaitu hukum-hakam Syariah. Oleh itu, mereka sanggup memberi taat setia kepada seorang pemerintah hanya kerana dia kelihatan warak, sedangkan dia memerintah dengan selain apa yang telah diturunkan oleh Allah (swt). Apabila kita melihat umat Islam berurusan dengan politik, ahli politik, negara dan sistem berdasarkan neraca ini — yakni menilai peristiwa semata-mata melalui lensa siapa yang memerintah kita: adakah dia Muslim, Alawi atau Druze? Adakah dia solat atau tidak beragama? — ini bermakna jemaah (komuniti) umat Islam masih jauh untuk mencapai kesedaran politik yang sebenar.
Kesedaran politik tercapai apabila umat Islam melihat seluruh dunia dari perspektif akidah Islam, iaitu dari sudut keterikatan politik yang ditentukan oleh agama mereka; dari perspektif pemikiran bahawa akidah Islam mesti berdaulat dalam kehidupan mereka; bahawa umat mesti mengembalikan kedaulatan Syariah di muka bumi dan mengembalikan kekuasaan umat di negara-negara mereka; serta dari perspektif memikul dakwah Islam ke seluruh dunia, menentang arus-arus yang memusuhi Islam, dan menentang perancangan penjajahan untuk menguasai umat, negara-negara mereka dan seluruh dunia. Apabila perspektif ini menjadi arus perdana dalam kalangan umat Islam, maka ketika itulah boleh dikatakan umat telah mencapai tahap kesedaran politik.
Penelitian mendalam terhadap Sirah Nabi Muhammad (saw) menunjukkan bahawa sejak awal misi kerasulan Baginda, visinya telah tertumpu kepada hari apabila Islam menang. Ini bercanggah dengan tanggapan umum bahawa Baginda menyampaikan risalah tanpa tujuan untuk mendirikan sebuah negara bagi Islam dan kaum Muslimin, dan bahawa perjalanan peristiwa-peristiwa akhirnya membawa kepada penubuhan negara di Madinah secara tidak disengajakan. Sebaliknya, sejak awal lagi, manhaj Rasulullah (saw) dalam menyebarkan risalah bertujuan membentuk pandangan umum masyarakat Mekah, membimbingnya keluar dari identiti pra Islam (jahiliah) dan menuju Islam, seterusnya mewujudkan sebuah Dar dan cara hidup Islam dalam sebuah masyarakat Islam. Setelah mendapati masyarakat Mekah menentang dakwah Baginda, Rasulullah (saw) mencari sokongan daripada masyarakat lain sehingga Allah (swt) membuka hati sekumpulan penduduk Madinah kepada iman. Dakwah Islam kemudiannya berkembang di sana sehingga Madinah menjadi Darul Islam yang pertama, tempat lahirnya cara hidup Islam yang pertama ditegakkan, sebelum menjalankan misinya untuk mengubah dunia. Rasulullah (saw) bertindak sebagai negarawan sebelum Baginda menjadi ketua negara. Begitu juga para Khulafa’ (khalifah) yang mengikutinya, dan para Khulafa’ ar-Rasyidin sehinggalah mereka yang datang kemudian.
Walaupun terdapat penyimpangan dalam negara Islam dengan kemunculan pemerintahan berasaskan dinasti, kesedaran politik tidak pernah lenyap daripada pentadbiran dan medan politik jemaah umat Islam, sama ada pada zaman Khilafah Umawiyyah, era awal Abbasiyyah, mahupun era sultan-sultan Uthmaniyyah yang kuat. Sesungguhnya, sejarah menjadi saksi kepada kecerdikan politik dan kebijaksanaan strategi ramai dalam kalangan mereka, serta keupayaan mereka berinteraksi dengan bangsa (negara) dan pemerintah lain berlandaskan akidah Islam dan misi menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Inilah yang menyebabkan Negara Islam menjadi negara paling berkuasa di dunia sepanjang sejarahnya.
Kesedaran politik, sebagaimana yang telah kami huraikan, merupakan satu kewajipan Syariah ke atas setiap Muslim. Ia bukan soal tahap intelektual yang berbeza. Walaupun manusia berbeza dari segi kemampuan akal mereka, keterlibatan dalam peristiwa politik dan keupayaan menganalisisnya, mereka semua tetap diwajibkan oleh Syariah untuk menilai peristiwa politik dari sudut akidah Islam. Sama sekali tidak dibenarkan bagi mana-mana Muslim, tanpa mengira kemampuan intelektual atau tahap budaya Islamnya, untuk melihat peristiwa politik dari perspektif nasionalisme semata-mata — sebagai orang Lubnan, Syria, Palestin atau Iraq. Perkara ini bukan berkaitan dengan kebolehan seseorang, tetapi sebaliknya berkaitan pemahaman dan kesedaran terhadap Islam, komitmen kepadanya, serta tahap ketakwaan dan ketaatan seseorang. Tidak syak lagi, setiap masyarakat mempunyai golongan elit yang paling bersedia memahami arah perjalanan peristiwa politik, menganalisisnya dan menyedari hakikat yang berlaku. Sejauh mana golongan elit ini terhubung dengan pandangan umum, sejauh itulah mereka mempengaruhinya dan menyebarkan kesedarannya. Pengaruh ini merupakan tanggungjawab individu yang sedar, struktur politik, serta institusi dan sekolah yang memiliki kesedaran politik.
Peristiwa-peristiwa terkini di Syria jelas memperlihatkan kekurangan kesedaran politik di kalangan majoriti umat Islam. Setelah rejim sektarian jenayah di Syria tumbang, ramai rakyat Syria, serta mereka di negara jiran yang terkesan oleh situasi tersebut, menyangka bahawa matlamat mereka telah tercapai, krisis telah berakhir, dan yang tinggal hanyalah menumpu membina negara mereka sendiri, kerana mereka kini telah memilikinya. Mereka gagal menyedari bahawa kuasa baru di Syria tidak membawa bersamanya projek politik Islam, malah tiada projek politik sama sekali. Projek politik yang sedang dilaksanakan di rantau ini — termasuk Syria — adalah projek Amerika, dan mereka tidak melihat sebarang mudarat dalam hal ini selagi mereka bebas daripada rejim sektarian jenayah tersebut. Ini menunjukkan bahawa mereka masih belum memahami misi mereka sebagai umat yang telah Allah (swt) tetapkan sebagai umat terbaik dan saksi ke atas manusia. Mereka juga gagal memahami bahaya tanah dan sumber mereka menjadi sebahagian daripada tatanan penjajahan global Amerika. Mereka tidak memahami bahaya wujud bersama entiti Yahudi, yang merancang sebuah negara dari Sungai Furat hingga Sungai Nil, dan yang telah dijadikan oleh Amerika sebagai alat untuk menundukkan rantau ini. Mereka tidak menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada satu umat, bukan sekadar bangsa Syria yang terkurung dalam sempadan nasionalisme terkutuk yang dilakar oleh penjajah kafir. Perjuangan umat Islam ialah untuk menjadi satu umat yang diperintah dengan hukum Syariah Islam, menjalani cara hidup Islam, diuruskan urusannya menurut hukum Syariah Allah (swt), serta memikul risalah Islam ke seluruh dunia. Mereka juga tidak menyedari bahawa sistem ekonomi yang mampu menyelesaikan krisis ekonomi mereka, menghapuskan kemiskinan dan membebaskan mereka daripada kebergantungan kepada sistem kapitalis global, sebenarnya terkandung dalam Syariah mereka sendiri.
Apa yang paling menyakitkan dalam semua ini ialah mereka yang terus menyuburkan kelemahan politik ini ialah para mufti berserban yang meremehkan dosa memerintah dengan selain apa yang telah Allah (swt) turunkan — sedangkan ia adalah kejahatan besar di sisi Allah (swt) — dengan alasan bahawa selagi pemerintah itu seorang Muslim yang mendirikan solat, maka dia adalah penjaga urusan rakyat yang wajib ditaati, walaupun dia menjadi sekutu kepada musuh-musuh Allah (swt), Rasul-Nya (saw) dan orang-orang beriman!
* Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Sumber: Akhbar Al-Rayah – Edisi 577 – 10/12/2025

